Apa Kami Tonton Minggu Ini? #1

Apa kami tonton minggu ini adalah segmen baharu di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan. Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Orange is the New Black

Jawapan saya tanpa ironi ialah Orange Is The New Black. Ia mungkin rancangan lama dan telahpun tamat siaran di Netflix dua tahun lalu. Saya memilih OITNB kerana ia adalah rancangan yang paling serasi dengan situasi kita semua sekarang.

Bagi yang tak tahu, OITNB ialah siri mengenai penjara wanita. Alang-alang kita dipenjara di rumah, mari tonton siri tentang penjara yang menyentuh pelbagai isu yang amat relevan dengan situasi kita sekarang. Dalam OITNB, kegagalan polisi kerajaan menyebabkan orang miskin dipenjarakan kerana tiada akses kepada pelajaran, mobiliti kelas, peluang pekerjaan dan akses kepada keadilan.

Terdapat juga tema yang kaya bebas melanggar undang-undang berulang kali tetapi yang miskin terus dikenakan hukuman tanpa kasihan belas. Masalah gangguan seksual oleh penguasa? Ada. Mengambil keuntungan atas kesengsaraan orang lain? Ada. Minoriti dibunuh penguasa ketika ditahan? Pendatang tanpa izin? Rasisme? Kartel?. Jawapan kepada kesemua soalan ini ialah ADA! Pendek kata isu-isu sosial yang hangat di Malaysia sekarang boleh dilihat pantulan cerminnya dalam OITNB.

Saya tahu ketika pandemik mungkin ramai yang inginkan hiburan lebih santai. Tetapi maybe now it’s time for some reflection and study. OITNB boleh ditonton di Netflix sekarang dengan siri mengandungi 91 episod kesemuanya.

Izzat Aziz – Penulis, Aksiz

The X-Files

Siri TV The X-Files adalah siri yang sangat popular suatu ketika dahulu, ia adalah siri yang apabila terpasang di TV saya akan terus duduk dan tonton. Semasa saya kecil, saya ssangat tertarik dengan misteri yang disampaikan di dalam setiap episod, saya juga tertarik kerana mereka mengatakan ia adalah berdasarkan kisah benar. Secara jujurnya, saya percaya makhluk asing pada waktu itu kerana siri ini.

Berbelas tahun kemudian The X-Files ditawarkan oleh Disney+ dan ia menjadi siri pertama yang saya tonton bagi perkhidmatan tersebut. Ya, bukan mana-mana siri Marvel ataupun Star Wars tetapi The X-Files yang kini mencecah 27 tahun sejak dikeluarkan menjadi siri pertama yang saya tonton, pada awalnya saya sekadar ingin mendengar muziknya akan tetapi terus menonton secara terus.

Walaupun saya baru tonton 3 episod tetapi perwatakan Dana Scully dan Fox Mulder serta perhubungan mereka sangat unik dan menjadi, ia adalah tarikan utama untuk siri ini. Misteri-misteri disampaikan secara ringkas tetapi berkesan. Ia mungkin mempunyai “terlalu” banyak episod untuk maratonton, tetapi bagi saya RM54.90 langganan untuk Disney+ sudah terbayar melalui siri ini sahaja.

Nazrin – Editor, Amanz

Jujutsu Kaisen

Jika 2020 memperlihatkan Kimetsu no Yaiba ataupun Demon Slayer sebagai anime paling popular ditonton dan diperkatakan orang ramai, 2021 pula hadir dengan sebuah lagi anime yang berasal dari sebuah tajuk manga Shounen Jump yang popular, iaitu Jujutsu Kaisen.

Anime ini menggunakan tema pemburu syaitan dengan gabungan pelajar sekolah yang boleh dilihat hampir mirip seperti plot jalan cerita Naruto. Malah, watak utama anime ini, Itadori Yuji dirasuk oleh syaitan yang paling berkuasa dalam siri ini yang bernama Ryomen Sukuna yang memerlukan kesemua 20 jari-jarinya untuk kembali berkuasa, dan sebelum ia boleh dibunuh.

Perbandingan Naruto tidak berakhir di situ sahaja, kerana disamping Itadori Yuji, dia juga ditemani dua rakan lain, iaitu Megumi Fushiguro, watak sampingan “emo” siri ini seakan Uchiha Sasuke dan juga Kugisaki Nobara, watak perempuan utama. Malah, cikgu kepada watak-watak ini, Gojou Satoru dilihat seperti mengambil ilham daripada satu lagi watak popular dari Naruto, iaitu Hatake Kakashi.

Jalan cerita Jujutsu Kaisen adalah berlatarkan bandar Tokyo yang moden, dan dianimasikan oleh Studio MAPPA, yang mana kerja-kerja mereka sebelum ini termasuklah Attack on Titan, God of Highschool dan Ushio & Tora.

Anime ini mempunyai banyak babak pertarungan yang mempunyai animasi yang sangat baik dari awal sehinggalah hujung siri, dan setakat ini, penceritaannya dilihat sangat menarik sekali.

Jujutsu Kaisen kini boleh distrim melalui Netflix Malaysia, dan mempunyai 24 episod didalam musim pertamanya.

Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz

Ragnarok

Siri TV yang saya baru sahaja tonton pada minggu ini adalah Ragnarok musim kedua. Ia mengisahkan konsep mitologi Norse seperti Thor, Loki, Odin dan banyak lagi seperti yang anda lihat dalam filem-filem MCU. Cuma, penceritaan mitos Norse dalam siri Ragnarok ini lebih kepada dunia realiti. Bagaimana kalau memang ada manusia di zaman sekarang dipilih menjadi Thor dan perlu menyelesaikan pertelingkahan antara keluarga atau menjadi hero seperti yang tertulis dalam sejarah.

Dalam musim kedua, kit boleh lihat dengan lebih jelas perjalanan Magne Seier dipilih sebagai Thor, adik beliau pula Laurits Seier dipilih sebagai Loki dan perlu menentang keluarga Jutul, iaitu spesis raksasa Jötunn yang menyamar sebagai manusia sejak azali lagi. Keluarga ini diketuai oleh Vidar, diiringi Ran dan dua “anak” Saxa dan Fjor.

Jujur saya katakan, saya hanya hiraukan konsep mitologi Norse ini selepas tonton filem-filem MCU. Tetapi selepas tonton siri TV ini ia dedahkan lagi beberapa perkara menarik. Turut seronok untuk melihat satu iterasi berbeza dalam drama serius bagaimana daripada mitologi diadaptasi menjadi siri aksi nyata.

Sohor Kini