Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Turning Point : 9/11 and the War on Terrror – Netflix

Dalam masa lapan hari sahaja lagi kita akan menyambut ulang tahun ke-20 serangan ke atas World Trade Center di New York dan Pentagon di Washington. Aku tak sangka pejam celik sudah dua dekad insiden berdarah yang mengorbankan lebih 3000 nyawa ini dengan tiga adalah rakyat Malaysia ini telah berlalu. Rasa seperti hanya semalam aku sedan bermain Tekken 3 di kolej apabila tiba-tiba rakan serumah memaksa aku menukar TV untuk melihat laporan khas serangan ditayangkan di kaca TV secara live.

Sambutan ulang tahun ke-20 membawakan beberapa dokumentari yang cuba mengupas apa yang berlaku pada hari tersebut dan tindakan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat untuk membalas dendam. Turning Point : 9/11 and the War on Terror ialah antara dokumentari yang diterbitkan khusus untuk 911 tahun ini.

Aku sarankan ia ditonton kerana ia sangatlah sesuai dengan situasi Afghanistan yang kini kembali ke tangan Taliban selepas 20 peperangan yang paling laman pernah melibatkan tentera Amerika Syarikat. Selepas lebih dua minggu, ramai bekas tentera A.S yang bertugas di Afghanistan menyuarakan kekesalan mereka dengan penarik negara mereka dari negara tersebut. Ia sudahpun dilihat sebagai perang sia-sia setanding dengan yang berlaku di Vietnam pada tahun 1975.

Malahan terdapat banyak persamaan di antara The Fall of Saigon dengan The Fall of Kabul bukan sahaja dari cara Amerika tergesa-gesa mengeluarkan rakyat dari ibu kota yang diserang malahan juga tiadanya perancangan masa panjang untuk menyelesaikan isu yang timbul.

Dokumentari ini terdiri daripada lima episod. Setiap satu membincangkan hari tersebut, usaha menyelamat, perang yang dimulakan, kegagalan polisi dan Amerika menjadi sebuah lagi empayar yang dimakamkan di Afghanistan seperti Soviet, British dan Alexander Agung.

Harus aku akui dokumentari ini melihat dari pandangan Amerika Syarikat dengan pendapat dari warga Afghanistan yang agak minima. Tidak mengejutkan kerana pembikinnya adalah Brian Knappenberger seorang warga Amerika yang sebelum ini menerbitkan The Trials of Gabriel Fernandez dan The Internet’s Own Boy: The Story of Aaron Swartz.

Tetapi Knappenberger masih mengkritik pedas pentadbiran Bush yang tidak menandang serius beberapa amaran serangan akan berlaku sebelum 11 September, menghentam tindakan Senat yang memberikan kuasa tanpa batas kepada Bush untuk mengisytiharkan perang tanpa perdebatan menyeluruh, tiada perancangan lengkap apa yang akan dilakukan di Afghanistan, kekejaman di Kem Guatanamo, Patriot Act yang melanggar privasi, penyiksaan tahanan, apa yang berlaku selepas Bin Laden di bunuh dan tiada perancangan untuk keluar dari Afghanistan. Kesemuanya dilakukan oleh Bush atas nama kebebasan dan membalas dendam serangan 911.

Topeng Amerika sebagai negara bertamadun juga dikopek seluas-luasnya dalam dokumentari ini. Banyak bukti video dari pembaca berita sehingga Joe Public di jalanan meminta darah dibalas dengan darah. Kuotasi kejam menyamakan warga Afghanistan (secara menyeluruh) seperti haiwan, hapuskan semua warga Afghanistan sehingga ke zaman batu dan banyak lagi. All it took is a few thousand deaths and the carefully cultivated veneer melted like steel beams!

Sebagai rakyat Malaysia dokumentari mengingatkan semula bagaimana Khalid Sheikh Mohammed – perancang serangan melakukan pertemuan dengan beberapa juruterbang berani mati di Kuala Lumpur. Ini sebab kenapa pasca 911 amat sukar untuk warga Malaysia untuk memasuki Amerika Syarikat. Aku sendiri setiap kali mendarat di Amerika Syarikat (dua tahun lalu empat kali aku ke sana) aku akan dikenakan ‘pemeriksaan rawak’ di lapangan terbang. Terima kasih Khalid Sheikh Mohammed kerana menyusahkan brown folks sehingga ke hari ini.

