Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

The Stor Riders Pedang Setiawan (1998) – Netflix

Pada asalnya aku ingin sarankan satu dokumentari untuk tontonan anda pada hujung minggu ini. Tetapi dengan kemangkatan Sonny Chiba secara mengejut semalam, artikel yang sudah siap ditulis aku akan terbitkan Rabu depan sebuah filem lakonan mendiang menggantikan tempatnya.

The Storm Riders ialah filem yang apabila ditonton menggunakan lensa serta standard 2021 adalah sampah. Adaptasi dari komik popular Hong Kong Fung Wan atau lebih popular di Malaysia sebagai Pedang Setiawan ini amat dinantikan kemunculannya pada tahun 1998. Hype dia aku rasakan sama seperti kali pertama mendengar filem X Men akan diadaptasi. For those old enough to remember, pada penghujung 90an adaptasi komik barat mula mendapat sambutan dan tidak lagi dianggap filem cincai. Kejayaan siri Batman membuka mata pembikin filem Hong Kong untuk mengadaptasi siri komik popular tempatan.

Pedang Setiawan ialah komik yang paling hangat pada waktu tersebut kerana penceritaan yang mantap dipadankan dengan lukisan padu oleh Mah Weng Seng. Sebagai remaja berusia 19 tahun pada tahun 1998, keterujaaan peminat komik di Malaysia lebih tinggi untuk menonton filem ini berbanding filem adaptasi komik barat.

Macam mana tak hype bila dua tunggak utamanya alah Aaron Kwok dan Ekin Cheng. Dua Heavenly Kings paling balak sinema Hong Kong muncul serentak dibantu pula dengan Sonny Chiba, Kristy Yang, Anthony Wong, Elvis Tsui dan Shu Qi. Kombinasi pelakon kasta tinggi Hong Kong dan Category III yang lebih seksi dari bakat. Kemudian filem diterbitkan pula oleh Golden Harvest yang merupakan studio yang menerbitkan siri Once Upon A Time in China dan Fong Sai Yuk.

Walaupun macam aku cakap di perenggan awal filem ini adalah teruk, tetapi ia masih berjaya mencapai tahap box-office. Ia filem pertama Hong Kong yang cuba mengintegrasikan kesan khas CGI yang terkini (pada waktu tersebut) dengan aksi nyata menggunakan tenaga kerja tempatan. Aku katakan filem ini teruk kerana jalan cerita dari komik yang disumbat macam inti karipap ke dalam running time hanya 121 minit. Teruk juga kerana lakonan padu Ekin Cheng, Anthony Wong dan mendiang Sonny Chiba dijuxtaposed dengan lakonan kayu Elvis Tsui, dan Kristy Yang.

Tapi ini semua tak penting. The Storm Riders adalah penting untuk sinema Hong Kong dan Asia kerana ia membuktikan filem adaptasi komik tempatan juga ada pasarannya. Ia membuka pintu kepada adaptasi filem A Man Called Hero (Wira Wah) juga dari Mah Weng Seng, Golden Tiger Gate (Jejak Wira) oleh Tony Wong dan The Storm Warriors yang merupakan sekuel kepada The Storm Riders.

Malang sekali industri filem Hong Kong kini sudah kelam kerana tumpuan diberikan kepada China. Sebagai peminat komik Hong Kong 90an kekecewaan tiadanya adaptasi komik Raja Rimba, Alam Perwira dan Wira Tunggal masih terasa kerana ura-ura ia akan dihasilkan pada awal tahun 2000.

Tonton The Storm Riders untuk melihat what was considered good enough back then. Boleh melihat bagaimana paling piawaian filem dari komik yang dahulunya rendah (serendah Batman Forever) kini sudah semakin meningkat sehingga genre filem adiwira kini menguasai panggung wayang. Tontonlah juga The Storm Riders untuk melihat Sonny Chiba. Walaupun diberikan skrip yang lemah beliau cukup berkarisma menjadi watak penjahat Wira Utama.

The Storm Riders  boleh ditonton menerusi Netflix

Izzat – Editor, Aksiz

Nobody

Nobody adalah filem oleh penulis untuk John Wick, dan boleh dikatakan yang premis penceritaan ini juga membawa perkara yang sama dengan filem John Wick, akan tetapi entah mengapa ia masih lagi satu filem yang sangat seronok untuk ditonton, ia tidak mempunyai plot yang rumit, walaupun ada menyertakan beberapa misteri akan tetapi ia bukan sesuatu yang penting ataupun yang sukar untuk dijangkakan, namun ia masih lagi satu filem yang saya mempunyai masa yang baik untuk menontonnya.

Filem ini adalah mengenai Hutch Mansell yang merupakan seorang suami dan juga bapa kepada dua orang anak, pada awalnya dia adalah seorang yang kelihatan biasa, sekadar melakukan rutin harian tanpa sebarang perkara yang aneh. Perhubungan dia dengan keluarganya juga kurang baik kerana mereka menganggap Hutch seorang yang terlalu lemah ataupun seorang yang terlalu biasa.

Selepas rumahnya dirompak, bahagian lain dirinya mula teserlah, dan penceritaan mula memperlihatkan dia bukanlah seorang yang biasa. Jika John Wick semua orang tahun kehebatannya, manakala Hutch pula tiada yang mengetahui siapa dirinya yang sebenar dengan kata lain “Nobody”. Selepas Hutch yang sebenar ini diperlihatkan, bermula lah aksi-aksi ganas.

Berbanding John Wick, Nobody lebih memfokuskan kepada serangan jarak dekat, pertempuran menggunakan senjata tumpul, namun ada juga menyertakan pertempuran menggunakan senjata dan setiap aksi dilakukan dengan baik, dan tidak nampak terlalu mengarut sebaliknya sedikit realistik dan Hutch juga bukanlah seorang yang terlalu hebat sehinggakan dia tidak langsung tercedera.

