Sonic the Hedgehog telah menerima filem yang ketiga, dan saya boleh katakan filem ini telah mempunyai satu formula yang diguna pakai daripada filem pertama sehinggalah filem terbaru ini, Sonic the Hedgehog 3. Formula ini boleh menjadi baik ataupun tidak untuk pengalaman tontonan akan tetapi sesuatu yang pasti ia formula yang mudah untuk diikuti dan setiap filem tidak terbeban dengan penceritaan yang rumit, sebaliknya memberikan satu sesi tontonan yang santai.

Sonic the Hedgehog 3 tidak membawa sesuatu yang baharu di dalam penceritaan, jika filem sebelum ini memfokuskan kepada Dr. Robotnik dan Knuckles sebagai watak antagonis, filem ini pula menggantikan Knuckles yang kini sebahagian daripada Team Sonic kepada Shadow. Shadow merupakan landak yang sudah lama berada di bumi, tetapi berbeza dengan Sonic yang hidup bersama dengan manusia, Shadow dikurung di dalam penjara.

Apabila dia terlepas, Shadow bertekad untuk membalas dendam terhadap G.U.N yang memenjarakannya sebelum ini. Dengan Shadow lebih berkemahiran dan mempunyai kekuatan serta kebolehan untuk teleport, Sonic, Tails dan Knuckles terpaksa meminta bantuan daripada Ivo Robotnik. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Gerald Robotnik iaitu datuk kepada Ivo Robotnik juga menampilkan diri dan mempunyai kaitan dengan Shadow.

Selepas itu, penceritaan mudah untuk dijangkakan dengan tidak banyak perkara yang mengejutkan berlaku seperti filem-filem sebelum ini. Menggunakan formula yang sama untuk filem ketiga, bagi saya sepatutnya sudah tidak berkesan akan tetapi filem ini berjaya melakukannya bahkan saya boleh katakan ia merupakan filem terbaik berbanding dua filem sebelum ini dan ia berterima kasih kepada dua perkara yang dilakukan dengan baik – jenaka, penceritaan silam yang menarik dan Jim Carrey.

Filem ketiga ini benar-benar menggunakan jenaka yang baik, tidak kira jenaka secara terus, ‘break the 4th wall’ dan juga pelbagai rujukan kepada pop culture termasuk juga mengenai permainan video, dan saya tidak bercakap mengenai permainan SEGA, kebanyakan jenaka yang disampaikan sekurang-kurangnya membuatkan saya tersenyum hanya ada beberapa sahaja terasa kering ataupun kurang menjadi dan biasanya apabila melibatkan Tom dan Maddie.

Saya juga menyukai penceritaan silam mengenai Shadow bagaimana dia awal-awal berada di bumi sehinggalah bagaimana dia menjadi tahanan, ia memberikan motivasi yang baik di dalam perwatakannya yang saya boleh katakan seperti Knuckles, dia hadir sebagai watak antagonis akan tetapi mempunyai lapisan yang lain dan bukan watak yang satu dimensi sahaja. Tambah menarik, Shadow di bawa dengan baik oleh Keanu Reeves, walaupun dia masih kedengaran seperti Keanu Reeves tetapi kena dengan perwatakan Shadow itu sendiri.

Satu lagi perkara yang saya boleh katakan dilakukan dengan baik, tetapi masih di skala yang sama dengan filem-filem sebelum ini iaitu aksi, pertempuran di dalam filem ini sangat menarik untuk dilihat, dengan kuasa Shadow yang boleh teleport, Sonic seperti biasa bergerak laju, Tails yang menggunakan pelbagai gajetnya dan Knuckles dengan kekuatannya. Selain itu, Robotnik (kedua-duanya) juga mempunyai pelbagai gajet tersendiri, ada yang melucukan ada yang mengerikan.

Bagi saya, kelemahan filem ketiga ini juga sama dengan dua filem sebelum ini (mungkin kecuali filem pertama) iaitu penglibatan manusia di dalam penceritaan. Bahagian Team Sonic bersama dengan Tom dan Maddie terasa kurang menjadi dan kurang menarik, apabila Team Sonic bersendirian atau apabila bertemu dengan Shadows sahaja penceritaan menjadi lebih menarik. Manusia yang terlibat dengan baik, adalah Robotnik dengan Jim Carrey membawa kedua-dua watak iaitu Ivo dan Gerald.

Saya boleh katakan yang ini adalah persembahan Jim Carrey yang terbaik untuk sekian lama, dia membawa Ivo dan Gerald dengan cara yang sama tetapi pada masa sama ia berkesan dan menjadi bahagian komedi yang sangat berkesan, tetapi apabila adegan memerlukan dia menjadi lebih serius, dia masih melakukannya dengan sangat baik sekali. Jim Carrey benar-benar membawa filem ketiga ini dengan persembahannya walaupun membawa dua watak tetapi tidak terasa bosan ataupun janggal.

Akhir kata, walaupun filem ketiga ini masih menggunakan formula yang sama, penceritaan yang mudah dijangka, aksi sebaik sebelum ini, penglibatan manusia masih lagi terasa janggal dan kurang menjadi tetapi penyampaian jenaka, penceritaan kisah silam Shadow yang baik dan juga persembahan oleh Jim Carrey membawa dua watak di dalam filem ini berjaya untuk menjadikan ia adalah sebagai filem terbaik berbanding dua filem sebelum ini.

Gambar: Paramount Pictures dan Sega of America, Inc.

Sonic the Hedgehog 3
Walaupun masih menggunakan formula yang sama tetapi penyampaian jenaka, penceritaan kisah silam Shadow yang baik dan juga persembahan oleh Jim Carrey menjadikannya sebagai filem terbaik berbanding dua filem sebelum ini.
Positif
Jim Carrey
Jenaka yang menjadi
Kisah Shadow yang menarik
Negatif
Penglibatan manusia masih janggal
Penceritaan mudah dijangka
8

Leave a Reply

Final Score