Skip to main content

Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Mandela (2021) – Netflix

Dunia sedang kucar kacir kerana wabak dan pada waktu yang sama negara kita kucar kacir kerana kemelut politik. Dalam situasi mencabar sejak awal minggu ini, ramai mula mempunyai kesedaran betapa pentingnya untuk terlibat dalam politik kerana dapat dilihat sekarang apabila insan yang tidak layak diberikan tugas penting, ribuan menjadi korban dan jutaan lagi menderita kerana polisi yang tidak berpaksikan kepentingan rakyat marhaen.

Tetapi di media sosial, aku masih dapat melihat sebilangan anak muda yang masih percaya tiada guna untuk peduli tentang situasi politik negara. Aku boleh menulis artikel panjang macam Buzzfeed untuk mengatakan mengapa pandangan ini salah tetapi anda kini membaca Aksiz bukan Malaysiakini. Jadi bagi golongan yang masih enggan peduli tentang pentingnya politik dan mengapa setiap satu undi itu penting, aku sarankan filem Mandela arahan Madonne Ashwin di Netflix.

Premis filem ini mudah. Adakah undi anda penting? Apakah yang dapat anda lakukan dengan mengundi? Situasi unik berlaku di perkampungan Soorangudi apabila pilihanraya diadakan selepas presiden kampung tidak mampu meneruskan tugas. Kampung Soorangudi sejak dari dahulu berpecah kepada dua kerana perbezaan kasta. Untuk memenangi undi orang kampung pelbagai taktik digunakan oleh calon seperti memberi wang saguhati, membina infrastruktur dengan pantas dan memainkan sentimen “siapa lagi nak undi orang kita kalau bukan kita?”

Mandela ialah seorang tukang gunting yang berkasta rendah dan sering dihina oleh penduduk kampung kerana statusnya yang tak seberapa. Tetapi apabila calon presiden menyedari undi beliau adalah penting bagi memastikan kemenangan, secara tiba-tiba Mandela dilayan dengan baik seperti menatang minyak yang penuh. Walaupun Mandela ialah sebuah filem komedi, komentar sosialnya sangat tajam mencucuk hati sekiranya ditonton dengan minda yang kritis.

Pelbagai taktik membeli undi yang dilakukan di dalam filem sebenarnya berlaku di Malaysia. Kerap aku dengar orang mengecam pengundi yang memilih calon selepas menerima bantuan ketika pilihanraya. Memang mudah mengeji tetapi Mandela menunjukkan mengapa ia berlaku dan mengapa ia senjata yang mujarab sejak pilihanraya umum diperkenalkan di Malaysia sejak 1955.

Walaupun Mandela ialah sebuah karya fiksyen – mana mungkin pilihanraya ditentukan oleh undi seorang individu – tetapi ia masih menunjukkan nilai sebuah undi dan impak politik berasaskan perkauman kepada sesebuah komuniti. Filem mungkin berlaku di perkampungan Soorangudi, India tetapi mesej yang disampai turut relevan di Segamaat Johor, Segambut Kuala Lumpur dan Selangor Malaysia.

Kalau ikutkan aku, ini ialah filem yang wajib ditonton oleh kesemua budak sekolah di Malaysia kerana ia mengajar tentang tanggungjawab sivik setiap warganegara untuk memastikan suara mereka didengari. Zaman untuk tidak peduli siapa yang memerintah, mengundi berdasarkan ras dan kaum, memilih berdasarkan nilai bantuan dan wakil rakyat hanya nampak batang hidung semasa PRU harus dikuburkan. Kambus dalam-dalam sehingga bertemu Hades.

Mandela boleh ditonton menerusi Netflix.

Izzat – Editor, Aksiz

Kingdom: Ashin of the North

Seperti mana saya nyatakan pada minggu lepas, saya telah meluangkan seminggu dua untuk menghabiskan dua musim Kingdom ia adalah kerana pada hujung minggu lepas mereka telah hadir dengan satu filem untuknya iaitu Kingdom: Ashin of the North.

Bagi anda yang mengikuti siri ini, Ashin adalah watak yang diperkenalkan pada bahagian akhir untuk episod terakhir pada musim kedua, dan filem ini dihasilkan secara serba sedikit memfokuskan kepada latar belakang Ashin dan juga apa kaitan dirinya kepada Resurrection Plant yang menjadi punca kepada epidemik zombi yang telah memporak perandakan Joseon.

Saya boleh katakan yang filem ini masih lagi mengekalkan cara penyampaian dan juga penceritaan daripada siri, tanpa perbezaan ketara. Ia boleh dianggap sebagai salah satu lagi episod untuk Kingdom tetapi dengan 20-30 minit lebih panjang dan berlaku sebelum kejadian di dalam Kingdom.

Walaupun filem ini ada menjawab serba sedikit mengenai persoalan anda mengenai Kingdom akan tetapi saya merasakan ia tidak mencukupi untuk memberi perasaan puas, tambahan lagi kita masih tidak mengetahui sama ada Kingdom akan menerima musim ketiga ataupun tidak. Namun, jika anda adalah pengikut Kingdom, ia adalah filem yang wajib ditonton.

Filem ini juga membantu untuk memperkenalkan watak Ashin yang hadir secara tiba-tiba, ia adalah cara yang bagus untuk memperkenalkan satu watak yang berkemungkinan akan menjadi satu watak yang penting di musim baharu Kingdom. Dengan menerangkan terlebih dahulu latar belakang untuknya, musim baharu kelak tidak lagi perlu terlalu memfokuskan kepadannya.

