Apa kami tonton minggu ini adalah segmen baharu di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan. Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Portrait Artist of The Year – YouTube

Minggu lalu aku menyarankan siri TV realiti Clarkson’s Farm yang berkisar tentang kehidupan Jeremy Clarkson yang secara bidang terjun menjadi seorang petani moden. Ia adalah saranan yang agak aneh kerana rancangan seperti Clarkson’s Farm adalah genre yang boleh aku katakan tidak wujud di Malaysia kerana terlalu left field. Jadi minggu ini aku meneruskan tema menyarankan rancangan yang aku pasti ramai di kalangan pembaca tak pernah tengok, tidak pernah fikir untuk tengok atau tak tahu langsung kewujudannya kerana ia adalah genre yang tidak wujud di Malaysia. Tuan-tuan dan puan-puan , saya sarankan Portrait Artist of The Year untuk anda minggu ini.

Portrait Artist of The Year ialah rancangan TV realiti dari UK yang mencari pelukis potret terbaik dari kepulauan UK dan Ireland. Siri dengan enam episod sahaja ini cuba mencari bakat tersembunyi dengan tawaran hadiah £10,000, karya dipamerkan di National Portrait Gallery dan diberikan tanggungjawab melukis potret yang kemudiannya akan dimasukkan ke dalam simpanan kekal British Library. Premis yang mungkin kedengaran agak bosan apabila aku menulisnya tetapi sebenarnya tidak.

Bayangkan anda seorang pelukis yang tidak dikenali yang kemudiannya diberikan tugas menghasilkan potret seorang individu penting untuk negara yang kemudian karya disimpan selama-lamanya untuk tatapan generasi akan datang. Siri sudah wujud sejak 2013 dan masih lagi diteruskan di UK. Tetapi ia tidak pernah aku lihat dimasukkan ke dalam senarai perlu tonton atau dibincangkan.

Namun begitu dengan hampir kesemua siri TV baharu adalah siri aksi, komedi, Korea, cinta cintun dan sitkom, Portrait Artist of The Year ialah siri yang menawarkan sesuatu yang lain daripada lain buat penonton. Pelbagai jenis medium digunakan untuk menghasilkan lukisan potret. Pelukis yang menerima latihan klasik old master dari Itali bertarung sama tinggi dengan pelukis amatur yang menghasilkan karya menggunakan pen marker atau cat air biasa.

Di atas kertas mungkin ramai meramal pelukis dengan latihan profesional akan mempunyai kelebihan. Tetapi dalam situasi pertandingan had masa empat jam untuk berkarya, dengan kerja diperhatikan orang ramai di galeri terbuka dan subjek yang diberikan secara rawak menguji kemampuan semua peserta.

Apa yang aku rasakan lebih menarik ialah interpretasi apakah lukisan potret yang baik? Adakah ia teknik, medium, komposisi atau sekadar sedap mata memandang? Siri ini mungkin akan lebih menarik minat penonton yang lebih artistically inclined di kalangan anda tetapi manusia yang tiada bakat seperti aku sekalipun boleh menghargai bakat seni yang diperlihatkan. Bagi mereka yang mahukan siri yang lain daripada yang lain dan bosan dengan kandungan klise di pelbagai platform penstriman berbayar, Portrait Artist of The Year boleh ditonton percuma di YouTube hari ini.

Izzat – Editor, Aksiz

Bo Burnham – Inside

Bo Burnham adalah salah seorang daripada beberapa “pelawak” yang saya sering mengikuti kariernya. Berbanding pelawak-pelawak lain, Bo Burnham saya boleh katakan seorang yang menyampaikan sesuatu dengan ringan, walaupun secara jenaka tetapi mempunyai sesuatu pengisian yang lebih mendalam dan bukan sekadar satu jenaka kosong sahaja.

Secara jujur, Bo Burnham bukanlah seorang pelawak yang akan membuatkan aku ataupun kebanyakan orang ketawa berdekah-dekah, tetapi aku menyukainya kerana pengisian setiap daripada persembahan yang dilakukan. Tidak kira melalui satu lagu ataupun percakapan biasa.

Pada bulan lepas, beliau telah hadir dengan satu “special” baharu untuk Netflix iaitu Inside. Bagi yang mengikuti Bo Burnham, selepas persembahan terakhirnya iaitu Make Happy yang dikeluarkan pada tahun 2016, beliau mengambil keputusan untuk jeda daripada melakukan persembahan secara langsung.

