Apa kami tonton minggu ini adalah segmen baharu di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan. Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Sebelum kami berkongsi apa yang kami tonton minggu ini, sudah semestinya kesemua daripada kami telah menonton siri Loki yang episod pertamanya sudah tiba di Disney+ Hotstar, akan tetapi oleh kerana Fahim sudah hadir dengan pandang pertama untuk dua episod pertama, kami tidak sertakannya di dalam artikel ini agar dapat memberi fokus kepada pilihan lain.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Bin Laden’s Hard Drive

Dengan Disney+ Hotstar telah dilancarkan di Malaysia, pasti ramai menyerbu untuk menonton filem-filem MCU, Star Wars dan Pixar. Tetapi saya sarankan anda luangkan sedikit masa menonton Bin Laden’s Hard Drive. Dokumentari pendek sepanjang 34 minit ini akan menceritakan apakah data yang ditemui dalam komputer serta peranti milik Osama bin Laden yang telah dibubuh pasukan khas Amerika Syarikat pada tahun 2011 di Abbotabad Pakistan, hampir sedekad selepas serangan 911.

Selepas bertahun maklumat diklasifikasikan sebagai rahsia tinggi, pihak CIA akhirnya membenarkan kandungan cakera keras Osama diakses pada tahun 2017. Antara berita dipopularkan media barat selepas kandungan didedahkan ialah terdapat gambar lucah, video lucah, anime dan tular seperti Charlie Bit My Finger di dalam komputer milik beliau. Tetapi dokumentari mendedahkan Osama sebenarnya tidak begitu gemar menggunakan komputer. Oleh tu kemungkinan besar kesemua video tersebut tidak dimuat turun oleh beliau tetapi pemilik terdahulu.

Tambah menarik terdapat teori kandungan lucah yang ditemui sebenarnya mengandungi maklumat yang tersembunyi untuk menyampai mesej.Osama tahun bahawa penggunaan emel dan Internet boleh menyebabkan beliau dijejak oleh negara Barat. Beliau mungkin seorang insan yang tinggal pedalaman Pakistan, tetapi lebih cakna mengenai bagaimana diri beliau boleh dijejak berbanding saudara anda yang siang malam pagi petang bersembang mengenai teori konspirasi tetapi masih menggunakan Facebook tanpa secebis ironi.

Dalam hal ini fiksyen bahawa Osama kaki porno lebih senang dipopularkan berbanding Osama yang menggunakan sistem penyulitan untuk menyorokkan mesej pada kandungan porno untuk mengelakkan ia dari dikesan dengan mudah. Osama sebenarnya 10 langkah ke hadapan dalam teknik mengelakkan diri dikesan. Seperti yang dilaporkan di Amanz minggu ini, 90 sindiket jenayah dunia lumpuh selepas sistem “pemesejan rahsia” yang digunakan sebenarnya milik FBI yang mengumpul 27 juta mesej dalam masa setahun.

Selain mesej yang dihantar kepada kepimpinan Al Qaeda, video peribadi kehidupan seharian beliau turut ditemui. Video Osama bersama cucu dan isteri, menanam sayur dan menghilangkan kebosanan di Abbotabad kerana beliau tidak boleh keluar dengan selamat. Paling menarik ialah video Osama menghantar mesej kepada dunia tetapi sebelum disunting lengkap dengan blooper tersilap membaca skrip dan beliau tersenyum. Adakah aneh melihat Osama, manusia yang dicop paling berbahaya di dunia juga membuat kesilapan sama seperti saya ketika membuat video untuk Amanz.

Bin Laden’s Hard Drive ialah dokumentari yang saya rasakan perlu ditonton kerana memberi kita teropong kepada kehidupan peribadi beliau dan menghapuskan urban legend yang muncul pasca kematian beliau. Bagi mereka yang ingin kandungan yang lebih serius di Disney+ Hotstar, ini ialah dokumentari yang saya sarankan minggu ini.

Izzat Aziz – Penulis, Aksiz

The Da Vinci Code, Angels & Demons dan Inferno

Siri filem berdasarkan novel penulisan Dan Brown ini boleh dikatakan sebagai “guilty pleasure” untuk saya. Secara jujurnya, ia bukanlah filem terbaik, walaupun saya tidak pernah membaca novel asalnya akan tetapi saya boleh katakan ia bukanlah satu filem yang dihasilkan dengan baik. Lakonan adalah baik sahaja, akan tetapi masalah utama bagi saya adalah kejanggalan skrip terutama untuk menerangkan sesuatu yang komplek.

