Ulasan Inside Out 2

Inside Out 2 merupakan filem susulan untuk Inside Out yang ditayangkan pada tahun 2015, filem ini diarahkan oleh Kelsey Mann dan dibintangi pelakon suara seperti Amy Poehler, Phyllis Smith, Lewis Black, Tony Hale, dan Maya Hawke. Filem ini mengekalkan premis seperti filem pertama dengan memfokuskan kepada kepelbagaian emosi yang terdapat di dalam manusia dan bagaimana setiap emosi ini menentukan sesuatu keputusan yang diambil dan juga kelakuan.

Filem kedua juga memfokuskan kepada Riley yang kini berumur 13 tahun, emosi yang hadir pada filem pertama iaitu Joy, Sadness, Fear, Anger, dan Disgust kini disertai oleh Anxiety, Envy, Ennui, dan Embarrassment selepas dia melalui akil baligh. Selain itu, Riley juga kini memasuki High School dan ingin memasuki pasukan hoki ais sekolah tersebut. Ini telah membuatkan emosi Anxiety menjadi emosi utama bagi Riley menggantikan Joy sebelum ini.

Saya boleh katakan yang Inside Out 2 tidak membawa kesan emosi seperti filem pertama, akan tetapi melihat Riley melalui pelbagai perubahan ini, dengan emosi-emosi lama telah digantikan dengan emosi baharu terutama Anxiety yang mendominasi, merupakan sesuatu yang mudah untuk difahami oleh saya. Perkara ini membuatkan penceritaan kekal menarik, ini ditambah lagi filem ini juga memperkenalkan beberapa konsep baharu seperti “Sense of Self”.

Konsep “Sense of Self” ataupun saya boleh katakan sebagai “Perwatakan” ini diperlihatkan dengan menarik, menggunakan memori-memori kejadian di dalam hidup Riley, ia akan menghasilkan satu perwatakan untuk Riley yang menjadi pendorong utama bagaimana Riley berinteraksi dengan orang-orang lain. Ia juga menjadi bahagian penting di dalam penceritaan, apabila perwatakan tersebut tidak lagi bersesuaian dengan emosi-emosi baharu yang tiba dan ini membawa masalah kepada perubahan personaliti Riley.

Selain Riley, seperti filem ini juga memfokuskan kepada emosi-emosi di dalamnya, terutama Joy, Sadness, Fear, Anger, dan Disgust yang sebelum menjadi pendorong utama di dalam pembentukan perwatakan Riley, kini dipinggirkan, oleh itu mereka berusaha untuk kembali terlibat dengan Riley, tetapi pada masa yang sama memberi ruang untuk mereka belajar lebih lanjut mengenai apa yang diperlukan oleh Riley untuk membesar.

Bagi saya, kekuatan utama filem ini adalah bagaimana ia menyampaikan emosi dan memori memberi kesan kepada perwatakan. Ia bukan sahaja disampaikan dengan menarik tetapi mudah untuk difahami oleh saya dan saya juga merasakan oleh sesiapa sahaja yang menonton filem ini, menjadikan mesej yang ingin disampaikan jelas – setiap emosi dan memori tidak kira positif ataupun negatif memainkan peranan penting di dalam pembentukan watak seseorang.

Sesuatu yang tidak mengejutkan lagi dengan ini merupakan filem Pixar Animation Studios, kualiti animasi adalah sangat baik, termasuk juga rekaan-rekaan emosi baharu serta dunia emosi yang menarik. Selain itu, animasi untuk bahagian kehidupan Riley juga dilakukan dengan memukau, melihat kepada Riley bermain hoki ais, membuatkan saya ingin melihat Pixar untuk hadir dengan filem yang memfokuskan hoki ais kerana ia dilakukan dengan sangat menarik.

Akhir kata, Inside Out 2 tidak membawa penceritaan yang beremosi seperti filem pertama, tetapi masih cukup menarik dengan penyampaian premis utama filem ini iaitu bagaimana emosi dan memori membentuk perwatakan dilakukan dengan jelas dan mudah untuk difahami. Ini menjadikan pengalaman tontonan yang baik untuk semua. Seperti biasa untuk filem animasi Pixar, Inside Out 2 juga disampaikan dengan kualiti animasi yang bertaraf tinggi.

Inside Out 2 kini ditayangkan di pawagam.

Inside Out 2
Inside Out 2 tidak membawa penceritaan yang beremosi seperti filem pertama, tetapi masih cukup menarik dengan penyampaian premis utama filem ini iaitu bagaimana emosi dan memori membentuk perwatakan dilakukan dengan jelas dan mudah untuk difahami. Ini menjadikan pengalaman tontonan yang baik untuk semua.
Positif
Premis penceritaan disampaikan dengan menarik
Pengambaran yang diguanakan adalah jelas
Animasi yang berkualiti tinggi
Negatif
Kurang memberi impak emosi berbanding filem pertama
8

Sohor Kini