Saya membesar dengan kisah-kisah kebijaksanaan Sang Kancil, tidak kira secara bacaan ataupun animasi, oleh itu apabila Les’ Copaque mengumumkan filem Dongeng Sang Kancil ia membuatkan saya mempunyai harapan yang tinggi untuknya. Nasib baik, filem Dongeng Sang Kancil yang menjadi satu-satunya filem animasi tempatan ditayangkan di pawagam tahun ini tidak mengecewakan. Ia membawa serba sedikit kisah yang kita tahu mengenai kebijaksanaan Sang Kancil, tetapi pada masa yang sama juga membawa penceritaan tersendiri.
Penceritaan ini memfokuskan kepada Sang Kancil ingin membalas dendam kepada “jembalang hitam” yang membunuh ibunya sewaktu dia kecil. Terpaksa membesar secara bersendirian, Sang Kancil menjadi bijak dan sering menjadi harapan haiwan-haiwan lain di hutan untuk menyelesaikan masalah. Namun, kebijaksanaannya tidak dapat membantu untuk dia mencari pembunuh ibunya kerana berada di tempat yang tinggi. Sehinggalah Burung Gagak memberitahu Kancil yang Helang boleh membantunya untuk ke tempat tinggi tersebut.

Bermula pengembaraan Kancil untuk pergi berjumpa dengan Helang tanpa dia sedari Gagak mempunyai niat jahat dan Kancil perlu melalui kawasan yang berbahaya dan juga mula menyedari yang jembalang hitam itu kini menjadi ancaman bukan untuk dia sahaja akan tetapi juga untuk keseluruhan penghuni hutan tersebut. Oleh itu, Kancil perlu menggunakan kebijaksanaannya untuk menyatu padukan haiwan-haiwan lain bagi melawan ancaman baharu ini.
Penceritaan yang disampaikan bagi saya cukup baik dan mudah untuk diikuti, walaupun saya lebih berharap untuk Kancil mempunyai lebih banyak ruangan untuk memperlihatkan kebijaksanaannya, selain itu saya juga berharap yang dia memainkan peranan yang lebih besar di dalam menyatu padukan penduduk hutan agar dapat memberi lebih nilai “heroism” untuk Kancil. Sebaliknya, ia terasa Kancil sekadar mengikut keadaan sahaja dan bukan benar-benar merancang dengan tepat di dalam melawan ancaman tersebut.

Kekurangan penceritaan ini bagi saya ditampung oleh personaliti yang sangat vibrant di sampaikan melalui pelbagai watak di dalam filem ini. Tidak kira watak yang utama ataupun watak sampingan, setiap watak ini mempunyai personaliti mereka yang tersendiri dan disampaikan dengan sangat berkesan melalui lakonan suara yang juga mempunyai pembawaan yang berbeza-beza. Personaliti pelbagai watak ini menjadikan penceritaan yang disampaikan walaupun ringkas menjadi lebih menarik dan seronok untuk diikuti, ia juga membantu untuk menemani kancil di dalam pengembaraannya.
Bagi animasi pula, saya menyukainya kerana ia memperlihatkan gaya serta arahan seni yang unik menggabungkan animasi 3D dengan background 2D yang menurut Les’ Copaque membantu mereka mengurangkan kos dan juga masa produksi tetapi masih lagi memberi kualiti animasi yang baik. Ada masa watak-watak muncul di luar letterboxed yang memberi kesan yang unik kepada penyampaian penceritaan tetapi saya mengharapkan ia dilakukan dengan lebih kerap, agak kelihatan konsisten dan menjadikan ia lebih menarik.

Terdapat juga pelbagai adegan-adegan yang dihasilkan secara ‘luar kotak’ dengan gaya berlainan digunakan untuk sesetengah adegan yang memberikan kelainan dan menjadikannya lebih menarik. Selain itu, filem ini juga tidak takut untuk menggunakan darah dan memperlihatkan aksi yang ganas, ini bagi saya membantu untuk menggambarkan keadaan hutan belantara yang liar. Saya menyukainya, tetapi kanak-kanak mungkin lain penerimaan mereka dan filem ini bukan mendapat klasifikasi filem U tetapi P12, oleh itu ibu bapa perlu bersama kanak-kanak untuk menontonnya.
Sedikit rungutan untuk saya mengenai animasi adalah rekaan untuk watak tidak membawa vibrant sama dengan personaliti-personaliti tersebut. Contohnya, watak Arnab ada yang menjadi rakan kepada Kancil tetapi rekaannya terlalu sama dengan arnab-arnab yang lain membuatkan saya sukar untuk membezakan, ia sudah semestinya menjadi lebih menarik jika haiwan-haiwan yang menjadi watak utama mempunyai rekaan yang sedikit berbeza dan mudah untuk diketahui oleh penonton.

Dongeng Sang Kancil juga merupakan filem muzikal dan setiap lagu yang disampaikan adalah baik, menarik dan juga bersesuaian dengan adegan-adegan pada waktu itu. Lirik mudah untuk diikuti yang saya rasakan akan menjadi siulan kanak-kanak selepas menontonnya. Lagu-lagu ini juga menyampaikan dengan baik keadaan bagi sesetengah adegan dan menambah lagi personaliti untuk watak-watak yang berkait dengan lagu tersebut.
Akhir kata, filem ini membawa satu penceritaan yang ringkas akan tetapi menjadi sangat menarik kerana kepelbagaian watak yang dibawa dengan gaya-gaya berlainan dan penuh dengan personaliti terutama melalui penyampaian lakonan suara. Animasi juga unik dan kelihatan menarik, tetapi ia boleh menjadi lebih baik jika watak-watak utama diberikan dengan rekaan yang lebih berlainan untuk memberi personaliti seperti yang disampaikan melalui dialog dan lakonan suara.
Dongeng Sang Kancil akan ditayangkan secara rasmi pada 26 Disember 2024 tetapi sudah ada beberapa pawagam yang menawarkan tayangan awal.


