Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

This is Pop – Netflix

Netflix menghasilkan kandungan berdasarkan algoritma yang melihat pola tontonan pelanggan mereka. Oleh sebab zaman awal ia memulakan operasi, kandungan yang ditawarkan adalah pelbagai dan boleh dikatakan left field dari yang boleh ditonton di televisyen. Kini algoritma semakin sempurna dan mereka tahun kandungan apa yang laku dan kandungan apa pula yang akan ditong sampahkan selepas hanya satu musim (#RIPJupitersLegacy).

Antara kandungan yang pasti meletup dan melekat ialah dokumentari yang menimbulkan nostalgia. Toys That Made Us, Movies That Made Us, WW2 In Color adalah contoh kandungan nostalgia yang pastinya akan ditonton. This is Pop ialah sebuah lagi siri dokumentari yang menggabungkan nostalgia, subject matter yang menarik dan penyampaian yang aku kategorikan sebagai “Netflixy”. Bayangkan Hip Hop Evolution (juga siri dokumentari Netflix yang aku sarankankan anda tengok) tetapi lebih santai dan tidak memerlukan anda mengetahui sejarah genre secara mendalam.

Siri lapan episod ini membawa penonton dalam pengembaraan mempelajari apakah yang membuatkan genre Pop menjadi Pop. Apakah nama-mana besar dalam sejarah Pop yang sehingga kini meninggalkan impak ke atas industri muzik. Dimulakan dengan kumpulan Boys II Men sebelum berbincang tentang Auto-Tune kemudian pergi pula ke Sweden untuk menganalisa mengapa banyak lagu nombor 1 datang dari negara IKEA ini sebelum berakhir dengan Brill Building.

Subjek yang diketengahkan tidak semuanya menarik pada hemat aku tapi majoritinya adalah cukup baik untuk memaafkan episod lemah yang berfungsi seperti episod filler siri Naruto/Dragon Ball/One Piece. Yang membuatkan siri ini menarik ialah penyampaian setiap episod berbeza dengan opening credit, narator dan suntingan yang unik. Episod 5 : Hail Britpop misalnya dibuat seakan dokumentari gila yang mirip diterbitkan oleh Channel 4 di UK.

Peperangan di antara Oasis dan Britpop dilihat dari lensa tidak serius bagi menunjukkan ia adalah era gila di mana perbalahan antara dua kumpulan rock menjadi tajuk utama Dunia Jam 10 di UK. Penyampaian bersahaja dengan nada taking a piss sangat serasi dengan episod mengenai era Britpop yang menentang keseriusan muzik grunge Amerka Syarikat pada waktu tersebut.

This Is Pop ialah dokumentari santai, berinformasi dan boleh dihabiskan dalam masa dua hari sahaja. Jika anda sukakan hiburan yang berilmiah yang tidak membosankan sila strim siri ini menerusi Netflix.

Izzat – Editor, Aksiz

Dr. Stone Musim 1

Ricky Gervais seorang pelawak, pernah mengatakan yang jika kesemua buku agama ataupun buku fiksyen dimusnahkan, selepas 1000 tahun ia tidak akan kembali seperti asal, manakala jika kajian sains dimusnahkan, selepas 1000 tahun saintis baharu akan mengeluarkan penemuan yang sama. Bagi aku, itu adalah pengenalan terbaik untuk siri Dr. Stone ini.

Dr. Stone adalah mengenai Senku Ishigami iaitu seorang pelajar yang berumur 15 tahun yang sangat bijak dan sangat meminati sains. Selepas dunia mengalami satu fenomena yang membuatkan semua manusia menjadi batu, Senku menjadi antara orang terawal yang kembali menjadi manusia.

Menggunakan pengetahuannya di dalam sains, dia cuba untuk mengembalikan semua tamadun manusia termasuk juga menyelamatkan kesemua manusia yang menjadi batu. Siri anime ini sangat menarik kerana penggunaan pelbagai teori sains. Walaupun ia dipermudahkan akan tetapi masih menarik untuk ditonton dan diketahui. Ia serba sedikit akan memberi pengetahuan baharu.

