Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Infernal Affairs

Minggu ini ialah minggu di mana penonton bioskop barat mula menyedari Tony Leung ialah antara dewa lakonan dunia dan bakat beliau lebih besar dari sinema Hong Kong. Ini dibantu oleh lakonan mantap beliau dalam filem Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings. Jika anda membesar ketika dekad 80an, Tony Leung ialah antara pelakon yang kerap di kaca TV tetapi berapa ramai di antara pembaca Aksiz masih menonton slot seperti Pearl Screen TV3 akhir-akhir ini? Pastinya boleh kira dengan jumlah cincin di jari Mandarin.

Tetapi dengan kerjaya bermula sejak 1982, apakah filem yang boleh disarankan kepada mereka yang ingin mengenali Tony Leung Chiu-wai? Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Infernal Affairs mula ditawarkan di Netflix sejak seminggu lalu. Infernal Affairs bukan sahaja filem yang baik untuk melihat kehebatan lakonan Tony tetapi juga melihat antara filem terhebat pernah dihasilkan dalam dunia sinema moden.

Filem ini mungkin lebih dikenali sebagai filem asal sebelum diadaptasi oleh Martin Scorcese menjadi The Departed. Watak Tony Leung ialah yang sama dilakonkan oleh Leonardo DiCaprio tetapi aku rasakan dari segala sudut Tony lebih baik. Arahan Andrew Lau dan Alan Ma juga lebih mantap berbanding Martin Scorcese. Dengan kata lain aku teguh dalam kumpulan yang mengatakan Infernal adalah karya yang lebih baik berbanding Departed.

Bagi yang belum pernah menonton Infernal atau Departed, ia kisah Chan Wing-yan (Tony Leung) yang merupakan pegawai polis yang menyamar menjadi anggota kongsi gelap cina untuk memberikan maklumat dari dalam. Pada waktu yang sama Lau Kin-ming (Andy Lau) seorang anggota kongsi gelap cina pula menjadi seorang anggota polis yang juga memberikan maklumat dari dalam. Cerita menjadi menarik apabila masing-masing cuba mencari gunting dalam lipatan organisasi masing-masing sebelum dihukum.

Siapa menang? Si polis yang menyamar gengster atau gengster yang menyamar menjadi polis? Aku tak mahu jadi Fahim dan membeber bagaimana filem ini berakhir. Yang aku boleh katakan filem ini dijadikan calon Hong Kong di Oscar pada tahun 2004 tetapi tidak layak ke pusingan akhir seperti Puteri Gunung Ledang untuk Malaysia pada tahun 2005. Filem apa yang menang Oscar untuk filem asing terbaik tahun 2004? The Barbarian Invasions – sebuah filem yang aku yakin 95% di kalangan anda tak pernah dengar, tak pernah tahu wujud, hanya baru 10 saat tadi tahu menang Oscar dan 5 saat tadi menyedari tak timbul sekelumit minat untuk menontonnya.

Infernal Affairs tidak ke pusingan akhir Oscar tahun 2004 ialah dosa besar akademi yang sama tahapnya dengan Roberto Benigni dan Gwyneth Paltrow memenangi Oscar pelakon terbaik tahun 1999 mengalahkan Tom Hanks dan Cate Blanchett. Tonton Infernal Affairs hari ini untuk melihat bukan sahaja lakonan hebat Tony Leung, Andy Lau dan Anthony Wong tetapi juga melihat one of the last great film from the Pearl of The Orient.

Infernal Affairs boleh ditonton di Netflix sekarang

Izzat – Editor, Aksiz

Green Book

Green Book merupakan filem yang memenangi filem terbaik ketika Oscar pada tahun 2019 dan saya sudah lama berhajat untuk menontonnya. Namun, hanya minggu ini saya berkesempatan untuk menontonnya apabila ia disiarkan di Netflix, dan saya boleh katakan yang ada sebab mengapa ia menjadi filem terbaik.

