Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Marvel Comics X-Men – Disney+ HotStar

Apakah siri animasi paling ikonik semasa anda membesar? Ada yang mengatakan Thundercats, The Last Airbender, Sponge Bob Square Pants dan Batman The Animates Series. Semua siri yang aku tulis tadi mempunyai merit untuk dinobatkan sebagai yang terbaik antara yang terbaik. Tetapi secara peribadi bagi aku dengan impak yang paling besar semasa aku membesar ialah siri Marvel Comics X-Men yang akhirnya ditawarkan di Disney+ Hotstar.

Kenapa siri ini penting? Kerana semasa membesar di dekad 90an, mengumpul komik ialah hobi yang hangat seperti bertarung kereta Dash Yankuro dan mengumpul setem (ye tiga dekad lalu kumpul setem adalah hobi). Ia adalah dekad yang menarik untuk membesar kerana komik dari Barat dan Timur mula membanjiri pasaran Malaysia. Manga mula diterima kerana wujudnya versi dalam Bahasa Malaysia oleh Comics House dan komik kungfu Hong Kong pula dijual pada harga yang jauh lebih murah untuk budak-budak sekolah.

Untuk memulakan hobi komik dari Barat, entry cost adalah lebih tinggi dan pada waktu yang sama adalah sukar untuk mencari titik permulaan kerana komik sudah dijual lebih tahun pada waktu tersebut. Bila ditanya kepada brader kedai komik, diorang sendiri tak boleh bagi jawapan paling tepat komik mana yang perlu dibeli untuk faham cerita X-Men.

Enter Marvel Comics X-Men, siri animasi yang mengambil plot cerita terbaik dari komik-komik yang telah diterbitkan selama berdekad lamanya. Kepada peminat yang tak ada duit nak beli back issues dan TPB di kedai, siri animasi ini menjimatkan duit dan cerita lebih mudah difahami. Semua plot-plot klasik seperti Days of Future Past, Dark Phoenix Saga, dan Weapon X boleh ditonton seminggu sekali sebelum solat maghrib.

Semua episod dari siri animasi ini adalah klasik bagi aku kerana member satu asrama yang sebelum ini tak minat langsung nak baca komik X-Men terus minta ingin meminjam komik yang aku bawa. Sekaligus locker di bilik aku jadi perpustakaan untuk mereka yang ingin memulakan hobi mengumpul komik Barat. Aku rasa berpuluh member satu asrama jadi pengikut komik Marvel kerana siri animasi ini dulu.

Ketiadaan filem adaptasi pada waktu tersebut membuatkan siri animasi minggu ini satu-satunya cara ‘dakyah’ Marvel dikembangkan ke seluruh dunia terutamanya di kalangan remaja sekolah menengah. Dengan siri dah ditawarkan di Disney+ Hotstar, masa untuk aku kembali bernostalgia minggu ini. Masa untuk aku mencari episod-episod yang terlepas kerana warden bantai budak yang masih menonton X-Men di bilik TV jam 7:20 petang kerana sepatutnya semua dah berkumpul di musolla jam 7:10 untuk solat maghrib1

Izzat – Editor, Aksiz

Marvel Cinematic Universe Fasa 2

Ketika Apa Kami Tonton Minggu Ini? #3, saya sudah menulis mengenai Marvel Cinematic Universe (MCU) Fasa 1, dan minggu ini, dan juga minggu lepas saya telah meluangkan masa untuk tonton pula kesemua filem-filem MCU bagi Fasa 2.

Fasa 2 ini mempunyai 6 filem iaitu Iron Man 3, Thor: Dark World, Captain America: The Winter Soldier, Guardians of the Galaxy, Avengers: Age of Ultron dan Ant-Man sebagai penutup.

Sebelum saya teruskan pendapat saya untuk setiap filem ini, berikut adalah susunan untuk filem terbaik sehingga yang kurang menarik bagi saya. Filem paling menarik bagi fasa 2 ini bagi saya adalah Guardians of the Galaxy, diikuti Captain America: The Winter Soldier seterusnya adalah Ant-Man, Avengers: Age of Ultron, Thor: Dark World dan akhir sekali Iron Man 3.

Iron Man 3

Sejak dari Iron Man dan Iron Man 2 lagi, saya boleh katakan yang filem solo Iron Man bukanlah yang terbaik di dalam MCU, Iron Man 3 walaupun lebih baik jika ingin dibandingkan dengan Iron Man 2, masih lagi terasa sangat tidak diperlukan. Ia juga terkesan kerana hadir selepas The Avengers, selepas menonton The Avengers dan diikuti dengan Iron Man 3, klimaks penceritaan sangat menurun.

