Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Earth 616 (2020) – Disney+ HotStar

Sejak awal kolum Apa Kami Tonton ditulis, aku sedari jarang sekali kandungan dari Disney+ Hotstar disarankan kepada pembaca. Jadi hari ini aku mulakan dahulu dengan siri Earth 616. Ia adalah siri dokumentari yang berkisar tentang semua benda berkenaan Marvel.

Subjek yang dipaparkan adalah sangat aneh dan unik. Kita mulakan dahulu dengan episod pertama mengenai Spider Man Japan, siri super sentai yang menggunakan watak Spider Man pada dekad 70an. Pasti ramai pernah melihat klip video siri ini di YouTube dan episod pertama menceritakan bagaimana watak komik popular Marvel ini boleh dipinjamkan kepada Toei Company dengan kebebasan untuk mengubah segala aspek identiti watak.

Ini tidak lagi mungkin berlaku kerana Marvel mengawal imej setiap watak mereka. Tiada Peter Parker, Uncle Ben, Aunt May, Doctor Octopus, Green Goblin dan Gwen Stacy. Sebaliknya kesemua watak di Jepunkan lengkap dengan penggunaan robot gergasi melawan kaiju dan kenderaan aneh yang diwujudkan semata-mata untuk menjual permainan.

Terdapat lapan episod kesemuanya. Tidak semuanya sebaik episod pertama tetapi menyentuh mengenai impak watak adiwirawati ke atas dunia komik, pengkarya luar Amerika Syarikat, industri cosplay, figura aksi watak adiwira, mencari watak kecil Marvel seterusnya yang akan menjadi seperti Guardians of The Galaxy dan banyak lagi.

Episod kedua yang aku sarankan ialah Lost and Found kerana ia yang paling kelakar. Tahukah anda Marvel mempunyai lebih 8000 watak dalam dunia komik mereka? Tidak semuanya mempunyai nilai komersil dengan siri komik yang mempunyai ratusan isu. Sebagai contoh Marvel pernah menerbitkan komik Son of Satan dan walaupun beliau adalah anak seekor iblis beliau adalah seorang adiwira menentang kejahatan? Lost and Found menggodek arkib Marvel dan memaparkan watak-watak aneh yang tidak pernah anda tahu wujud.

Bagi mereka yang mungkin baru berjinak-jinak dengan dunia Marvel, kandungan dokumentari Earth 616 masih mudah diikuti tanpa perlu membeli kitab lore yang setebal 1200 muka surat yang boleh dibeli di Big Bad Wolf. Subjek setiap episod yang berbeza juga membuatkannya tidak bosan dan boleh ditonton tanpa mengikut urutan seperti siri biasa di platform penstriman.

Earth 616 boleh ditonton menerusi Disney+ HotStar.

Izzat – Editor, Aksiz

Fate/stay night: Heaven’s Feel I. pressage flower

Saya menyukai siri Fate, namun tidak sangat mengikutinya kerana ia mempunyai pelbagai cabang yang meliputi pelbagai siri dan filem anime. Siri Fate pertama yang saya tonton adalah Fate/Zero diikuti oleh Fate/stay night: Unlimited Blade Works versi siri anime.

Terbaru yang saya tonton pada minggu ini adalah Fate/stay night: Heaven’s Feel I. pressage flower iaitu bahagian pertama daripada tiga bahagian untuk Heaven’s Feel. Seperti Unlimited Blade Works, Heaven’s Feel juga susulan kepada Fate/Zero tetapi berada di garis masa yang berbeza dengan Unlimited Blade Works.

Oleh itu, jika anda tidak pernah tonton manan-mana siri Fate, saya cadangkan untuk tonton siri anime Fate/Zero terlebih dahulu sebelum Unlimited Blade Works dan Heaven’s Feel, manakala antara dua ini, susunan tidak penting kerana membawa penceritaan yang berbeza.

Bagi bahagian pertama iaitu pressage flower ini, ia membawa penceritaan yang baik tetapi sebagai bahagian pertama ia lebih memfokuskan kepada pengenalan. Namun, seperti kebiasaan untuk Fate, masih terdapat banyak tanda tanya mengenai apa yang sedang berlaku, tambahan lagi untuk yang tidak mengikuti siri ini.

Perhubungan antara watak ada juda terasa sedikit aneh, dan membuatkan saya keliru dengan perhubungan mereka, mengapa boleh jadi terlalu rapat dan sebagainya. Secara keseluruhan ia masih lagi satu filem pengenalan yang baik akan tetapi saya tidak merasa puas, dan nasib baik Netflix telah menyertakan ketiga-tiga filem.

Bagi pertempuran pula, tidak banyak disertakan akan tetapi apabila ia tiba, ia membawa pertempuran yang sangat baik. Animasi yang dipamerkan berkualiti tinggi dan sudah menjadi kebiasaan untuk siri Fate. Bagi yang ingin melihat bahagian aksi sahaja, ia mungkin sedikit mengecewakan kerana tidak banyak akan tetapi cukup memuaskan untuk filem ini.

Saya boleh katakan jika anda ingin mula menonton filem animasi ini, anda perlu mempunyai komitmen untuk menonton dua lagi bahagian untuknya iaitu II. lost butterfly dan III. spring song kerana tonton satu sahaja tidak akan mencukupi untuk menjawab persoalan yang anda mungkin ada.

Nazrin – Penulis, Amanz/Aksiz

Shaman King

Seperti yang diketahui, Netflix sedang memperlihatkan penambahan kandungan anime yang cukup meluas sekali pada tahun ini, dan terkini, salah satu daripada anime yang diperlihatkan oleh mereka ialah olahan semula anime popular awal 2000-an, iaitu Shaman King.

Shaman King ialah sebuah anime yang berdasarkan manga Shounen Jump dengan tajuk yang bertemakan hantu dan pawang/bomoh di seluruh dunia yang sedang bertarung untuk mendapatkan takhta Shaman King, iaitu pawang/bomoh yang paling berkuasa di dunia dari kaca mata watak utama cerita ini, Asakura Yoh.

Sama seperti banyak jalan cerita anime shounen pada waktu tersebut, Asakura Yoh mengembara untuk menjadi Shaman King, dan di sepanjang jalan cerita tersebut bertemu dengan pelbagai watak sampingan yang mana ada diantaranya yang menjadi rakan kepadanya.

Konflik Shaman King berasal daripada abang kembar Asakura Yoh yang bernama Asakura Hao, seorang pawang berkuasa yang dilahirkan semula yang mahu melenyapkan semua kehidupan di muka bumi.

Siri animasi Shaman King terbaru ini adalah olahan semula yang mengikuti jalan cerita manga, serupa seperti Full Metal Alchemist dan Full Metal Alchemist: Brotherhood. Anime sebelum ini bukanlah buruk jalan ceritanya, tetapi ia tergantung kerana pada waktu tersebut, siri manga tersebut belum tamat lagi.


Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Sohor Kini