Perkara tersebut yang membuatkan Inside sangat dinanti-nantikan oleh aku, dan selepas menontonnya, Bo Burham berjaya membawa sesuatu yang sangat menarik. Seperti biasa, ia bukanlah satu yang akan membuatkan sesiapa ketawa besar akan tetapi menontonnya sangat memukau terutama dari segi kepelbagaian cara ia dirakam.

Menjadikan ia lebih mengagumkan, Inside adalah satu special yang dihasilkan oleh dirinya berseorang, di dalam satu bilik tanpa sebarang penonton. Tiada krew sekadar dirinya dan kamera. Ini benar-benar menggambarkan keadaan sekarang semasa pandemik Covid-19.

Sepanjang persembahan 1 jam 27 minit ini, Bo Burham berjaya menyampaikan kegelisahan berada berseorangan ataupun terpaksa berkurung di dalam rumah dan tidak dapat melihat dunia luar. Ini menjadi lebih mendalam kerana sepanjang 5 tahun Bo Burham “berehat” daripada persembahan, beliau menyendiri, dan apabila bersedia untuk kembali keluar, dia terpaksa kembali di dalam kurungan.

Jika anda ingin mencari sesuatu yang melucukan untuk ditonton, Bo Burham – Inside bukanlah rancangan untuk anda. Saya boleh katakan hanya beberapa kali sahaja saya betul-betul ketawa menontonnya, sebaliknya ia memberi perasaan tidak senang tetapi pada masa menyedari, ini adalah realiti.

Ini bukanlah satu rancangan komedi, tetapi satu dokumentari mengenai seorang lelaki dengan nama Bo Burham dan ia disampaikan dengan sangat kreatif. Anda boleh tonton Bo Burham – Inside di Netflix.

Nazrin – Editor, Amanz

My Hero Academia

Tidak dinafikan bahawa Netflix kini boleh dikatakan sebagai salah satu platform penstriman terbaik untuk anda menonton banyak tajuk anime kegemaran yang boleh dinikmati oleh dewasa dan juga anak muda. Salah satu daripada tajuk anime dan manga kegemaran saya sekarang ialah My Hero Academia, yang dilihat sebagai pelapis dan pengganti kepada siri-siri anime yang telahpun tamat tayangannya seperti Naruto dan Bleach.

Jalan cerita My Hero Academia pada asasnya agak klise. Manusia dengan adikuasa adalah satu norma, malah mereka tanpa kuasa unik boleh dikatakan tidak wujud lagi. Malah itulah cerita hidup Midoriya Izuku, protagonis utama anime ini yang punah cita-citanya untuk menjadi seorang adiwira apabila menyedari bahawa dia tidak dikurniakan sebarang kuasa istimewa seperti kanak-kanak lain.

Akan tetapi, pertemuan dengan adiwira nombor satu dunia, All Might membuka peluang kepada beliau untuk merealisasikan cita-cita tersebut yang mana kuasa adiwira All Might, yang dinamakan One For All diwarisi oleh Midoriya, tetapi untuk menjadi seorang adiwira bukanlah sesuatu yang semudah memiliki mukjizat paling berkuasa di dunia.

Sekilas pandang, anda mungkin akan merasakan bahawa My Hero Academia ialah sebuah anime dengan penceritaan yang klise, tetapi perwatakan dan penceritaan yang tidak begitu lurus memperlihatkan perkembangan watak Midoriya Izuku sebagai seorang watak yang lemah kepada seorang adiwira mudah yang sedang mempelajari cara-cara untuk menggunakan kuasanya tanpa merosakkan badannya dengan strategi-strategi menarik membuatkan saya terus membaca manga dan menonton anime ini apabila musim-musim baru tiba di Netflix.

Bukan itu sahaja, pada pendapat saya, tidak ada satu pun watak dalam My Hero Academia ini yang ditulis secara berseloroh, dan semua rakan-rakan sekelas Midoriya mempunyai perwatakan mereka sendiri yang membuatkan mereka sangat menarik dan mudah diingati.

