Filem ketiga dalam francais cereka sains arahan James Cameron, Avatar: Fire and Ash, disahkan bakal memulakan siaran secara eksklusif di platform penstriman Disney+ pada 24 Jun ini.
Filem yang dilancarkan di pawagam pada Disember lalu itu mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak $1.48 bilion di peringkat global, selain berjaya mempertahankan kedudukan pertama di carta domestik selama lima minggu berturut-turut. Filem ini juga merangkul Anugerah Akademi (Oscars) bagi kategori kesan visual terbaik.
Naskhah ini akan menyertai Koleksi Avatar di Disney+, membolehkan penonton mengakses dua filem terdahulu bersama sebuah dokumentari khas bertajuk Fire And Water: Making The Avatar Films.
Dari segi jalan cerita, Avatar: Fire and Ash membawa penonton kembali ke dunia Pandora bagi mengikuti kisah susulan ketua Na’vi, Jake Sully (Sam Worthington), Neytiri (Zoe Saldaña), dan keluarga mereka. Ditengah-tengah fasa berduka akibat kehilangan ahli keluarga yang terkorban dalam konflik menentang RDA, keluarga Sully perlu bangkit untuk melindungi seorang lagi insan yang mereka sayangi.
Walaupun mendapat sokongan daripada Klain Tlalim (Wind Traders) yang menguasai ruang udara, perjalanan mereka terancam apabila diserang oleh Klain Mangkwan (Ash People), sebuah kumpulan yang menyalahkan Eywa atas kemusnahan penempatan mereka akibat bencana gunung berapi.



Filem ini diarahkan oleh James Cameron, dengan skrip yang dihasilkan oleh Cameron bersama Rick Jaffa dan Amanda Silver. Bagi pembentukan cerita, ia turut melibatkan sumbangan daripada Josh Friedman dan Shane Salerno. Projek ini diterbitkan oleh James Cameron dan Jon Landau, manakala Richard Baneham, Rae Sanchini, serta David Valdes bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Barisan pelakon utama yang menjayakan filem ini termasuklah Sigourney Weaver, Stephen Lang, Oona Chaplin, Cliff Curtis, Joel David Moore, CCH Pounder, Edie Falco, David Thewlis, Jemaine Clement, Giovanni Ribisi, Britain Dalton, Jamie Flatters, Trinity Jo-Li Bliss, Jack Champion, Brendan Cowell, Bailey Bass, Filip Geljo, Duane Evans, Jr., dan Kate Winslet.