Ia adalah filem arahan Peter Farrelly yang pernah mengarah filem seperti Dumb and Dumber, dan juga The Three Stooges. Oleh itu filem Green Book yang membawa penceritaan yang lebih serius adalah satu kelainan untuknya, akan tetapi saya boleh katakan beliau melakukan satu kerja yang baik.

Green Book adalah filem mengenai Tony Lip lakonan Viggo Mortensen orang Itali di Amerika Syarikat, beliau menjadi pemandu kepada seorang pemain piano terkenal iaitu Dr. Don Shirley lakonan Mahershala Ali yang sedang melakukan Tour di sekitar Amerika Syarikat.

Walaupun seorang pemuzik yang disegani ramai, akan tetapi oleh kerana dia adalah seorang berkulit hitam, Don Shirley dilayan dengan kurang baik. Green Book yang menjadi judul untuk filem ini, adalah satu buku yang memperlihatkan hotel, kedai makan yang boleh memberi layanan kepada orang kulit hitam. Tempat-tempat lain bagaikan diharamkan oleh untuk dirinya.

Filem ini memfokuskan kepada perhubungan di antara Tony Lip dan juga Don Shirley, bagaimana Tony mula menyedari kesukaran yang dihadapi oleh orang berkulit hitam, selain Don Shirley juga serba belajar daripada Tony Lip mengenai kepentingan kekeluargaan.

Lakonan yang baik daripada kedua-dua pelakon utama sangat membantu untuk menjadikan penceritaan Green Book sangat menarik. Ia menyentuh pelbagai emosi, ada gembira, ada sedih, ada marah dan juga kekeliruan. Setiapnya disampaikan dengan baik.

Selepas memenangi Oscar, dan sehingga sekarang filem ini masih lagi menerima kritikan terutama daripada penonton dan juga pembikin filem kulit hitam, di mana mereka mengatakan filem ini tidak menggambarkan keseluruhan perhubungan di antara orang kulit hitam dan penerimaan di Amerika Syarikat pada masa dahulu. Mereka juga tidak menyukai apabila orang berkulit putih dianggap sebagai “hero sebenar” di dalam filem ini.

Saya bukan orang yang layak untuk bercakap mengenai perihal ini, namun saya boleh katakan yang filem ini adalah filem yang baik akan tetapi kritikan yang dinyatakan juga mempunyai kebenarannya.

Green Book boleh ditonton di Netflix.

Nazrin – Penulis, Amanz/Aksiz

Chef’s Table / The Chef Show / Midnight Diner

Selain daripada topik-topik berkaitan dengan dunia teknologi, satu lagi topik yang saya suka bincangkan dengan rakan-rakan ialah berkenaan makanan. Dari kecil lagi saya sangat suka menonton rancangan-rancangan masakan, dan di waktu dewasa ini, minat tersebut menjadi lebih mendalam dan saya mengikuti dunia kulinari dengan lebih rapat, walaupun kebolehan memasak saya hanyalah terhad kepada makanan yang saya boleh makan sendiri.

Walaupun begitu, kesedaran melalui media massa mengenai dunia kulinari semakin berkembang bagaikan perut yang memakan terlalu banyak nasi lemak, dan lahirlah chef-chef selebriti yang cukup terkenal seperti Gordon Ramsay, Jamie Oliver, Alton Brown, Heston Blumenthal dan sebagainya.

Dalam ruangan Apa Kami Tonton saya minggu ini, saya ingin berkongsi beberapa siri televisyen mengenai makanan kegemaran saya yang anda boleh tonton di Netflix sekarang.

Chef’s Table

Chef’s Table ialah sebuah dokumentari mengenai chef-chef yang terkemuka di dunia, tetapi mungkin tidak begitu dikenali orang ramai sekiranya mereka tidak begitu mendalami dunia kulinari. Walaupun tidak bertaraf selebriti, chef-chef yang ditunjuk dalam siri ini boleh dikatakan nama-nama yang meletakkan makanan lokasi ataupun negara mereka di peta dunia, atau mengubah bagaimana orang ramai melihat makanan-makanan di tempat-tempat tersebut.

