Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.
Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.
Effi Saharudin – Editor, Amanz
They Shall Not Grow Old – Netflix
Banyak masalah dunia moden seperti isu Palestin, Balkan, runtuhnya Empayar Turki Othmaniah, dan kolonisasi oleh negara Eropah semuanya bermula dengan Perang Dunia Pertama. Walaupun impaknya masih dapat dilihat sehingga ke hari ini, aku boleh mengira dengan sebelah tangan filem mengena WWI yang boleh dikategorikan sebagai perlu tonton.
All Quiet on the Western Front oleh Lewis Milestone, Paths of Glory oleh Stanley Kubrick, Legends of The Fall of Edward Zwick dan 1917 oleh Sam Mendes adalah empat filem WWI yang aku rasakan paling dikenali ramai. Jumlah yang terlalu anemik jika dibandingkan dengan filem WW2 ataupun Vietnam. Perang yang sepatutnya mengakhiri segala perang ini seakan dilupakan kerana sudah berakhir hampir 103 tahun yang lalu
Ini membuatkan aku bertanya kenapa ia dilupakan sehingga bukan sahaja filem tetapi dokumentari mengenainya jarang sekali diterbitkan. Tak pernah sekalipun aku buka History Channel dan dapat menonton rancangan bertajuk “Kaiser Wilhelm’s Trench Warafare” atau “Ottoman’s Battlefield Blunder” yang sering digunakan untuk semua kandungan WW2 di saluran tersebut.
Malah semasa filem 1917 muncul di pawagam, aku tak tergerak sedikitpun untuk pergi menontonnya walaupun ia diarahkan oleh Sam Mendes yang aku cukup hormati (Jarhead arahan beliau adalah filem perang klasik moden yang anda juga perlu tonton sekarang) dan subjek peperangan adalah genre paling aku minati. Mungkin kerana semua dokumentari yang aku pernah tonton mengenai WW1 adalah monokrom tanpa audio.
They Shall Not Grow Old yang diterbitkan pada tahun 2018 sempena ulang tahun ke-100 tamatnya perang ialah dokumentari yang aku sarankan ditonton hujung minggu ini. Sebab utamanya ialah ia mungkin dokumentari WW1 terbaik pernah dihasilkan dan ia diarahkan oleh Peter “Lord of The Rings” Jackson.

Keseluruhan dokumentari menggunakan rakaman filem sebenar yang dibaikpulih, diwarnakan semula dan diberikan audio oleh Weta Digital – syarikat yang menghasilkan kesan khas untuk filem trilogi LOTR, The Hobbit, King Kong dan Avatar. Suara dari veteran perang menceritakan pengalaman mengapa mereka pergi berperang (kerana bosan dan tiada kerja lain), pengalaman menjadi askar (baju tak muat dan makanan langsung tak sedap) dan situasi sebenar di medan perang (basah sepanjang masa dan tidur bersebelahan mayat rakan dimakan tikus).
Tona dokumentari berubah dari keseronokan kali pertama dapat pergi ke negara orang ke redha dengan rakan-rakan yang mati bergelimpangan apabila serangan dipatahkan oleh mesingan Jerman dan letupan artileri. Visual yang dipaparkan juga adalah agak sadis. Ada di antara visual yang dipaparkan tidak pernah ditonton kerana dianggap terlalu ganas untuk tontonan umum pada waktu tersebut. Mayat tersekat pada pokok, mereput dalam kubur cetek dan terburai digilis kereta kebal.
Hasilnya selepas menonton They Shall Not Grow Old, realiti sebenar WW1 dapat dilihat sendiri dan membuatkan aku lebih berminat untuk mempelajari sejarahnya lebih mendalam. Kekurangan They Shall Not Grow Old ialah ia hanya dari kanta askar British, New Zealand dan Australia. Tiada dari pandangan askar Perancis, Jerman atau Turki. Ramai di kalangan pembaca mungkin tidak tahu ada penduduk Malaya yang terlibat dalam peperangan ini atas rasa kesetiaan kepada penjajah. Mana cerita mereka? Adakah ahli keluarga yang sedia bercerita? Mungkin ini projek yang boleh dimulakan oleh pembikin filem tempatan. Rekod pengalaman mereka sebelum hilang ditelan zaman.
They Shall Not Grow Old boleh ditonton menerusi Netflix.
Izzat – Editor, Aksiz
Kingdom Musim Pertama Dan Musim Kedua
Kingdom Ashin of the North telah pun dilancarkan hari ini, oleh itu saya yang ketinggalan dan tidak pernah menonton siri popular dari Korea ini telah meluangkan sepanjang minggu lepas, sehingga minggu ini untuk menghabiskan Kingdom musim pertama dan juga musim kedua.
