Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

BattleBots (Dua Musim)– Netflix

Siapa di sini merindui zaman kegemilangan Discovery Channel di awal milenium? Ada rancangan yang benar-benar meningkatkan sel otak serta kepadatan jisim kelabu boleh ditonton seperti Mythbusters, Junkyard Wars, Robot Wars, World Biker Build-Off dan Extreme Engineering. Tetapi sekarang kandungan di Discovery sudah menjadi semakin sampah dipenuhi kandungan TV realiti yang lebih hiburan dari sains. Realitinya kandungan berilmiah sukar dihasilkan dengan pulangan yang rendah tetapi TV realiti adalah murah dengan tontonan yang tinggi.

Jadi semasa kebosanan di rumah minggu aku aku lakukan carian kata kunci Discovery di Netflix dan ternampak BattleBots pada senarai yang diberikan. BattleBots ialah siri peperangan robot yang mengambil konsep dari Robot Wars yang merupakan siri yang popular di UK pada awal milenium yang lalu. Premis siri ini mudah. Orang bina robot. Robot bergaduh dalam gelanggang. Robot kemudiannya meletup, terbakar dan berkecai. Rinse and repeat. Bagi peminat filem Real Steel, BattleBots menawarkan perkara yang sama cuma tanpa Hugh Jackman.

Ianya formula yang mudah yang pastinya menarik minat anda yang inginkan hiburan ringan. Aku percaya dalam setiap kepala manusia masih wujud sektor otak neanderthal yang terangsang apabila melihat kemusnahan berlaku. Ini adalah sebab yang sama kenapa lepas berlaku kemalangan teruk atau dua insan bergaduh di tempat awam benda pertama yang keluar ialah manusia yang merakam video.

Sejak dari zaman dahulu lagi hiburan dalam bentuk dua manusia bertarung sehingga salah satunya kalah amatlah popular. Battlebots ialah evolusi seterusnya dengan gladiator manusia digantikan dengan robot kawalan jauh yang dilengkapi senjata berbahaya. Percikan darah digantikan dengan percikan mintak pam hidraulik yang bocor, daging yang tercarik digantikan dengan puing-puing besi dan funeral pyre untuk wirawan yang mati digantikan dengan robot yang terbakar selepas bateri Litium hancur ditikam lawan.

Yang menjadikan Battlebots menarik ialah selepas setiap pusingan, peserta hanya boleh membaik pulih komponen dengan alat ganti yang dibawa sahaja. Dari awal sehingga akhir musim dapat dilihat robot yang bermula dengan senjata kipas pemutar maut berubah menjadi robot menyondol kerana kekurangan alat ganti. Kebijaksanaan pembina robot melakukan modifikasi pada robot asal untuk bertarung dengan musuh berbeza juga aku rasakan menarik kerana menghasilkan keputusan upset yang langsung tidak dijangka.

Di Netflix dua musim boleh ditonton di Netflix sekarang dengan 17 episod sahaja kesemuanya.

Izzat – Editor, Aksiz

Miss Kobayashi’s Dragon Maid Musim Pertama

Miss Kobayashi’s Dragon Maid adalah satu siri anime yang popular, akan tetapi saya tidak pernah terlintas untuk menontonnya kerana tidak berapa menyukai premis yang di bawa. Namun, pada hujung minggu lepas, saya tidak mempunyai sebarang siri ataupun filem yang ingin ditonton, jadi semasa makan makanan tengah hari, saya menggunakan fungsi ‘Play Something’.

Netflix telah memilih episod pertama daripada musim pertama untuk siri tersebut, dan ‘tanpa saya sedari’ saya menghabiskan satu musim untuk siri ini dan sedar mengapa siri ini popular dan sering dipercakapkan oleh penonton-penonton anime.

Saya menyukai siri ini kerana penceritaan yang ringkas, setiap episod membawa topik yang baharu tetapi mengekalkan mengenai fokus utama untuknya iaitu perhubungan di antara Kobayashi, Tohru dan Kanna. Tohru dan Kanna merupakan seekor naga yang datang daripada dunia lain, semasa Tohru tercedera, Kobayashi yang pada waktu itu mabuk telah menyelamatkan Tohru dan mengajaknya untuk menjadi pembantu rumah, tanpa dia sedari.

Tohru menerima jemputan tersebut, dan terus menjadi pembantu rumah untuk Kobayashi yang merupakan seorang yang memenuhi kehidupannya dengan bekerja. Kanna pula adalah rakan kepada Tohru dan ingin mengajak untuk mereka kembali ke dunia asal akan tetapi mengambil keputusan untuk tinggal bersama.

Saya tidak menggemari premis siri anime sebegini kerana ada masa ‘fan service’ yang terlampau, di dalam Miss Kobayashi’s Dragon Maid ia masih ada tetapi tidak terlalu ketara, sebaliknya ia mempunyai lebih banyak adegan-adegan yang menyentuh hati terutama mengenai perhubungan di antara mereka, dan penerimaan manusia terhadap sesuatu yang berlainan dengan mereka.

Saya juga sangat menyukai kualiti animasi yang digunakan, sebagai naga Tohru dan Kanna mempunyai pelbagai kuasa dan sangat kuat, kadang-kadang mereka akan memperlihatkannya, dan animasi untuk adegan tersebut dilakukan dengan sangat baik bahkan lebih baik jika ingin dibandingkan dengan sesetengah anime aksi.

Ia benar-benar satu siri yang mengejutkan dan saya perlu berterima kasih kepada ‘Play Something’ kerana memilih satu siri anime yang sangat baik.

