Melihat kembali filem-filem yang kami tonton sepanjang tahun ini, boleh dikatakan filem susulan ataupun berdasarkan IP sedia ada mendominasi penawaran filem-filem menarik tahun ini. Namun, pada masa yang sama terdapat beberapa filem baharu dengan idea berlainan terutama untuk filem tempatan seperti Dongeng Sang Kancil dan juga Reversi yang menyerlah untuk tahun ini. Kami boleh katakan memilih filem terbaik sedikit sukar kerana terdapat banyak filem yang boleh memasuki senarai ini, namun pilihan harus dibuat.
Berikut merupakan 10 filem terbaik tahun 2024 pilihan Aksiz:
10. Reversi
Reversi satu filem yang mungkin ramai terlepas pandang, yang agak mengecewakan kerana ia membawa satu kisah yang menarik dengan membawa konsep mengundur masa dan dikaitkan dengan kekeluargaan. Filem arahan Adrian Teh ini adalah mengenai Akid lakonan Beto Kusyairy yang mempunyai kebolehan untuk mengundurkan masa, akan tetapi beliau menyedari yang kesan menggunakan kebolehan tersebut adalah tinggi dan memberi kesan kepada kehidupan keluarganya.
9. Dongeng Sang Kancil
Tahun ini boleh dikatakan agak mengecewakan jika bercakap mengenai filem animasi tempatan dengan Dongeng Sang Kancil oleh Les’ Copaque satu-satunya filem di pawagam tahun ini, namun satu-satu filem ini tidak mengecewakan kerana filem ini sangat menarik dan membawa sesuatu yang baharu bagi filem animasi tempatan. Filem ini membawa gaya animasi yang menarik, dan adegan aksi yang boleh dikatakan ganas memfokuskan kepada kisah Kancil yang cuba menyelamatkan hutan daripada ancaman harimau kambang.
Baca: Ulasan Dongeng Sang Kancil
8. Deadpool & Wolverine
Deadpool & Wolverine menggabungkan penceritaan pelbagai mesta yang menjadi ‘saga’ baharu untuk MCU, dengan kisah di luar kotak untuk Deadpool. Ini ditambah lagi dengan hadirnya Wolverine menjadikan filem ini satu pengumuman oleh Marvel yang IP-IP di bawah Fox sebelum ini secara rasmi memasuki MCU. Filem ini bukan sahaja membawa gaya aksi yang melampau tetapi pelbagai jenaka serta cameo yang akan membuatkan penonton tersenyum.
Baca: Ulasan Deadpool & Wolverine
7. Inside Out 2
Selepas 9 tahun, filem susulan Inside Out 2 akhirnya diterbitkan oleh Pixar dan mereka masih memfokuskan Riley Anderson bersama dengan emosi-emosinya. Dia kini berumur 13 tahun dan memasuki high school, dan ini juga membawa kepada pengenalan beberapa emosi baharu. Filem kedua ini masih membawa penceritaan yang menarik dan membawa satu permasalahan baharu yang masih relatable dengan penonton.
Baca: Ulasan Inside Out 2
6. How To Make Millions before Grandma Dies
Filem dari Thailand ini memfokuskan kepada perhubungan di antara cucu dan nenek yang pada mulanya berkait dengan harta peninggalan tetapi kemudian berubah menjadi satu perhubungan yang menyentuh hati. Kelebihan utama bagi filem ini adalah bagaimana menggunakan elemen komedi dan drama dengan baik untuk menyampaikan satu penceritaan yang tidak membosankan walaupun jalan cerita mudah untuk dijangka. Sediakan tisu untuk tonton filem ini.
Baca: Ulasan How To Make Millions Before Grandma Dies
5. The Fall Guy
The Fall Guys boleh dikatakan sebagai satu filem yang membawa penceritaan yang mudah untuk dijangka akan tetapi masih seronok untuk melihat bagaimana bahagian-bahagian tersebut disampaikan. Di dalam filem ini, Tom Ryder lakonan Ryan Gosling merupakan stuntman dan apabila dia terlibat dengan filem yang diarahkan oleh Jody Morena lakonan Emily Blunt yang juga bekas kekasihnya pelbagai kejadian berlaku termasuk juga penculikan.
4. Wicked
Filem Wicked terserlah dengan prestasi yang sangat baik oleh dua pelakon utama iaitu Cynthia Erivo dan juga Arina Grande, persembahan muzikal mereka juga sangat menarik, ditambah lagi dengan produksi yang memukau menghiasi penceritaan yang baik mengenai kisah silam bagi Elphaba dan juga Galinda Upland. Kisah yang di bawa bukan sahaja baik untuk mengikuti kisah Wicked ini dan juga penonton baharu.
Baca: Ulasan Wicked
3. Transformers One
Transformer One hadir dengan penceritaan yang sangat menarik mengenai kisah awal bagi Optimus Prime dan juga Megatron bagaimana mereka bermula sebagai sahabat yang akrab tetapi selepas berlakunya perbezaan pendapat membawa kepada satu pergaduhan yang kita tahu mengenai mereka berdua. Filem ini disampaikan dengan baik, terdapat pelbagai adegan menarik dan kualiti animasi juga memuaskan dan ditambah lagi dengan prestasi lakonan suara yang baik.
Baca: Ulasan Transformers One
2. Sonic the Hedgehog 3
Sonic the Hedgehog 3 melakukan sesuatu yang jarang berlaku, iaitu filem ketiga menjadi filem terbaik di dalam siri ini. Filem kali ini tidak membawa satu penceritaan yang baharu ataupun unik, dan ia juga masih mudah untuk dijangka akan tetapi Jim Carrey yang membawa dua watak iaitu Ivo Robotnik dan Gerald Robotnik, membantu untuk menjadikan filem ini lebih menarik. Ini ditambah lagi dengan pengenalan watak Shadow yang disampaikan dengan baik oleh Keanu Reeves.
Baca: Ulasan Sonic the Hedgehog 3
1. Dune: Part Two
Jika filem pertama Denis Villeneuve memperkenalkan dunia bagi filem Dune, untuk filem kedua ini, beliau beralih kepada perkembangan watak Paul Atreides, walaupun dengan perubahan ini, ia masih membawa satu kisah yang epik dan filem ini juga memastikan setiap bahagian disampaikan dengan sangat menawan setiap frame menyampaikan dunia filem ini dengan penuh kemegahan. Timothee Chalamet juga membawa watak Paul dengan sangat baik, bahkan menjadi lakonan terbaik daripadanya.


