Apa kami tonton minggu ini adalah segmen baharu di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan. Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

For All Mankind

For All Mankind (FAM) bukanlah siri Apple TV+ yang terbaru tetapi pada hemat aku adalah antara yang paling underrated di platform penstriman global. Semua tumpuan Apple TV+ nampaknya diberikan kepada The Morning Show, Ted Lasso, Mythic Quest dan kelak Foundation. Mungkin kerana sebuah siri yang cuba memberikan gambaran dunia alternatif sekiranya Kesatuan Soviet memenangi perang angkasa lepas memerlukan penonton mempunyai pemahaman sejarah yang tinggi.

Memang aku akui kalau korang bukan di kalangan peminat teknologi angkasa lepas dan sejarah sebenar FAM mungkin sedikit mengelirukan. Tetapi sekiranya anda korang melakukan sedikit pembacaan FAM ialah siri yang benar-benar menarik. Terdapat dua musim ditawarkan di Apple TV+ dengan setiap episod di musim pertama diakhiri dengan cliffhanger yang mendebarkan. Kerana kedua-dua musim sudahpun selesai, korang tak perlu menunggu setiap minggu untuk mendapatkan jawapan kepada cerita yang tergantung.

Sebagai seorang insan yang menggelarkan diri sebagai seorang space nerd, FAM ialah siri yang telah lama aku inginkan. Apakah terjadi jika Wernher von Braun didedahkan lebih awal sebagai seorang Nazi yang diselamatkan menerusi Operation Paperclip? Apa terjadi jika misi bulan Kesatuan Soviet tidak gagal? Adakah Buran memang lebih baik berbanding Space Shuttle dan adakah permukaan bulan benar-benar selamat untuk membina sebuah pangkalan angkasa?

Kesemua soalan di atas cuba dijawab oleh FAM dengan beberapa kejutan fiksyen sains yang akan menggembirakan golongan peminat teknologi angkasa lepas. Tarikan utama FAM mungkin adalah senario what if perang angkasa lepas jika Soviet menang tetapi kekuatan sebenarnya terletak pada watak-watak utama yang ditulis dengan baik. Ini adalah tidak mengejutkan kerana siri ini dihasilkan serta ditulis oleh Ronald D Moore yang turut menghasilkan Battlestar Galactica (2004), Outlander (2014) dan beberapa siri Star Trek (TNG, DS9, Voyager) yang kesemuanya mempunyai watak-watak yang ditulis dengan baik.

For All Mankind hanya mempunyai 20 episod sahaja setakat ini menerusi langganan Apple TV+ dan boleh dihabiskan dalam masa dua hari.

Nazrin – Editor, Amanz

Rurouni Kenshin: The Final

Rurouni Kenshin, ataupun Samurai X ialah siri anime/manga yang sangat popular pada era lewat 90-an/awal 90-an mengenai Kenshin Himura, seorang ronin fiksyen yang hidup di zaman era Meiji. Ia telah diadaptasikan sebagai sebuah siri filem aksi nyata yang bermula sejak 2012.

Kini, pada tahun 2021 dengan Rurouni Kenshin: The Final, Kenshin Himura berhadapan dengan antagonis terakhir siri ini, iaitu Enishi Yukishiro, bekas abang iparnya yang ingin membalas dendam keatasnya kerana kematian adiknya, yang juga bekas isteri Kenshin.

Sama seperti filem-filem Kenshin Himura sebelum ini, ia dibintangi oleh Satou Takeru, dan bukan sahaja menjanjikan jalan cerita yang penuh emosi, tetapi juga adegan-adegan aksi praktikal dan dinamik yang diminati orang ramai.

Sebagai penonton anime tegar masa dahulu, menonton adaptasi Rurouni Kenshin: The Final selepas adaptasi yang cukup baik selepas Rurouni Kenshin: Kyoto Infernal khususnya kerana bahagian Jinchu Arc, yang merangkumi bahagian filem ini hanya diadaptasikan sebagai OVA (Original Video Animation) dan bukan TV anime sepertimana yang dilakukan untuk Kyoto Arc, yang merangkumi filem Kyoto Inferno.

Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz

Startup

Startup yang saya tonton ini bukannya K-Drama yang popular di Netflix, sebaliknya adalah siri TV jenayah serius daripada pelakon komedi terkenal – Adam Brody.

Ia mempunyai satu konsep penceritaan yang cukup menarik. Seperti judulnya, ia adalah kisah bagaimana satu syarikat Startup ditubuhkan – di mana mereka membangunkan satu sistem kriptowang tersendiri. Kononnya adalah pesaing Bitcoin yang lebih hebat. Ia bermula dengan bapa kepada watak Adam Brody yang boleh dikatakan terlibat dengan satu aktiviti korupsi, di mana bapa beliau meminta bantuan untuk anaknya sorokkan duit yang telah disonglap. Nick Talman (watak lakonan Adam), menggunakan wang tadi untuk menubuhkan syarikat kriptowang tersendiri bersama-sama dengan seorang pembangun Izzy Morales lakonan Otmara Marrero.

Tanpa tahu asal-usul wang tadi, iaitu dimiliki oleh Ronald Dacey lakonan Edi Gathegi – antara orang penting dalam satu kumpulan gangster mula menuntutnya kembali. Mulalah kisah ugutan, pembunuhan, pelbagai jenayah lain yang mempunyai satu penceritaan dengan dinamik cukup baik. Di samping itu, seorang pegawai FBI korup Phil Rask lakonan Martin Freeman turut memburu Nick, Izzy, Ronald untuk turut menuntut wang haram tadi dengan alasan ia adalah untuk siasatan.

Siri TV ini turut memperlihatkan sebuah syarikat teknologi lain yang sudah berjaya yang ditubuhkan oleh Alex Bell lakonan Aaron Yoo. Syarikat beliau dilihat cukup terkenal dan dipandang hebat oleh semua orang. Tetapi di sebalik syarikat beliau, ada rahsia gelap yang tidak diketahui oleh umum. Mulalah pertempuran antara syarikat Alex vs syarikat Nick vs FBI.

Siri TV ini turut memperlihatkan bagaimana kehidupan ini semuanya adalah satu kitaran. Ronald yang asalnya gangster berubah menjadi baik. Nick yang asalnya baik mula terlibat dengan pelbagai jenayah, Izzy mempunyai perwatakan yang suka menjadikan diri sebagai mangsa – kejap baik dan kejap tidak. Ia baru ada tiga musim dengan musim ketiga berakhir dalam keadaan tergantung. Musim keempat masih tiada khabar, kerana menurut laporan mereka tidak boleh teruskan penggambaran kerana pandemik.

Startup boleh ditonton di Netflix.

Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Sohor Kini