Iron Man 3 sepatutnya menjadi bahagian penting untuk memperlihatkan perwatakan Tony Stark yang mula risau dengan keselamatan bumi selepas kejadian di dalam The Avengers, akan tetapi ia tidak dilakukan dengan baik dan terasa “lost in translation“.

Thor: Dark World

Thor: Dark World boleh dikatakan sebagai filem MCU pertama yang benar-benar membawa siri ini ke angkasa lepas berbanding dengan filem-filem sebelum ini yang masih lagi “di bumi”. Dark World adalah satu penambah-baikkan untuk filem Thor akan tetapi masih lagi rasa kurang menarik. Perhubungan di antara Thor dan Loki adalah baik, akan tetapi Thor dengan Jane dan juga dengan mana-mana watak bumi masih terasa janggal.

Captain America: The Winter Soldier

Menjadi filem yang mula membawa S.H.I.E.L.D dengan lebih mendalam, ditambah lagi Hydra serta pengenalan kepada The Winter Soldier, filem Captain America yang kedua ini menjadi satu filem yang sangat menarik dan penting di dalam keseluruhan MCU.

Berbanding dua filem sebelum ini iaitu Iron Man 3 dan Thor: Dark World, Captain America: The Winter Soldier adalah filem yang membuatkan MCU menarik semula.

Guardians of the Galaxy

Selepas sekian lama, MCU akhirnya memperkenalkan ramai watak baharu melalui filem pertama untuk Guardians of the Galaxy oleh kerana itu ia menjadi filem terbaik bagi saya di dalam fasa ini. Walaupun membawa ke kumpulan baharu, dengan pelbagai watak, akan tetapi James Gunn berjaya untuk memberikan perhubungan yang baik dengan kesemuannya.

Sekali lagi membawa MCU ke angkasa lepas dengan lebih mendalam berbanding Dark World, Guardians of the Galaxy juga menjadi filem yang paling menarik di dalam dua fasa untuk MCU.

Avengers: Age of Ultron

Seperti The Avengers, Avengers: Age of Ultron sepatutnya menjadi filem yang akan mengumpul semula adiwira-adiwira Avengers di dalam satu filem. Malangnya, Age of Ultron sangat mengecewakan, ia tidak membawa magis yang sama seperti The Avengers. Bahkan Guardian of the Galaxy dan The Winter Soldier terasa lebih menarik berbanding Age of Ultron.

Masalah utama untuk Age of Ultron adalah penjahat utama yang sepatutnya menjadi satu penjahat yang berkuasa terasa terlalu mendatar walaupun pembawakan yang baik oleh James Spader, menjadikan keseluruhan penceritaan sedikit membosankan.

Ant-Man

Berbanding berakhir dengan filem Avengers, MCU mengakhiri fasa 2 ini dengan watak baharu iaitu Ant-man, ia mungkin terasa aneh pada pelancaran filem ini, akan tetapi apabila Civil War dikeluarkan dan filem-filem Avengers seterusnya tiba, ia sedikit masuk akal mengapa Ant-Man ingin diperkenalkan dengan cepat.

Secara keseluruhan, ia adalah satu filem yang baik, selepas kekecewaan Age of Ultron, Ant-Man sekurang-kurangnya membawa penceritaan yang lebih menarik dengan watak yang lebih segar.

Kesemua filem MCU Fasa 2 boleh ditonton di Disney+ Hotstar.

Nazrin – Penulis, Amanz/Aksiz

D.P.

Apabila bercakap mengenai K-drama, stereotaip yang sering didengari ialah ia terlalu sarat dengan tema percintaan yang apabila ditulis dengan baik, ia mungkin hadir dengan penceritaan yang menarik, tetapi cepat membosankan.

Walaupun begitu saya boleh katakan bahawa sebenarnya cerita K-drama banyak sahaja siri televisyen yang tidak berkisarkan tema tersebut, dan salah satu daripadanya ialah DP yang baru sahaja dimasukkan ke Netflix beberapa minggu yang lalu.

DP mengisahkan tentang An Jun-Ho, seorang remaja yang baru dikerahkan kedalam perkhidmatan ketenteraan Korea Selatan sebagai askar pelatih selama dua tahun. Walaupun seorang rekrut baru, bakat pemerhatiannya telah membolehkannya dimasukkan kedalam unit yang dinamakan D.P., yang mana tugasnya ialah untuk mencari askar-askar pelatih yang melarikan diri daripada tugasan mereka.

Salah satu perkara yang menarik ialah daripada mula sehingga penghujung siri ini, nama D.P. tidak pernah diterangkan secara rasmi, dan hanya setelah saya membaca Wiki mengenai siri ini saya mengetahui bahawa D.P. adalah nama pendek untuk Deserter Pursuit.