Selain itu, Dr. Stone juga menyertakan pelbagai watak menarik tidak kira kawan ataupun lawan kepada Senku, ini menjadikan setiap adegan di dalam anime ini sentiasa membawa sesuatu yang baharu. Mungkin ada beberapa bahagian yang boleh dianggap sebagai ‘filler’ akan tetapi ia adalah bahagian kecil di dalam satu episod, dan bukan keseluruhan episod.

Bagi aku, musim pertama untuk siri ini adalah satu musim yang baik dan merasakan ramai yang memulakan tontonan akan terus maratonton kerana penceritaan yang menarik. Sebagai just pengikut siri manga, penceritaan Dr. Stone juga akan terus menjadi lebih baik oleh itu tidak sabar untuk ia menerima musim kedua.

Dr. Stone boleh ditonton di kebanyakan perkhidmatan penstriman tempatan seperti Netflix, Iqiyi, DimSum dan pelbagai lagi.

Nazrin – Editor, Amanz

The Good Doctor

Jujur saya katakan bahawa siri televisyen mengenai profesyen perubatan adalah salah satu daripada genre kegemaran saya, seperti Scrubs, House, Grey’s Anatomy dan New Amsterdam. Baru-baru ini, Netflix telah menambah tiga musim The Good Doctor dalam senarai siri televisyen mereka, dan saya tidak boleh berhenti menontonnya.

The Good Doctor hadir dengan dua versi di Netflix, satu versi Korea dan yang sedang saya tonton ialah versi Amerika, yang berkisarkan tentang seorang doktor mudah yang bernama Shaun Murphy yang baru ditugaskan di San Jose St. Bonaventure Hospital sebagai seorang pakar bedah.

Keunikan siri ini ialah Dr. Shaun Murphy menghidap penyakit autism, secara spesifiknya Savant Syndrome yang mana walaupun dia seorang doktor yang boleh dikatakan sangat bagus dalam tugasnya, mampu menghafal pelbagai jenis maklumat perubatan, penyakit dan merupakan seorang pakar bedah yang tahu selok-belok anatomi manusia, dia masih perlu menghadapi realiti hidup yang mana komunikasi dengan rakan sekerjanya dan orang-orang lain di persekitarannya agak sukar.

Siri televisyen ini sedikit sebanyak memperlihatkan pergelutan diantara Shaun Murphy dan rakan sekerjanya dan jiran-jirannya dalam menangani isu autismnya, disamping memperlihatkan kebolehannya dalam bidang perubatan. Bagi saya, siri ini adalah salah satu contoh terbaik dalam menunjukkan bahawa kita tidak boleh lari daripada pergelutan fizikal dan mental dalam usaha menjadi versi terbaik diri kita yang kita inginkan.

Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz

The Monster Club, Scare Me, Psycho Goreman, Caveat, Slaxx, Asylum, Behind The Mask, Francais Creepshow

Seperti minggu lepas, minggu ini juga aku layan puas-puas kandungan di dalam platform penstriman video filem-filem, siri-siri TV dan dokumentari seram – Shudder. Ya lah, aku nak memanfaatkan langganan yang aku telah bayar. Asyik Netflix, Disney+, Prime Video, Apple TV+, sesekali ada pilihan lain syok juga.

Apa yang aku tonton minggu ini adalah The Monster Club, Scare Me, Psycho Goreman, Caveat, Slaxx, Asylum, Behind The Mask dan juga francais Creepshow (filem asal Creepshow & Creepshow 2 dan siri TV asli Shudder Creepshow).