Misteri mengenai siapa sebenar Hutch Mansell ada disertakan akan tetapi tidak terlalu menyeluruh, ia memberi ruang untuk filem ini mempunyai filem susulan tetapi pada masa tidak terlalu mempunyai pengakhiran yang terbuka sehingga perlu filem susulan. Anda boleh tonton filem ini melalui iTunes Store ataupun Play Store di negara yang menawarkannya seperti Amerika Syarikat.

Nazrin – Penulis, Amanz/Aksiz

Neon Genesis Evangelion

Jika anda seperti saya yang membesar dan menonton anime sepanjang era 90an dan awal 2000, anda pasti mengetahui atau sekurang-kurangnya pernah mendengar tentang siri anime Neon Genesis Evangelion.

Ia merupakan siri anime yang boleh dikatakan lain daripada yang lain pada waktu itu, malah pada waktu ini juga. Ringkasan yang boleh saya berikan mengenai siri anime ini ialah ia berkisarkan tentang seorang budak berumur 14 tahun bernama Ikari Shinji yang bukan sahaja perlu mengharungi hidup sebagai seorang remaja, tetapi juga perlu memandu sebuah robot gergasi untuk menentang makhluk asing yang mahu menghancurkan Bumi.

Apa yang membuatkan siri anime Evangelion, termasuklah siri anime lama dan juga siri filem yang diolah semula oleh Studio Khara ialah disebalik tema asas anime ini, ia juga menceritakan tentang keperitan hidup beberapa hidup orang remaja pada tahap falsafah psikologi yang agak mendalam, yang mana jalan ceritanya tidak begitu lurus seperti apa yang disangkakan.

Di Netflix, anda boleh menonton siri televisyen Neon Genesis Evangelion, dan juga filem-filem Death and Rebirth dan juga End of Evangelion yang menjadi pelengkap kepada siri televisyen tersebut.

Jika anda mempunyai langganan Amazon Prime Videos, anda boleh menonton empat filem Rebuild of Evangelion, yang baru sahaja ditawarkan bermula minggu lepas. Filem Rebuild ini mempunyai permulaan yang hampir sama seperti siri televisyen tetapi bercabang menjadi ceritanya sendiri. Walaupun begitu, ia masih lagi mengekalkan konsep penceritaan dan tema psikologikal yang sama yang menjadikannya cerita baru yang boleh dikatakan agak segar.

Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz

Chuck

Minggu ini aku kembali menonton siri TV kegemaran ketika zaman sekolah dahulu, iaitu Chuck. Ia adalah siri TV bertemakan perisikan dan bergenre komedi. Turut mempunyai banyak elemen aksi, ada juga elemen drama serta romantik. Konsep siri TV ini agak menarik dan berlainan. Siri TV ini jugalah antara yang membuatkan aku minat dalam arena teknologi.

Chuck mengisahkan seorang juruteknik di dalam sebuah kedai elektronik gergasi Buy More. Beliau bekerja di bahagian Nerd Herd. Suatu hari kawan lama beliau Bryce menghantar emel fail permainan video klasik zaman belajar mereka yang dimainkan berasaskan teks. Tanpa disedari, permainan ini mengandungi pelbagai rahsia kerajaan dan negara daripada ancaman penjenayah, rahsia-rahsia ejen-ejen perisikan, agenda politik dan banyak lagi.

Menjadikan siri TV ini menarik adalah, selepas Chuck berjaya menyahkunci permainan tersebut ia secara tidak sengaja memjuat turun data-data tadi ke otak beliau. Mata beliau melihat imej-imej yang telah disulitkan dengan pelvagai data pada setiap piksel. Siri TV ini mempunyai lima musim, dua musim pertama cukup menarik.

Tetapi musim seterusnya menjadi sedikit perlahan, bertambah cringe, komedi hambar dan drama cinta di antara Chuck dan Sarah. Sarah adalah penyelia Chuck daripad CIA untuk melindung Chuck dari ancaman yang cuba merampas data di dalam otak beliau. Sementara Casey adalah ejen NSA yang ditugaskan untuk melakukan perkara yang sama.

Sepanjang siri TV ini, Chuck turut ditemani dengan kawan baik Morgan selain turut tampil berulang kali kakak beliau Ellien dan abang ipar Awesome. Komedi karut yang kadangkala menjadi dan kadangkala hambar ini banyak disumbang oleh Jeff dan Lester atau Jeeffster, juga pekerja Nerd Herd bersama Chuck. Perwatakan mereka ini adalah dungu, tetapi kadangkala genius.

Chuck semenangnya satu konsep yang membuatkan aku rasa teruja. Banyak memperlihatkan nilai kekeluargaan, seperti Orion adalah pencipta Intersect (perisian yang mengandungi data di dalam otak Chuck) merupakan bapa kepada Chuck. Ibu Chuck juga adalah perisik dan banyak lagi drama keluarga daripada pemalsuan kematian, rahsia di sana dan di sini dan lain-lain lagi.

Walaupun tidak mempunyai kualiti visual yang gempak, menonton kembali siri TV ini ketika lockdown dapat menghiburkan hati aku. Melihat konsep teknologi yang dahulunya tidka masuk akal, tetapi zaman sekarang apa jua tidak mustahil.

Aku tonton Chuck melalui Amazon dengan tetapan akaun Amerika Syarikat berserta VPN negara tersebut diaktifkan. Chuck dilibhat tidak tersedia di platform lain, selain daripada belian atau sewaan.


Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Sohor Kini