Sering kali apabila kita menonton siri-siri televisyen tentang makanan, kita tidak mengetahui apakah falsafah disebalik konsep kulinari yang dibawakan oleh seseorang tukang masak, walaupun apabila mereka menjadi terkenal di kalangan para tukang masak dan juga para pelanggan.

Chef’s Table menggabungkan penggambaran sinematografi dan teknik penceritaan yang bukan sahaja memfokuskan tentang falsafah kulinari chef-chef dalam siri ini, tetapi juga jalan cerita hidup dan pengorbanan yang dilakukan oleh mereka yang membawa mereka ke landasan untuk menjadi nama-nama yang terkemuka dalam industri ini.

Siri kulinari ini merupakan siri kegemaran saya di Netflix kerana ia menunjukkan bahawa hanya kerana seorang chef dilihat terkenal dan berjaya di mata dunia, kejayaan tersebut selalunya akan hadir dengan perjalanan yang perit, pilu dan akan datang dengan kekecewaan sebelum satu ketika yang mana mereka sedar bahawa sesebuah idea itu boleh mendatangkan kejayaan.

The Chef Show

The Chef Show ialah sebuah siri kulinari yang timbul daripada kolaborasi antara pembuat filem Jon Favreau dan chef Roy Choi selepas pembuatan filem yang dibintangi Jon Favreau yang bernama Chef. Roy Choi merupakan chef perunding yang menunjukkan Jon Favreau tentang bagaimana untuk membuatkan filem tersebut kelihatan lebih realisitik, dan selepas filem tersebut, mereka hadir dengan siri televisyen ini pula.

Keunikan The Chef Show ialah ia siri memasak yang dihos oleh seorang chef profesional, dan seorang foodie yang masih lagi sedang belajar cara-cara terbaik untuk memasak dirumah, dan juga mendapat pengalaman tentang bekerja dalam sebuah dapur profesional.

The Chef Show juga menunjukkan beberapa selebriti yang merupakan foodie, dan dalam salah satu episod siri ini, idea untuk membuat Chef dan The Chef Show juga sebenarnya diilhamkan daripada sesi penggambaran siri filem Marvel, yang mana Roy Choi dibawa masuk untuk membekalkan makan tengahari dan malam untuk mereka di lokasi penggambaran.

Midnight Diner

Midnight Diner menceritakan tentang seorang pemilik izakaya, ataupun restoran kecil yang lazimnya dibuka pada waktu malam di Jepun. Keunikan izakaya yang diperlihatkan dalam Midnight Diner ini ialah ia dibuka pada tengah malam, khusus untuk mereka yang habis bekerja pada lewat malam dan mahu mencari makanan.

Jalan cerita Midnight Diner lebih berkisarkan kepada pelanggan-pelanggan di kedai tersebut, yang mana untuk setiap episod, pelanggan-pelanggan ini akan meminta makanan kegemaran mereka, yang lazimnya boleh dibuat oleh pemilik restoran, sekiranya dia ada bahan-bahan untuk membuatnya.

Pada permulaan episod, seorang pelanggan akan meminta makanan, dan kemudiannya cerita tentang pelanggan tersebut akan bermula di situ. Kebanyakan episod siri ini berkisarkan tentang sesuatu masalah yang sedang membelenggu mereka, dan ia tamat selepas satu episod sahaja.

Pada penghujung episod, pemilik restoran ini juga akan menunjukkan cara untuk memasak makanan yang dipesan pada episod tersebut, dan semua resipinya agak mudah untuk diikuti. Bagi saya ini adalah salah satu siri yang boleh dinikmati secara santai, dan tidak begitu susah untuk diikuti.


Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Sohor Kini