Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Tattoo Redo(2021) – Netflix

Obe kenapa semua saranan kau serius nak mati? Tak boleh relaks ke kadang kala? Kita tengah Covid-19 boleh tak bagi cerita yang santai ringan macam Legolas di Middle Earth? Ya aku suka sarankan rancangan yang terlalu serius kerana di akhir hari aku pencipta Blogserius dan keseriusan ini sudah menjadi darah, daging, rawan, tulang dan spermatozoa yang sukar ditinggalkan.

Namun begitu hakikatnya aku sebenarnya lebih sukar dengan kandungan sampah macam filem gred-D Blok 404 dan Momok Jangan Cari Pasal. Sebabnya ialah filem bangang membolehkan aku merehatkan otak selama dua jam tanpa perlu melakukan perbincangan ilmiah usai filem ditonton. Penat sebenarnya membincangkan penghujung filem Tenet, Inception, Midsommar dan sebagainya. Jadi minggu ini aku ingin sarankan rancangan santai yang akan menghiburkan tanpa membebankan medula oblongata anda semua.

Tattoo Redo ialah siri terbaru dari Netflix yang ditayangkan sejak minggu lalu. Siri TV realiti ini berkisar tentang orang-orang yang mencacah tubuh mereka dengan rekaan yang buruk. Rancangan akan menawarkan untuk membetulkan cacah buruk ini secara percuma tetapi dengan satu syarat sahaja. Pemilik tubuh tidak boleh memilih apakah rekaan baharu sebaliknya insan yang menemani mereka memegang keputusan muktamad.

Rancangan ini menarik untuk ditonton kerana ia dipenuhi trope biasa sebuah realiti TV yang sedap ditonton. Tunjukkan benda paling buruk pernah anda lihat dan dalam kes ini cacah yang dihasilkan ketika sedang mabuk, semasa miskin tak ada wang mencari juru-cacah yang baik dan nama bekas teman hidup yang telah lama ditinggalkan. Dalam setiap anda pasti kagum dengan perubahan mendadak cacah yang macam contengan anak kecil di dinding boleh menjadi mahakarya selepas ditutup oleh pencacah yang hebat-hebat belaka.

Ianya mempunyai premis yang sama seperti Tidying Up with Marie Kondo, Extreme Makeover, Skin Decision dan pelbagai lagi rancangan before and after yang membanjiri platform penstriman. Perbezaannya hanyalah kejutan yang diterima akan kekal pada tubuh sehingga ke akhir hayat (atau sehingga menerima rawatan laser untuk memadamnya).

Siri hanya mengandungi 6 episod sahaja dengan setiap episod hanya sekitar 29 minit. Mungkin pandemik menghalang lebih banyak episod dihasilkan. Tetapi dengan masa tontonan bawah 3 jam ini ialah tontonan sempurna hujung minggu atau ketika melakukan kerja dimainkan di latar belakang.

Tiada relevation besar yang membuatkan anda melihat dunia dari sudut berbeza, tiada cliffhanger membuatkan anda menanti musim seterusnya dan tiada keperluan memahami lore sebelum ditonton. Tattoo Redo ialah rancangan santai yang tidak memerlukan otak atau tumpuan penuh. The perfect show to watch on a lazy weekend terutamanhya di kalangan peminat siri LA Ink, Just Tattoo of Us dan Ink Master.

Tattoo Redo boleh ditonton menerusi Netflix.

Izzat – Editor, Aksiz

Manchester by the Sea

Tema kesedihan dan kekesalan merupakan satu tema yang sangat popular di dalam filem ataupun siri TV. Ia adalah tema yang mudah untuk dihayati oleh penonton, namun, saya secara peribadi tidak meminatinya. Saya kebiasaan menonton sesuatu atas dasar hiburan, oleh itu penceritaan yang menggunakan tema ini bukan menjadi pilihan.

Selepas mendengar pelbagai ulasan yang baik untuk Manchester by the Sea, saya mengambil keputusan untuk cuba menontonnya, dan bagaikan satu perasaan serendipiti, ia menjadi antara filem terbaik pernah saya tonton walaupun filem ini tidak sangat membawa apa-apa perasaan yang menghiburkan.

Manchester by the Sea adalah filem yang dikeluarkan pada tahun 2016, pengarah adalah Kenneth Lonergan dan pelakon utama adalah Casey Affleck sebagai Lee Chandler dan Michelle Williams sebagai Randi yang juga bekas isteri Lee dan Lucas Hedges sebagai Patrick Chandler.

Penceritaan bermula dengan Lee Chandler mendapat berita yang abangnya yang juga ayah kepada Patrick Chandler dan dia terpaksa pulang kampung halamannya iaitu Manchester untuk menjaga anak saudaranya yang berseorangan. Ia bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh Patrick kerana dia mempunyai satu trauma di tempat tersebut.