D.P. mendalami isu-isu sosial seperti pembulian dan masalah-masalah psikologi yang didalami oleh askar-askar pelarian ini. Setiap episod menceritakan tentang seorang askar yang melarikan diri daripada kem, dan sepanjang episod An Jun-Ho dan rakan-rakan sepasukannya akan mencari askar tersebut dan mempelajari tentang sebab-sebab mengapa mereka melarikan diri.

Daripada apa yang saya baca juga, siri D.P. ini dibincangkan secara agak meluas di Korea Selatan, khususnya kerana episod-episod tersebut membincangkan tentang isu sosial dan psikologi yang secara lazimnya tidak diperlihatkan pada tahap seperti ini, khususnya di Korea Selatan.

Siri ini telah membuka perbincangan tentang bagaimana askar-askar pelatih di negara tersebut dilayan, dan sekiranya tatasusila melatih askar pelatih perlu diperbaharui.

Jujur saya katakan bahawa siri televisyen D.P. ini agak berat, dan mungkin sukar untuk dihadami orang ramai, khususnya dua episod terakhir yang memperlihatkan bagaimana masalah buli boleh menyebabkan seseorang untuk melakukan perkara-perkara yang orang lain akan kata “gila”.

Fahim – Penulis, Amanz/Aksiz

Squid Game – Netflix

Minggu ini aku tonton siri TV yang hangat dibual orang ramai, iaitu Squid Game. Ia adalah sebuah K-Drama, atau siri TV Korea Selatan dengan tema pertempuran royal. Konsep siri TV ini serupa dengan siri TV Jepun Netflix Alice In Borderland, di mana ada pasukan, ada rakan, ada pembunuhan, ada juga elemen aniaya.

Jika anda gemarkan filem seperti Battle Royale sebuah filem Jepun yang boleh dikatakan antara konsep terawal pertempuran royal – anda pasti akan sukakan siri TV ini.

Sebelum aku kongsi pengalaman menonton aku, aku akan kongsi sedikit apa yang pengarah dan pelakon ceritakan semasa Netflix menjemput kami untuk sidang media bagi siri TV ini. Pengarah dan juga penulis siri TV ini Hwang Dong-Hyuk amat gemarkan permainan tradisional yang beliau main semasa kanak-kanak. Antara permainan tradisional ini adalah ddakji, squid game itu sendiri dan banyak lagi.

Kini ingin mengimbau kembali zaman silam beliau – beliau olah semula dengan iteasi untuk orang dewasa berserta cabaran dan halangan yang lebih mencabar. Daripada 465 peserta, hanya seorang sahaja boleh menang dan mereka yang kalah akan “terkeluar” atau maksud sebenar mati. Tidak kiralah mati dibunuh, tidka sengaja, bunuh diri atau juga aniaya melalui psikologi.

Pengarah juga cuba masukkan elemen kehidupan komuniti susah di Korea Selatan yang dikatakan banyak kes mereka yang miskin dan terdesak sanggup lakukan apa sahaja demi duit. Para pelakon turut kongsikan pengalaman mereka, yang mana semasa menerima skrip – mereka tidak sangka yang ia begitu gelap dan mengerikan. Seram seriau orang kata!. Mereka juga tidak sangka yang skrip ini boleh menjadi realiti.

Konsep street game zaman silam ini amat menarik dan memuaskan apabila ditonton. Bukan sahaja kerana sinematografi yang gila cool, CGI yang realistik, muzik yang menarik – jalan cerita juga adalah A+. Walaupun ada episod yang ramai katakan perlahan dan bosan, tetapi untuk siri TV yang ada banyak watak – episod bosan inilah memperlihatkan perkembangan watak masing-masing.

Sepanjang aku tonton siri TV ini, memang rasa mendebar dan tidak sabar nantikan apa yang akan berlaku pada setiap episod. Walaupun ada situasi tegang, elemen komedi yang diselitkan ada juga yang dapat menenangkan keadaan. Tidak lupa juga cameo daripada pelakon hebat seperti Lee Byung-Hun dan Gong Yoo yang menarik perhatian penonton untuk lihat prestasi mereka.

Banyak juga elemen plot twist buatkan penonton rasa tidak puas hati, marah dan pelbagai perasaan bercampur. Bayangkan siri TV ini boleh menjadi bualan orang ramai bukan sahaja di Asia tetapi di pelosok dunia?

Apa yang aku tidak suka dengan siri TV ini adalah, Netflix memancing untuk musim kedua – yang mana banyak K-Drama di platform ini apabila lakukan perkara ini tidak menjadi dan musim baharu tidak dapat diteruskan. Harapnya dengan tarikan ramai, musim kedua boleh diteruskan dengan cabaran yang lagi gila.

Tonton Squid Game Di Netflix

Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Sohor Kini