Pengisian filem ini juga baik, tiada bahagian yang terasa bosan, akan tetapi ia tidak mempunyai banyak bahagian yang “misteri” sebaliknya ia senang dijangka. Walaupun begitu bagi saya ia bukanlah satu masalah dan secara keseluruhan Ashin of the North masih lagi satu penambahan yang baik untuk Kingdom yang secara sendirinya merupakan siri yang berkualiti.

Seperti musim pertama dan kedua Kingdom, Kingdom: Ashin of the North juga boleh mula ditonton di Netflix.

Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz

Francais filem Jackass; Jackass: The Movie, Jackass Number Two, Jackass 2.5, Jackass 3D/3.5

Masa aku sekolah, banyak filem dan siri TV aku tidak boleh tonton kerana tidak dibenarkan oleh ibu bapa aku. Jadi filem-filem lucu dan gila seperti francais Jackass aku tidak pernah tonton sehinggalah ke usia yang lebih sesuai menontonnya. Selepas sekian lama aku tak tonton filem ini, yang mana jika ingatan aku masih kuat – aku hanya pernah tonton satu atau dua filem Jackass itu pun tidak habis.

Terkini, menghabiskan masa berkurung dalam bilik sewa bersendirian – sudah bosan dengan Netflix, HBO Go, Apple TV+, Disney+ – aku cari kembali francais filem daripada Johny Knoxville ini. Sepanjang minggu ini, aku telah tonton kesemua filem Jackass daripada yang pertam sehinggalah versi potongan Jackass 3.5. Apa yang buat aku nak tonton semua filem ini adalah, semua pelagak ngeri dalam filem ini sudah berusia dan akan kembali dengan filem baharu – Jackass Forever. Video acah yang gila lucu tengok pakcik-pakcik ini lakukan aksi lagak ngeri yang tidak masuk akal, merbahaya, tidak senonoh dan bodoh ini buatkan aku tergelak seorang diri sampai tersembur air liur.

Jackass: The Movie, Jackass Number Two, Jackass 2.5, Jackass 3D dan Jackass 3.5 adalah kesemua filem yang aku tonton. Ia adalah filem mengenai sekumpulan kawan-kawan, yang bermula dengan video tular papan luncur pada zaman VHS sehinggalah video tular usikan di antara seorang kawan kepada kawan lain. Mereka lakukan aksi lagak ngeri yang biasanya pelagak ngeri dalam filem lakukan dengan pelbagai alat keselamatan. Tetapi setiap ahli Jackass ini benar-benar ‘jackass’ dengan selamba melakukan semua lagak tanpa sebarang keselamatan.

Setiap aksi mereka adalah lucu, usikan kawan dan sketsa mereka lakukan memang buatkan anda rasa kesian, rasa macam tidak patut mereka lakukannya dan juga rasa ‘apa la bodoh sangat diorang semua ni ?’. Filem-filem ini tidak ada manfaat pun untuk tonton, tiada pengajaran baik dan hanyalah untuk hiburan semata-mata. Kerana kalau bukan mereka lakukannya, siapa lagi?

Setiap filem ini boleh disewa atau dibeli di Apple TV atau Google Play pada harga RM9.90 sehingga RM38 bergantung kepada platform, resolusi serta tonton dalam masa 48 jam atau miliki selamanya.

Nazrin – Penulis, Amanz/Aksiz

The Blacklist

Apabila saya tidak menonton cerita-cerita anime, salah satu genre televisyen kegemaran saya ialah cerita prosedural jenayah, polis ataupun pengintipan. Salah satu cerita kegemaran saya dalam genre pengintipan ialah The Blacklist, sebuah siri televisyen yang baru-baru ini dimuatkan musim kelapan di platform penstriman Netflix.

The Blacklist menceritakan tentang hidup seorang pegawai FBI Elizabeth Keen yang mana tugasnya ialah untuk memprofail penjenayah-penjenayah yang paling berbahaya di dunia. Tidak sampai beberapa hari selepas beliau menyertai pasukan FBI, penjenayah yang paling dikehendaki di Amerika Syarikat, Raymond Reddington telah tampil ke markas FBI menyerahkan dirinya kepada pasukan tersebut, mengatakan dia hanya mahu bekerjasama dengan Elizabeth untuk menangkap penjenayah-penjenayah berbahaya yang lain.

Nama The Blacklist merujuk kepada senarai hitam milik Raymond Reddington yang mengandungi identiti penjenayah-penjenayah yang paling bahaya di dunia. Dan di dalam siri ini ia adalah tugas Elizabeth Keen, Raymond Reddington dan kumpulan rahsia FBI untuk memastikan penjenayah-penjenayah ini ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

https://www.youtube.com/watch?v=XihA6GWIBdM

Apa yang membuatkan The Blacklist ini sangat menarik ialah dinamik diantara Elizabeth Keen dan Raymond Reddington, yang dilihat walaupun membantu FBI dalam menangkap penjenayah-penjenayah berbahaya ini, mempunyai agendanya tersendiri, dan ia dapat dilihat sepanjang musim-musim siri ini.

Raymond Reddington dimainkan oleh James Spader, seorang pelakon TV dan filem yang terkenal, khususnya untuk wataknya sebagai Ultron dalam Avengers: Age of Ultron, tetapi pada pendapat saya watak Raymond Reddington ialah watak yang terbaik dimainkannya setakat ini.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, musim kelapan baru sahaja tiba di Netflix, dan ia adalah musim yang paling tegang pada pendapat saya, khususnya kerana ia sedikit sebanyak menjawab 1001 persoalan mengenai titik-titik plot utama siri ini dalam cara yang sangat mendebarkan.

Musim kesembilan The Blacklist akan keudara pada bulan Oktober kelak, dan selepas baru sahaja menonton penghujung musim kelapan, saya tidak sabar untuk menonton sambungan kepada siri televisyen kegemaran saya ini.


Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Leave a Reply