Skip to main content

Apa kami tonton minggu ini adalah segmen baharu di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan. Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Bram Stoker’s Dracula (1992)

Ini ialah cerita Dracula klasik yang diarahkan oleh Francis Ford Coppola pada tahun 1992. Ya Francis “The Godfather” Coppola pernah mengarahkan filem seram selepas selama ini menempa nama sebagai pengarah yang menghasilkan trilogi filem Mafia terbaik dunia.

Mengapa aku sarankan korang tonton Dracula walaupun filem ini usianya sudah hampir tiga dekad? Kerana sepanjang PKP ini aku banyak habiskan masa menonton filem-filem seram. 98% filem seram yang ditonton tidak seram langsung dan menggunakan gimik jump scare yang lemau seperti Super Ring masuk angin.

Menerusi Bram Stoker’s Dracula anda boleh menonton seorang dewa perfileman menggarap karya klasik Bram Stoker’s dengan teknik penggambaran klasik awak kurun ke-20. Kesan khas dalam filem ini kesemuanya fizikal tanpa menggunakan CGI. Hasilnya ialah filem yang sangatlah tidak menyenangkan untuk ditonton dan membuatkan bulu roma naik. Ada satu babak puntianak keluar dari kubur yang sampai ke hari ini memberikan aku mimpi buruk. Sehingga ke hari ini cara babak ini difilemkan menjadi topik perbualan peminat filem seram kerana sangat tidak konvensional serta membuktikan Francis Ford Coppola ialah seorang genius.

Ia juga dibintangi barisan pelakon yang mantap. Ada Keanu Reeves, Winona Ryder, Sir Anthony Hopkins, dan Gary Oldman sebagai Count Dracula. Ini juga filem Hollywod pertama Monica Belucci dan lakonan beliau sebagai seorang kuntianak sangatlah menarik. Lakonan Keanu juga menarik kerana lebih kayu daripada hutan hujan tropika. Tetapi jangan biarkan lakonan kayu Johnny Silverhand membuatkan anda tawar hati kerana lakonan Gary Oldman dalam filem ini mungkin antara yang terbaik dalam kerjaya beliau.

Bagi peminat filem, kesan khas berteknologi kuno yang digunakan oleh Roman Coppola (yang berusia 24 tahun pada waktu filem dihasilkan) adalah homage kepada filem-filem Drakula klasik seperti Nosferatu: A Symphony of Horror. Menarik sekali Francis mengambil anak beliau Roman untuk menghasilkan kesan khas kerana tidak ada studio yang mampu menghasilkannya kerana sudah biasa menggunakan teknik moden seperti CGI.

Bram Stoker’s Dracula juga mungkin filem terakhir Francis Ford Coppola yang kami rasakan adalah sebuah mahakarya. Ia memenangi tiga Oscar untuk rekaan kostum, runut bunyi dan suntingan. Tonton kalau anda mahukan filem yang seram dengan lakonan mantap, kesan khas yang lain dari yang lain dan melihat kali terakhir Coppola menghasilkan filem yang semenggah. Bram Stoker’s Dracula boleh ditonton menerusi Netflix.

Izzat Aziz – Penulis, Aksiz

Iron Man, The Incredible Hulk, Iron Man 2, Thor dan Captain America: The First Avengers

Antaran perjanjian saya kepada diri sendiri apabila Disney+ dilancarkan secara rasmi di Malaysia adalah saya ingin menonton kembali kesemua filem-filem Marvel Cinematic Universe dari Fasa 1 sehinggalah Fasa 3. Ini terutama Fasa 4 sudah bermula dengan pelbagai siri TV seperti WandaVision, The Falcon & The Winter Soldier dan juga yang terbaru Loki.

Sepanjang minggu lepas, sehinggalah minggu ini, saya berkesempatan untuk tonton 5 filem keseluruhan iaitu Iron Man, The Incredible Hulk, Iron Man 2, Thor dan Captain America: The First Avengers iaitu tertinggal satu sahaja lagi filem untuk menghabiskan Fasa 1 iaitu Avengers.

Keseluruhan filem-filem ini ditawarkan di Disney+ kecuali The Incredible Hulk yang saya perlu jejak sebelum menjumpainya ditawarkan di Amazon Prime Video.

Selepas menonton filem-filem ini saya terus menyedari bertapa berubahnya filem Marvel berbanding dulu dan sekarang tetapi pada masa sama masih terasa sama. Setiapnya adalah satu filem yang baik, akan tetapi jika ingin dibandingkan dengan filem-filem sekarang, jelas terasa ia ketinggalan.

