How to Make Millions Before Grandma Dies merupakan satu filem dari Thailand yang mula disebut-sebut oleh penonton-penonton filem di Malaysia, yang membuatkan saya sendiri pergi menontonnya. Filem arahan Pat Boonnitipat ini membawa tema mengenai perhubungan kekeluargaan terutama dengan perbezaan generasi. Ramai yang mengatakan filem ini akan membuatkan anda menangis, dan saya bersetuju filem ini mempunyai banyak adegan yang akan membuatkan anda sedih sama ada kerana anda pernah mengalaminya ataupun sekadar empati dengan apa yang berlaku.
Filem ini memfokuskan kepada perhubungan di antara seorang remaja bernama M lakonan Putthipong Assarantanakul bersama dengan neneknya yang dipanggil sebagai Amah lakonan Usha Seamkhum. Selepas Amah menghidap kanser, M yang masih tidak mempunyai arah tuju hidup yang pasti ingin menjaga Amah dengan harapan mendapat sesuatu balasan selepas meninggal dunia. Pada masa yang sama, filem ini juga memperlihatkan bagaimana perhubungan anak-anak Amah iaitu Chew, satu-satunya anak perempuan yang juga ibu kepada M, Kiang anak lelaki sulung dan Soei anak lelaki bongsu.
Pertama yang saya ingin katakan, pemilihan untuk menggunakan judul ‘How to Make Millions Before Grandma Dies’ memberikan persepsi yang salah mengenai penceritaan ini, saya tidak pasi siapa yang memilih judul tersebut bagi bahasa Inggeris, sedangkan di dalam bahasa Thai, judulnya adalah Lahn Mah atau terjemahan kasanya adalah “Cucu Nenek” yang bagi saya lebih tepat dan menggambarkan penjiwaan filem ini dengan lebih baik.
Perhubungan di antara M dan Amah menjadi penggerak utama bagi penceritaan, dan ia dilakukan dengan baik. Walaupun cuba untuk menjadikan satu drama dengan pelbagai adegan yang sedih, akan tetapi filem ini tidak melakukannya dengan terlalu melampau sebaliknya memperlihatkan perhubungan mereka dengan sangat natural, tidak kira adegan yang baik ataupun adegan yang membuatkan saya menangis.
Pada masa yang sama, filem ini juga menjadikan perhubungan Chew, Kian dan Soei elemen penting di dalam penceritaan, kerana perhubungan di antara nenek dan cucu agak berlainan dengan perhubungan di antara emak dan anak serta perhubungan sesama adik beradik. Kepelbagaian inilah yang menjadikan penceritaan mempunyai pelbagai lapisan berlainan yang menguatkan lagi penyampaian dan juga sesuatu yang ingin diikuti di dalam filem ini. Seperti perhubungan M dengan Amah, perhubungan yang lain ini juga dilakukan dengan baik dan tidak terasa ‘overly-dramatic‘.
Walaupun dengan pelbagai adegan menyedihkan, filem ini juga dengan jayanya menyelit bahagian-bahagian komedi yang membuatkan saya ketawa walaupun selepas satu adegan yang sedih. Selain itu, ia juga membawa elemen lain seperti benci ataupun marah dengan sesetengah watak, bahkan sesetengah kelakuan M sendiri. Oleh itu, filem ini bukan sahaja akan membuatkan saya menangis tetapi juga membuatkan saya merasai pelbagai emosi lain.
Saya secara peribadi baru sahaja kehilangan ibu tahun ini Adan juga nenek beberapa tahun yang lepas, oleh itu filem ini membawa satu gambaran yang masih segar di ingatan yang mungkin membuatkan saya lebih terkesan dengan penceritaan ini, namun saya juga merasakan yang penonton-penonton yang tidak pernah melalui apa-apa yang berlaku di dalam filem ini masih lagi dapat mempunyai perasaan empati ataupun simpati kerana filem ini menyampaikan bahagian-bahagian tersebut dengan efektif yang saya boleh katakan terasa sangat relatable.
Akhir kata, How to Make Millions Before Grandma Dies walaupun terasa agak misleading dengan penggunaan judul ini, merupakan satu filem yang ringkas tetapi berkesan di dalam penyampaian tema utama untuknya iaitu mengenai perhubungan di antara cucu dan nenek, emak dan anak dan juga perhubungan di antara adik beradik. Filem ini berjaya menyampaikan pelbagai aspek emosi dengan berkesan tidak kira sedih, ketawa mahupun marah.