Vanishing Point merupakan sebuah naskhah yang ringkas dari sudut penceritaan namun kompleks dalam penyampaiannya. Sebagai sebuah filem crime thriller, ia menggarap elemen misteri dengan cukup berkesan sehingga berjaya membuatkan penonton sentiasa berasa gelisah. Berbanding bergantung kepada lambakan motif atau suspek yang berbeza, filem ini menggunakan pendekatan tiga jenayah serentak untuk memperkuatkan lagi intensiti misteri yang disajikan.
Tiga plot jenayah ini bergerak secara selari. Plot pertama memfokuskan kepada Yan Wu (Roy Chiu), seorang kaki judi yang dibebani hutang keliling pinggang dan terpaksa bergantung hidup pada bapanya. Selepas satu pergaduhan, bapanya meninggal dunia akibat sakit tua. Namun, daripada membuat laporan, Yan Wu memilih untuk mendiamkan diri dan lebih mementingkan usaha mencari wang simpanan mendiang bapanya.

Jenayah kedua melibatkan keluarga Tang Yu (Zheng Kai) yang menghuni bangunan yang sama. Anaknya tiba-tiba hilang ketika Tang Yu sedang menunggunya di tingkat bawah untuk ke sekolah. Misteri utama, rakaman CCTV menunjukkan anaknya tidak pernah keluar dari bangunan tersebut. Plot ketiga pula menyusuli Lin Yutong (Liu Haocun), pemilik rumah sewa Yan Wu. Dia terpaksa berpindah keluar akibat dihantui satu trauma silam yang masih belum berkesudahan.
Walaupun ketiga-tiga insiden ini berlaku di bawah satu bumbung, ia dicabangkan dengan naratif berbeza, lantas menjadikan elemen misterinya lebih memikat. Ia berjaya membuatkan penonton berteka-teki sama ada wujudnya titik pertemuan antara ketiga-tiga kes ini. Biarpun watak-wataknya tidak bersemuka atau berkomunikasi secara langsung, pertembungan halus antara mereka berjaya menghasilkan beberapa adegan yang cukup mendebarkan.
Dari sudut atmosfera, naskhah ini digarap dengan nada yang agak ngeri. Walaupun ia bukan sebuah filem seram atau slasher, momentum ketegangannya berjaya membuatkan saya sentiasa berasa tidak senang duduk. Perasaan resah ini disampaikan dengan cemerlang, bukan melalui jump scare (walaupun ada diselitkan) atau pembunuh bersiri yang menyerang secara mengejut, tetapi melalui ketakutan terhadap apa yang tidak diketahui.

Kekuatan filem ini tidak terhad pada misterinya, tetapi juga pada barisan wataknya. Selain tiga watak utama, watak-watak sampingan turut memikul peranan penting dengan membawa kisah peribadi yang menambah lapisan teka-teki dalam penceritaan. Walaupun ada ketikanya penulisan watak seperti pihak polis dan teman lelaki Lin Yutong terasa sedikit janggal, kelemahan ini dimaafkan kerana ia tidak mencacatkan keseluruhan jalan cerita. Di sebalik ketegangan, filem ini turut menyelitkan mesej moral tentang bahaya menghukum tanpa usul periksa serta realiti kelangsungan hidup dalam menghadapi kemelut peribadi.
Kesimpulannya, daya tarikan utama filem ini terletak pada kebolehannya merangkai tiga jenayah serentak menjadi satu misteri berskala besar. Ia disokong oleh penyampaian cemerlang yang memastikan penonton sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. Walaupun wujud sedikit kecacatan pada penulisan beberapa watak, persembahan keseluruhan setiap pelakon berjaya menghidupkan naratif yang dibawa, menjadikannya sebuah filem yang amat berbaloi untuk ditonton bagi peminat genre misteri ataupun jenayah.