Namun, ia adalah siri filem yang termasuk minggu ini saya sudah tiga kali mengulangi untuk menontonnya. Premis utama yang saya sangat suka mengenai filem ini adalah bagaimana ia menggunakan “pertubuhan” utama di dunia seperti agama dan juga kumpulan-kumpulan konspirasi. Misteri disampaikan dengan menarik walaupun ada masa tidak kemas.

Di antara tiga filem ini, The Da Vinci Code adalah yang terbaik walaupun Inferno boleh dikatakan nampak lebih “mahal” tetapi susunan penceritaan sangat bercelaru manakala filem pertama lebih ringkas dan watak pembantu Robert Langdon juga memainkan watak dengan baik walaupun bukan nama yang dikenali ramai. Jika anda tidak pernah tonton filem ini, saya sangat mengesyorkannya sekurang-kurangnya untuk filem yang pertama.

Rumusan kepada penceritaan tersebut akan memberikan kejutan sebagaimana pendedahan yang dilakukan oleh John Oldman di dalam filem The Man from Earth (satu lagi filem yang baik, mungkin saya akan tontonnya pada minggu depan). Pergunaan simbol dan juga kepercayaan sesetengah pihak juga merupakan perkara yang menarik.

Dan Brown mempunyai dua lagi buku iaitu The Lost Symbol dan Origin, The Lost Symbol sepatutnya menjadi filem sebelum Inferno sebelum dibatalkan, akan tetapi Peacok iaitu perkhidmatan penstriman dikatakan akan mengeluarkan siri TV berdasarkan-nya. Buat masa ini tiada informasi mengenai adaptasi untuk buku terbaru iaitu Origin.

The Da Vinci Code, Angels & Demons dan Inferno ditawarkan di Netflix.

Nazrin – Editor, Amanz

Lucifer

Setelah Netflix mengambil-alih hak tajuk Lucifer daripada Fox pada tahun lepas, musim kelima siri televisyen ini yang dibintangi Tom Ellis dan Lauren German memperlihatkan penambahbaikan khususnya dari segi kualiti penggambaran dan jalan cerita yang lebih segar berbanding sebelum ini.

Musim terbaru ini memperlihatkan watak Lucifer, penjaga neraka akhirnya bertemu dengan ayahnya setelah sekian lama menyimpan perasaan tidak puas hati dan dendam terhadapnya. Separa kedua baru sahaja disiarkan di Netflix, dan memperlihatkan jalan cerita yang agak menarik, dan akan menukar dinamik watak Lucifer untuk musim keenam, yang dikatakan ialah musim terakhir siri ini.

Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz

Xtreme

Inggeris, Korea, Inggeris Korea dan berulang. Itu sahajalah dua bahasa yang saya pilih untuk tonton siri TV atau filem di Netflix. Tetapi apabila kandungan sudah terlampau banyak, saya mula menerokai dan cuba dengan bahasa lain seperti Jerman, Scotland, Sepanyol dan lain-lain lagi. Mengejutkan, kandungan Sepanyol agak banyak dan majoritinya cukup menarik.

Minggu ini saya pilih filem Xtreme. Sebuah filem aksi ringkas, mengenai rancangan balas dendam dan membantu remaja asing.

Jujur saya katakan, filem ini klise. Sangat klise, tetapi seronok untuk ditonton. Ini kerana filem ini mempunyai durasi 1 jam 52 minit sahaja. Biasanya filem begini di Amerka Syarikat akan memakan sehingga 2 jam 30 minit. Tetapi dengan durasi yang pendek, ia mempunyai penyampaian cerita yang baik, tidak begitu meleret dan padat dengan aksi.

Aksi dalam filem ini juga hebat belaka. Seakan John Wick juga ada. Tidak cukup ganas, sinematografi juga biasa sahaja. Tetapi jika anda inginkan filem aksi/balas dendam/drama keluarga – ini agak baik.

Max adalah watak utama, dianiaya oleh abang sendiri – Lucero untuk merampas perniagaan bapa beliau yang sudah uzur. Isteri dan anak Max dibunuh dan selepas dua tahun melarikan diri, balas dendam sahaja yang ada dalam fikiran. Tetapi Leo, menjadi penghalang kerana membuatkan Max teringat akan mendiang anak beliau.

Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Sohor Kini