Malah, watak-watak antagonis utama dalam siri ini juga semuanya mempunyai motivasi mereka sendiri mengapa mereka melakukan kejahatan. Ini bukanlah untuk mengatakan bahawa perbuatan mereka mempunyai sebab yang baik, tetapi ia memberi konteks kepada mengapa walaupun dengan adikuasa yang hebat, ramai juga daripada mereka ini yang tersisih daripada masyarakat besar.

My Hero Academia kini hadir dengan musim keempat di Netflix, dengan 88 episod yang sangat mendebarkan dari mula hinggat tamat setakat ini. Saya tidak sabar untuk musim kelima anime ini tiba di Netflix kelak.

Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz

The Cleansing Hour, Tales of Halloween, Homewrecker, Scare Package, Re-Animator, The Mortuary Collection, Texas Chainsaw Mascacre, Body Bags

Aku suka gila dengan filem seram. Lebih-lebih lagi filem yang ngeri, kejam, banyak darah, potong sana, cantas sini, makan organ, kena baham, kena tikam – cakaplah apa lagi aku boleh layan semua. Aku suka konsep slasher, kerana mempunyai jalan cerita ringkas pada pelbagai watak dan kemudian membawa ke satu arah yang berkait.

Konsep lain adalah antologi. Aku ada nampak Cultpix, tetapi harga langganan agak mahal cecah ratusan ringgit. Kemudian baru aku teringat akan kewuudan Shudder. Platform penstriman video untuk kandungan seram, ngeri, slashics – iaitu seram ngeri klasik. Mereka juga ada banyak kandungan Shudder Orignals dan harga langganan adalah $5.99 sahaja iaitu sekitar RM25 sebulan.

Tahap keseraman orang barat tidak sa dengan tahap keseraman orang kita. Saya cari carta filem paling seram dan ngeri dan cuba tonton semua yang disarankan – sedikit takut pun tidak. Kemudian kebanyakan filem seram klasik mempunyai jala cerita yang bodoh gila atau cheesy. Adegan serius dan ngeri menjadi adegan seram komedi. Disebabkan itu tidak rasa seram. Perkara menarik untuk filem-filem seram kultur ini adalah, kebanyakan kesan visual mereka praktikal. Jadi seronok untuk tengok usaha mereka cuba mempersembahkan elemen seram yang realistik.

  • The Cleansing Hour – Filem mengenai selebriti penstrim yang berpura-pura menjadi penghalau hantu terpaksa melakukannya betul-betul apabila rakan mereka dirasuk secara langsung.
  • Tales of Halloween – Filem antologi 10 cerita pendek kisah Halloween. Ada yang kelakar, ada yang sedih, ada yang seram, adang dak masuk akal. Pakej lengkap untuk malam sunyi.
  • Homewrecker – Filem seram slasher moden, mengisahkan jiran yang psiko.
  • Scare Package – Filem seram komedi mengarut, buatkan anda ketawa terbahak-bahak
  • Re-Animator – Filem seram klasik mengenai zombi atau manusia hidup semula selepas mati dengan suntikan serum.
  • The Mortuary Collection – Kisah antologi mengenai pengumpul mayat. Di sebalik kisah singkat, watak utama filem ini ada pertelingkahan yang misteri.
  • Texas Chainsaw Mascacre – Filem seram klasik, direkodkan sebagai antara paling seram dan ngeri.
  • Body Bags – Filem antologi seram, komedi dan ngeri. Biasa sahaja, jika bosan ia cukup merik untuk tonton.

Di atas adalah senarai yang saya tonton sepanjang minggu ini. Walaupun ngeri dan ada yang jijik, jalan ceritanya akan membuatkan anda tergelak – jadi ini adalah satu hiburan yang memuaskan. Biasanya yang banyak elemen komedi adalah filem antologi, satu filem pelbagai cerita. Walaupun Shudder memberi skor seram 5/5, pada saya ia masih biasa sahaja. Ada sedikit kejutan sana dan sini, cuma ia adalah satu platform yang berbeza dan agak menarik.

Shudder tiada di Malaysia, jadi pengguna Android perlu muat turun APK atau boleh tukar akaun Play Store ke negara yang ada akses platform ini. iOS juga begitu, tukar akaun ke negara yang disokong. Langgan VPN yang ada banyak pilihan pelayan Amerika Syarikat, langgan Shudder pada sekitar RM25 sebulan.

Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Sohor Kini