Kesemua kandungan yang aku sarankan sebelum ini adalah santai. Turning Point : 9/11 and the War on Terror ialah antara dokumentari yang berat, dipenuhi visual yang menggerunkan dan akan menimbulkan kemarahan. Sometimes you need a good pinch in the face because the reality is really not comfortable.

Dokumentari boleh ditonton di Netflix sekarang dengan lima episod kesemuanya.

Izzat – Editor, Aksiz

Batman: The Long Halloween

DC mungkin masih ketinggalan jika bercakap mengenai filem aksi nyata apabila dibandingkan dengan Marvel, namun satu perkara yang mereka melakukan satu kerja yang lebih baik adalah siri animasi. Mereka telah hadir dengan pelbagai siri animasi yang menarik, dan tidak terikat dengan mana-mana “universe”.

Terbaru adalah Batman: The Long Halloween yang baru sahaja dilancarkan pada bulan Jun untuk bahagian pertama dan bulan Julai untuk bahagian kedua. Ia adalah adaptasi kepada siri komik berjudul sama oleh Jeph Loeb dan Tim Sale.

Batman: The Long Halloween adalah mengenai pembunuh yang digelar sebagai ‘Holiday’ di mana dia membunuh setiap kali hari cuti utama, bermula dengan Halloween, Krismas, Tahun Baharu dan pelbagai lagi. Perkara menarik mengenai penceritaan ini adalah ia bermula dengan Batman, Harvey Dent dan James Gordon cuba untuk membanteras Carmine Falcone.

Namun, disebabkan Holiday sering membunuh orang-orang Falcone mereka sebaliknya perlu memastikan keselamatan Falcone dan menyiasar mengenai siapa sebenarnya Holiday. Kekuatan utama filem ini adalah bagaimana mereka menyampaikan setiap misteri.

Bagi yang sudah membaca komik, ia mungkin tidak terasa, tetapi bagi saya yang tidak mengetahui mengenai siapa Holiday, filem ini sangat pandai untuk menyampaikan klu yang terbuka dan sukar untuk menjangkakan siapa watak misteri itu yang sebenar.

Filem ini juga menyampaikan pelbagai perhubungan dengan baik, antaranya adalah perhubungan di antara Batman dan Catwoman, Batman, Harvey Dent dan James Gordon. Ia juga mengembangkan watak Harvey Dent dengan baik sehingga dia menjadi Two-Face, ini tidak mengejutkan kerana komik ini merupakan inspirasi yang digunakan oleh Christopher Nolan untuk watak Harvey Dent di dalam The Dark Knight.

Animasi juga dilakukan dengan baik, ia membawa gaya seni bersesuaian dengan era klasik yang ingin disampaikan. Aksi juga dilakukan dengan ringkas tetapi sangat berkesan untuk memperlihatkan setiap aksi, di mana ia tidak memotong bahagian yang penting dan memperlihatkan aksi dengan jelas.

Lakonan suara juga sangat baik, Jensen Ackles sebagai Bruce Wayne dan Batman, Naya Rivera sebagai Selina Kyle dan Batwoman, Josh Duhamel sebagai Harvey Dent dan Billy Burke semaga James Gordon menyampaikan setiap watak mereka dengan sangat baik.

Watak-watak lain juga disampaikan dengan baik, terutama watak-watak jahat lain walaupun hadir dalam masa yang singkat sahaja seperti Joker yang dilakonkan oleh Troy Baker.

Batman: The Long Halloween bahagian satu dan bahagian dua boleh disewa di iTunes Store dan Play Store di benua yang mempunyainya. Saya menggunakan benua Amerika Syarikat dan harga sewa adalah $5.99 untuk setiap satu bahagian bagi resolusi 4K.

Nazrin – Penulis, Amanz/Aksiz

Mr. Robot

Sebagai seorang yang bekerja dalam industri IT, salah satu trope yang pada pendapat saya paling jelik sekali ialah bagaimana sistem-sistem komputer dilihat berfungsi dalam kisah fiksyen, khususnya di medium televisyen. Cerita-cerita seperti CSI, NCIS, Man of Interest secara lazimnya sangat menarik untuk ditonton, tetapi tidak menggambarkan keadaan sebenar tentang bagaimana teknologi infrastruktur IT berfungsi.

Mr. Robot ialah sebuah siri televisyen yang menggabungkan realiti dunia intipan dan godaman menggunakan teknologi sedia ada dan fiksyen hipotetikal tentang apa yang kita boleh jangkakan tentang penggunaan teknologi dalam masa terdekat ini.