  • The Monster Club (1981)
    • Filem antologi kisah dua orang di kelab raksasa berkongsi cerita seram. Seram klasik dengan kesan visual praktikal adalah cukup menarik. Ada yang ngeri dan ada yang lucu ada juga jalan cerita sahaja sudah menggigil badan. Itu adalah pengalaman dalam filem antologi ini.
  • Scare Me (2020)
    • Sebuah filem mengenai dua penulis yang terperangkap kerana masalah elektrik, berkongsi cerita seram dengan latar belakang realistik. Watak lelaki mula over sehingga menakutkan watak wanita mengakibatkan peristiwa tidak diingini berlaku. Filem ini ringkas sahaja, nampak serius tetapi tidak atau mungkin ya – ia akan mengelirukan penonton. Tetapi cukup menarik dan ngeri, sedikit elemen mengejut tetapi beberapa sudah boleh dijangka.
  • Psycho Goreman (2021)
    • Sebuah filem mengenai dua orang kanak-kanak yang menemui batu ajaib daripada angkasa. Batu ini boleh mengawal pahlawan makhluk asing yang ganas dan kejam yang turut muncul kerana batu tadi. Ia adalah filem lucu. ngeri dengan kesan visual praktikal. Filem ini adalah filem komedi dengan mayat, darah, organ bertemakan sains fiksyen. Konsep lucu dengan filem moden yang menggunakan konsep seram klasik.
  • Caveat (2020)
    • Lagi satu filem yang seram, ngeri, seriau – Isaac menerima upah untuk menjaga sepupu tuan tanah rumah sewa beliau. Tiba di lokasi yang sunyi, terpinggir dan ngeri ini, pelbagai syarat aneh perlu Isaac dipatuhi seperti perlu memakai jaket dengan rantai besi yang mengehadkan perjalanan beliau di dalam rumah. Dengan bayaran lumayan, beliau menerima dan menyedari ada misteri dalam rumah ini yang mendedahkan identiti beliau. Filem ini gila ngeri, cukup menyeramkan dan badan boleh menggigil. Penyampaian cerita yang A+ serta cukup memuaskan.
  • Slaxx (2021)
    • Filem dengan jalan cerita yang sangat ringkas. Seorang pekerja yang ingin bekerja di sebuah syarikat pakaian ternama. Sebuah seluar jean baharu Super Shaper dengan benang yang kononnya boleh mengikut bentuk badan pemakai. Di hari pelancaran, seluar ini dirasuk dan telah mengakibatkan kacau-bilau. Seluar ini boleh makan orang. Filem ini komedi karut yang cukup menghiburkan.
  • Asylum (1972)
    • Satu lagi filem antologi seram klasik. Seorang psikiatri, Dr. Martin telah ditugaskan untuk bekerja di sebuah suaka orang sakit jiwa yang terpinggir. Setelah tiba,seorang petugas atau autoritarian Lionel Rutherford mengarahkan beliau untuk mencari seorang pesakit Dr B. Starr. Dr B. Starr berada di dalam salah satu daripada empat bilik pesakit, jika Dr. Martin dapat teka pesakit manakah Dr B. – jawatan Ketua Doktor adalah milik beliau. Setiap bilik ada cerita seram yang menarik, ngeri, tidak boleh bawa tidur dan juga lucu kerana tidak masuk akal.
  • Behind The Mask (2006)
    • Sebuah filem dokumentari parodi mengikuti perjalanan hidup pembunuh bersiri Leslie Vernon yang kononnya sudah berada sebaris dengan Jason, Mike atau Freddy. Sepanjang dokumentari ini pelbagai aksi lucu berlaku yang sepatutnya seram tetapi menjadi adegan yang berdekah.
  • Francais Creepshow
    1. Creepshow (1982)
    1. Creepshow 2 (1987)
    2. Creepshow (2019)
      • Dua yang asal pada tahun 180-an adalah filem antologi mengenai kisah dalam komik Creepshow disampaikan dalam bentuk aksi nyata. Komik ini adalah komik dalam dunia filem ini sahaja, tetapi mengambil inspirasi daripada Tales from the Crypt, The Vault of Horror dan juga The Haunt of Fear. Tahun 2019, Shudder menerima hak IP dan hadir dengan siri TV kini sudah dua musim.
      • Setiap kisah dalam antologi Creepshow campur dengan drama sedih, aksi lucu, seram gila, seram ngeri, ngeri seriau dan pelbagai lagi.

Shudder tiada di Malaysia, jadi pengguna Android perlu muat turun APK atau boleh tukar akaun Play Store ke negara yang ada akses platform ini. iOS juga begitu, tukar akaun ke negara yang disokong. Langgan VPN yang ada banyak pilihan pelayan Amerika Syarikat, langgan Shudder pada sekitar RM25 sebulan.


Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Sohor Kini