Miss Kobayashi’s Dragon Maid musim pertama boleh ditonton di Netflix dan musim kedua baru sahaja bermula pada bulan lepas sehingga hujung bulan depan.

Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz

The White Lotus, Brand New Cheery Flavor & How To Sell Drugs Online (Fast) S03

Siri TV ada banyak genre, ada banyak pilihan dan ada banyak platform. Minggu ini aku tonton tiga siri TV sehingga tamat kesemua episod iaitu The White Lotus di HBO Go, Brand New Cherry Flavor dan juga How To Sell Drugs Online Musim 3 di Netflix.

Aku seorang yang kaki binge siri, animasi atau filem jika ia menarik perhatian aku. Okay, untuk White Lotus ia adalah satu siri TV dark comedy mengisahkan pengunjung di sebuah hotel di satu pulau dan juga pekerja-pekerja di dalam hotel tersebut. Ia adalah satu siri TV yang mempunyai banyak watak dan setiap watak ini memainkan peranan penting sepanjang siri ini. Hari demi hari sepanjang percutian masing-masing, semakin banyak tragedi menimpa yang tidak diduga. Pelbagai drama, perkara misteri, pembunuhan, cemburu, sala buat keputusan, bercinta, dadah, penganiyaan dan banyak lagi semuanya berlaku dalam satu tempoh yang singkat.

Apa yang buatkan aku suka dengan siri TV ini adalah, ia memberikan satu pengalaman menonton yang mendebarkan. Ia bukanlah siri untuk semua orang, kerana mempunyai penceritaan yang sedikit berat dan perlahan. Tetapi jika memahami penulisan skrip dan apa yang cuba disampaikan, siri TV ini cukup menarik dan lucu. Tetapi disebabkan ianya dark comedy, kadangkala komedi itu akan membuatkan aku rasa bersalah untuk ketawa.

Siri ini juga mempunyai banyak plot twist yang akan membuatkan anda terfikir, “Eh, kejap… apa?” dan juga “What the hell is going on?“. Tanpa membeberkan kisah penuh siri ini, apa yang aku boleh katakan adalah korang semua patut cuba tonton dan lihat bagaimana ia menangkap jiwa penonton dan cuba memancing yang semua tragedi ini tidak akan berhenti dan boleh ada sekuel.


Brand New Cherry Flavor adalah antara kegemaran aku di antara semua siri ini. Ia adalah siri TV yang ganas, ngeri, kejam dan berdarah. Aku memang suka cerita sebegini. Ia adalah adaptasi daripada novel dengan judul yang sama oleh Todd Grimson dan siri ini hanya mengambil 66 muka surat daripada 344.

Mengisahkan Lisa N. Nova yang ingin meneruskan kerjaya beliau sebagai pencipta filem di LA. Tetapi disebabkan salah mempercayai orang, semua rancangan beliau tidak menjadi dan akhirnya ia menjadi mimpi ngeri. elemen zombi ada, pembunuh upahan ada, sihir, makan organ dan banyak lagi. Lisa dilakonkan oleh Rosa Salazar dan prestasi beliau dalam siri ini adalah gila gempak dan memuaskan.

Filem yang beliau arah dan cuba menjadikannya satu filem utama daripada filem pendek mempunyai satu plot twist gila, yang membuatkan orang yang tidak boleh tonton siri ini mungkin muntah. Semua ini adalah kerana mereka yang terlibat dalam produksi filem ini, lebih-lebih lagi Lisa dan pelakon utama filem beliau yang juga merupakan kekasih lakukan setiap aksi betul-betul tanpa mereka sedari kerana mengambil dadah. Satu demi satu rahsia dirungkai dan siri ini menjawab persoalan adakah Lisa akan berjaya dan membebaskan diri daripada peristiwa misteri yang berlaku?

Disebabkan ianya berada di Netflix, tahap gore atau ngeri yang seriau ini tidaklah sehebat filem-filem di Shudder. Tetapi konsep yang cuba disampaikan cukup baik. Ini baru 66 muka daripada 344, apakah yang akan berlaku jika Netflix teruskan dengan musim baru?


Akhir sekali aku tonton musim baharu, iaitu musim ketiga untuk siri popular Netflix How To Sell Drugs Online (Fast). Mengisahkan remaja dan rakan-rakan di sekolah membina empayar dadah melalui sistem e-dagang MyDrugs dan juga pengeposan dadah melalui kurier biasa. Musim ketiga ini menceritakan kisah bagaimana Max iaitu watak utama disisihkan rakan-rakan selepas perniagaan beliau diambil-alih oleh syarikat dadah yang lebih kejam.

Ia hanya mempunyai enam episod dan cukup ringkas. Siri ini penuh dengan drama, komedi, dan banyak elemen lain yang bercampur menjadikan ia sebuah siri yang seronok untuk ditonton. Sepanjang siri ini ia memperlihatkan bagaimana Max cuba memujuk rakan beliau untuk kembali berkawan dan tidak bermusuhan, memperlihatkan hubungan beliau dan keluarga serta bagaimana beliau boleh bebaskan diri daripada dikawal oleh syarikat yang kejam yang cuba membunuh beliau jika berhenti daripada MyDrugs.

Seperti musim kedua, musim ketiga juga disampaikan oleh Max sendiri. Kononnya selepas beliau ditangkap oleh pihak berkuasa, Netflix telah menemuramah beliau dan hadir dengan sebuah siri TV berdasarkan kisah hidup beliau. Ia ada satu konsep yang menarik dan memberikan pengalaman menonton yang memuaskan.


Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Sohor Kini