Dari situlah bermulanya bagaimana penceritaan bagaimana Patrick berhadapan dengan kematian ayahnya, manakala Lee pula berhadapan dengan trauma silamnya. Perasaan sedih, sesal dan kehilangan ini disampaikan dengan sangat baik, terbaik berbanding mana-mana filem.

Saya menyukai filem ini adalah kerana merasakan adegan-adegan sedih bukan disampaikan secara terus kepada penonton, di mana berbanding saya merasa sedih, saya sebaliknya melihat bagaimana setiap watak melaluinya. Saya boleh katakan berbanding ingin membuatkan saya terasa sedih, ia sekadar menyampaikan perasaan setiap watak di dalam filem ini.

Setiap pelakon yang hadir di dalam filem ini juga membawa watak-watak mereka dengan sangat baik, terutama tiga watak yang saya perkenalkan di atas. Ia mungkin bukan satu filem yang saya akan ulang tonton, tetapi ia sentiasa akan menjadi satu filem yang istimewa.

Malangnya, penawaran Manchester by the Sea adalah tidak meluas, cara paling mudah adalah sewa melalui iTunes Store ataupun Play Store untuk benua yang menawarkannya seperti Amerika Syarikat.

Fahim Zahar – Penulis, Amanz/Aksiz

Stargirl Musim Kedua

Stargirl adalah antara siri TV baharu DC yang mula disiarkan sejak tahun lepas. Ia adalah antara siri TV DC daripada studio yang sama menghasilkan francais Arrowverse. Ia tidak begitu berkait dengan Arrowverse, tetapi masa Crisis on Infinite Earth mereka diperlihatkan berada dalam dunia lain. Siri TV ini boleh disaksikan di HBO Go Asia. Cara mudah untuk saya jelaskan siri TV Stargirl adalah, ia merupakan sebuah siri TV Teenage Superhero. Elemen klise dalam kategori adiwira remaja ini begitu jelas dan tidak ada keunikan yang membawa perasaan WOW!

Baru-baru ini, HBO Go Asia telah mengacah kehadiran siri TV ini untuk musim kedua. Ia akan mula disiarkan pada 11 Ogos tidak lama lagi. Terima kasih kepada pihak HBO Go Asia memberi kami di Aksiz akses awal untuk musim kedua, segmen Apa Kami Tonton Minggu Ini? daripada saya adalah mini review untuk siri TV ini. Jangan risau, tiada beberan di dalam ulasan ringkas ini.

Musim kedua yang saya tonton ini mempunyai enam episod. Ia bersambung kisah daripada musim pertama selepas pasukan Justice Society of America (JSA) berjaya menumpaskan pasukan penjahat Injustice Society of America (ISA). Dalam musim kedua ini, ia lebih memfokuskan kepada latar belakang watak serta perkembangan watak. Bagaimana mereka meneruskan kehidupan selepas peristiwa musim lalu.

Musim kedua ini walaupun masih sedikit cringe, ada nampak perubahan penceritaan ke arah lebih matang. Aksi juga tidak begitu banyak dan lebih kepada drama. Mengejutkan drama ini cukup baik dan memuaskan, kerana sepanjang aku maratonton keenam-enam episod hari ini – aku tidak rasa bosan.

Kali ini ia memfokuskan kepada yang belum semua ahli pasukan ISA, tewas. Sebaliknya seorang lagi yang digelar Eclipso, masih bebas. Antagonis ini adalah gila jahat dan ngeri. Beliau adalah kegelapan dan sejahat-jahat dan keji. Eclipso boleh membuatkan mangsa beliau lihat apa yang tidak patut, bertindak tanpa sedar dan banyak lagi yang sungguh dahsyat.

Dengan penceritaan lebih matang, musim kedua siri TV ini memberikan semangat untuk penonton percaya yang dunia DC di siri TV atau untuk HBO Max ada harapan baik untuk menjadi terus hebat. DC yang memulakan dahulu konsep rentas masa dan rentas dunia, jangan tewas dengan Marvel yang baru sahaja ingin mula.

Setiap emosi watak jelas dilihat perubahannya. Peranan masing-masing kelihatan ringkas dan rasa seronok untuk tonton kerana mudah faham. Pengenalan antagonis baru yang kononnya ISA baharu sedikit lemah, mungkin kerana sedikit terkejar-kejar untuk siri TV yang ada enam episod sahaja.

Untuk siri TV yang baru ada dua musim dan jumlah episod yang ringkas, Stargirl adalah antara siri TV DC HBO Max dunia baharu yang patut semua cuba tonton dan beri peluang. Ia seperti Doom Patrol yang mempunyai sedikit kelainan dengan francais Arrowverse. Jika anda berminat untuk memahami siapa Stargirl, anda boleh tonton musim pertama sekarang dan musim kedua pada minggu hadapan 11 Ogos.


Artikel Lepas Untuk “Apa Kami Tonton Minggu Ini”

Sohor Kini