Saya boleh katakan ia adalah satu siri yang sangat senang untuk di maratonton keranan plot dan susunan penceritaan yang baik. Saya tidak pernah terasa bosan untuk mana-mana episod, dan setiap-nya ada pengisian tersendiri. Berbeza dengan penceritaan zombi yang biasa kita ditawarkan, Kingdom membawa kelainan kerana ia berlaku di zaman dahulu.
Kejadian epidemik zombi pada zaman ini membawa kelainan kepada bagaimana mereka cuba melawan, dengan pelbagai kekurang teknologi ia terasa segar dan lebih unik berbanding penceritaan zombi lain. Ini ditambah lagi, ia juga membawa politik sistem raja di Korea dan campuran dua perkara ini membawa drama yang sangat padat.
Ini ditambah lagi dengan pemilihan kawasan, produksi untuk kawasan tersebut bersama dengan rekaan pakaian di dalam siri ini, kesemuanya dihasilkan dengan sangat berkualiti.
Pada musim kedua, terdapat sedikit kekurangan terutama dari segi kekemasan penghasilan zombi ataupun penceritaan, namun perbezaan tidak terlalu ketara dan saya masih sangat menyukai kedua-dua musim, tetapi dengan jelasnya musim pertama dihasilkan dengan lebih baik.
Buat masa ini tidak disahkan lagi bila musim ketiga akan dikeluarkan, akan tetapi saya sudah semestinya akan meluangkan masa untuk tonton Kingdom Ashin of the North terlebih dahulu. Jika anda tidak pernah tonton siri ini, anda harus, dengan 6 episod sahaja untuk satu musim ia akan mengambil sedikit sahaja masa.
Kingdom musim pertama dan musim kedua boleh ditonton di Netflix.
Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz
Schmigadoon!
Selepas beberapa minggu aku dedahkan diri aku kepada pelbagai siri TV dan filem klasik kultus yang seram, ngeri, jijik dan menakutkan – minggu ini aku sucikan diri aku dengan komedi. Bukan seram komedi, tetapi komedi muzikal yang aneh, lucu, dan menghiburkan.
Siri TV ini adalah Schmigadoon! dan ia disiarkan di Apple TV+. Ia mengisarkan pasangan kekasih bermasalah Josh dan Melissa. Ketika sedang cuba mengeratkan hubungan masing-masing dengan aktiviti di luar, mereka telah sesat dan memasuki bandar ajaib Schmigadoon. Bandar ini adalah bandar muzikal bertemakan muzikal di era 1940-an – 1960-an dan mereka berdua terperangkap di dalamnya sehinggalah mereka berdua kembali saling mencintai.
Ia sebenarnya mengambil inspirasi daripada persembahan teater muzikal Brigadoon pada tahun 1947. Kesemua enam episod yang aku tonton mempunyai penceritaan yang agak menarik, tetapi biasalah cerita seperti ini kalau tiada elemen cringe pasti tidak sah. Ia adalah drama cinta komedi yang mana kejap gaduh, kejap kawan dan seakan ingin berbaik dan kemudian gaduh semula.

Setiap isu yang ingin disampaikan, atau persoalan, akan disampaikan dalam muzik-muzik teater dengan irama yang membuatkan anda mendengungkan di dalam minda. Jika berasa bosan dan inginkan sesuatu yang ringan dan boleh ditonton secara bersahaja atau sambil melakukan kerja – aku rasa tak salah jika korang cuba tonton Schmigadoon!.
Penafian: Apple TV+ telah memberikan akses kesemua enam episod untuk liputan media.
Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”
- Apa Kami Tonton Minggu Ini? #1
- Apa Kami Tonton Minggu Ini? #2 – Bin Laden’s Hard Drive, The Da Vinci Code, Lucifer, Xtreme
- Apa Kami Tonton Minggu Ini? #3 – Bram Stoker’s Dracula, MCU Fasa 1, Record of Ragnarok Dan Sweet Tooth
- Apa Kami Tonton Minggu Ini? #4– For All Mankind, Rurouni Kenshin, Startup
- Apa Kami Tonton Minggu Ini? #5 – Clarkson’s Farm, The Man from Earth, The Boys, F.R.I.E.N.D.S
- Apa Kami Tonton Minggu Ini? #6 – Portrait Artist of The Year, Bo Burham – Inside, My Hero Academia, Koleksi Seram Klasik
- Apa Kami Tonton Minggu Ini? #7 – This Is Pop, Dr. Stone, The Good Doctor, The Monster Club