Ia menceritakan perihal tentang Elliot Anderson, seorang pekerja IT di siang hari, dan penggodam black hat di waktu malam. Mr. Robot banyak menggunakan terma-terma IT dan sekuriti yang selalu didengari setiap hari. Akan tetapi, ia digabungkan dengan konsep-konsep seperti social engineering, politik, ekonomi, falsafah dan psikologi untuk penceritaan yang sangat mendalam.

Mr. Robot sehingga kini masih lagi satu-satunya cerita fiksyen berdasarkan teknologi yang masih berlandaskan realiti, tetapi masih lagi berani untuk membentangkan tentang bahana teknologi yang mana sekiranya anda tonton hari ini, anda akan berasa sukar untuk percaya bahawa siri ini telah tiba di kaca televisyen hanya sekitar enam tahun lepas.

Boleh saya katakan bahawa dari musim ke musim, Mr. Robot mengupas tentang isu-isu sosial dan politik yang berkisarkan dari perspektif penggunaan teknologi, malah kita dapat lihat sedikit tentang bagaimana sebuah konsep yang tidak asing lagi seperti kriptowang, yang pada waktu tersebut masih tidak dikenali ramai sebagai matawang yang akan akan mencakar dunia ekonomi.

Mr. Robot kini boleh ditonton kesemua empat musimnya di Netflix. Jika anda mempunyai masa terluang, ini adalah salah satu daripada cerita bertema techno-thriller yang boleh saya syorkan anda untuk tonton.

Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz

Cruella

Cruella adalah filem aksi nyata yang tiada siapa minta, tetapi entah bagaimana boleh terlintas fikiran di minda orang-orang di sebalik Disney untuk hadir dengan filem ini. Ia adalah filem asal-usul Cruella de Vil iaitu watak penjahat dalam francais animasi popular 101 Dalmation. Tetapi filem ini tiada kisah Cruella yang kejam ingin bunuh anjing dan gunakan kulit mereka sebagai pakaian dalam barisan rekaan fesyen beliau. Sebaliknya bagaimana nama Cruella de Vil dan bagaimana diri Cruella itu tercipta.

Cruella dalam filem ini dilakonkan oleh Emma Stone. Sebelum aku cerita selanjutnya mengenai filem ini, aku akan kongsi prestasi lakonan beliau dalam filem ini. Usaha Emma Stone menjayakan watak ini jelas kelihatan. Iterasi Disney untuk mempunyai filem ala Harley Quinn versi Disney boleh dikatakan menjadi. Perkembangan watak beliau dalam filem ini pada aku cukup baik, menarik, penuh dengan emosi dan menjadi. Cuma sayang sekali ia tidak cukup memuaskan.

Ini adalah kerana watak ini tenggelam dengan kekejaman dan kejahatan watak The Baroness lakonan seorang lagi Emma iaitu Emma Thompson. Mungkin sekuel nanti, Emma Stone boleh cuba sekali lagi dan menjadi lebih kejam. Nilai kejahatan itu sudah ada, tetapi aksi kejam Cruella itu tidak memuaskan. Aku faham yang ini adalah filem pertama dan sebagai permulaan sahaja. Jikalau Disney boleh hadir dengan filem memfokuskan watak penjahat seperti Maleficent, Cruella juga ada harapan.

Elemen asal 101 Dalmation juga tidak banyak disertakan, ada sedikit tetapi hanya peminat sejati francais sahaja akan sedarinya. Ia sepatutnya didedahkan lagi agar semua boleh kenali filem ini dengan lebih dekat berbanding hanya segelintir. Jalan filem ini cukup menarik, tetapi penyampaian kurang enak menjadikan filem ini seakan filem The Baroness dengan Cruella sebagai seorang anak didik yang tidak puas hati berbanding filem penuh Cruella.

Harapnya sekuelm akan datang yang sudah disahkan akan memfokuskan kepada watak Cruella yang lebih kejam dan ada elemen niat membunuh anjing 101 Dalmation untuk tujuan dijadikan bahan mentah fabrik untuk pakaian beliau.

Tetapi syukur yang filem ini boleh ditonton percuma di Disney+ Hotstar bermula hari ini. Anda boleh sakiskannya tanpa sebarang bayaran tambahan seperti Premiere Access atau sewaan/belian digital.


Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Sohor Kini