Mungkin ramai yang tidak menyukai apabila bercakap mengenai “SJW” akan tetapi saya sangat tidak menyukai peranan-peranan watak sampingan terutama wanita di dalam filem-filem awal MCU kerana terasa sebagai satu hiasan sahaja. Ini jelas apabila kita melihat watak Black Widow lakonan Scarlett Johansson pada awal MCU dengan wataknya yang terkini. Jauh berbeza.

Namun, pada masa sama saya merasakan hampir kesemua filem MCU mempunyai masalah watak penjahat yang berkesan. Daripada kelima-lima filem yang saya tonton ini, tiada satu pun filem yang benar-benar mempunyai watak jahat yang “kuat” bukan dari segi fizikal ataupun kuasa tetapi dari segi perwatakan. Dengan kata lain, tiada satu pun dapat menandingi Thanos.

Mengejutkan juga, selepas menonton lima filem ini, saya dapati The Incredible Hulk adalah filem yang paling seronok saya tonton. Ia bukan terbaik, tetapi paling seronok. Saya akan teruskan lagi pengembaraan saya ini untuk menonton kesemua filem MCU dan berharap pada minggu depan saya sudah menghabiskan Fasa 2.

Nazrin – Editor, Amanz

Record of Ragnarok

Pada tahun ini, Netflix dilihat memperkenalkan banyak kandungan anime original mereka, dan diantaranya, salah satu anime yang paling ditunggu-tunggu peminat ialah Shuumatsu no Valkyrie, ataupun Record of Ragnarok.

Premis anime ini, yang hadir dengan 12 episod untuk musim pertamanya adalah mengenai hari-hari penghujung dunia, ataupun Ragnarok dalam mitos Norse. Didalam anime ini, untuk memastikan umat manusia boleh diteruskan untuk 1000 tahun lagi, 13 watak-watak sejarah dalam dunia perlu bertarung dan menang menentang 13 watak-watak tuhan.

Anime ini hadir dengan sepenuhnya dalam format pertarungan satu-lawan-satu, dimana penceritaan sejarah watak-watak ini diberitahu sepanjang perlawanan-perlawanan mereka.

Salah satu tarikan utama anime ini juga ialah para pelakon suara anime popular yang membintanginya, termasuklah Sawashiro Miyuki, Midorikawa Hikaru, Takahiro Sakurai dan Soma Saito.

Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz

Sweet Tooth

Sweet Tooth adalah siri TV yang diadaptasi daripada komik Vertigo oleh Dc Comics dengan judul yang sama dan ditulis oleh Jeff Lemire. Siri TV ini dihasilkan oleh Team Downey iaitu syarikat produksi yang ditubuhkan oleh Iron Man – Robert Downey Jr dan isteri beliau Susan Downey.

Menceritakan kisah bumi di pasca-apokaliptik, iaitu 10 tahun selepas virus H5G9 melanda bumi atau digelar sebagai The Great Crumble. Virus ini mengakibatkan bayi yang dilahirkan adalah hibrid antara manusia dan haiwan. Fokus siri TV ini adalah watak Gus di mana beliau adalah manusia hibrid rusa. Majoriti manusia normal beranggapan semua hibrid adalah merbahaya dan mungkin membawa virus dan dikira sebagai ancaman. Disebabkan itu, semua bayi dan kanak-kanak hibrid diburu seakan haiwan liar. Gus dan bapanya tinggal di hutan jauh dan bersendirian daripada manusia lain. Selepas bapa beliau mati, Gus mula mengembara untuk meneruskan kehidupan dan cuba mencari ibu beliau yang dipercayai masih hidup.

Sepanjang pengembaraan beliau bertemu degan Jepperd, seorang dewasa yang lebih tahu apa yang berlaku di dunia luar – kerana bapa Gus merahsiakan pelbagai perkara sebenar. Sedar akan hidup penuh dengan tipu, beliau meminta bantuan Jepperd untuk mencari ibu beliau di Colorado sambil melarikan diri daripada diburu.

Siri TV ini sangat menarik, ia adalah satu cerita yang unik dan berbeza dengan apa yang pernah saya tonton. Saya maratonton keseluruhan musim pertama dengan penuh khusyuk. Pada awalnya, agak sukar untuk faham kenapa bapa Gus menyembunyikan banyak perkara dan sebagai penonton kita juga boleh rasa yang ada sesuatu yang tidak kena dan tidak sabar untuk tahu apakah yang bakal dirungkai dalam episod-episod akan datang.

Pengalaman menonton siri TV ini adalah memuaskan. Seperti kebanyakan siri TV kegemaran saya di Netflix, Sweet Tooth berakhir dengan keadaan yang tergantung dan membuatkan saya untuk kehadiran musim kedua – yang Netflix atau Team Downey masih tidak umumkan apa-apa. Sedangkan siri TV ini menerima maklum balas positif, menjadi perbualan hangat di Internet dan menerima banyak ulasan baik.

Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Leave a Reply