Skip to main content

Deadpool & Wolverine merupakan filem ketiga untuk siri filem Deadpool dan ia merupakan filem pertama selepas Disney mengambil alih 20th Century Fox, yang juga menjadikan ia filem pertama sebahagian daripada Marvel Cinematic Universe (MCU). Seperti dua filem sebelum ini, filem ini juga menggunakan pengarah berlainan iaitu Shawn Levy yang sudah berpengalaman bekerja dengan Ryan Reynolds melalui filem The Adam Project dan Free Guy, beliau juga pernah bersama dengan Hugh Jackman di dalam filem Real Steel.

Walaupun menggunakan pengarah baharu, dan juga menjadi sebahagian daripada MCU, Deadpool & Wolverine masih membawa apa yang kita harapkan daripada siri filem ini, tidak kira jenaka yang ‘breaking the 4th wall‘ ataupun aksi ganas yang melampau, akan tetapi saya boleh katakan filem ini berjaya untuk membawa sesuatu lapisan yang kurang ditekankan di filem-filem lepas iaitu jiwa penceritaan. Selain daripada sekadar jenaka dan aksi ganas, filem ini masih menyampaikan penceritaan yang baik.

Filem ketiga ini bermula dengan memperlihatkan Wade Wilson ataupun Deadpool cuba menjadi seseorang yang berguna dengan kebolehan yang dia ada, termasuklah cuba untuk menyertai Avengers. Namun, percubaannya itu gagal yang mengakibatkan dia hilang keyakinan diri dan tidak lagi bersemangat untuk memakai kostum Deadpool. Segala berubah apabila dia diberitahu oleh Time Variance Authority (TVA) yang garisan masa dunianya akan dipadamkan dan semua orang di dunia tersebut tidak lagi akan wujud.

Demi menyelamatkan garisan masa tersebut, Deadpool telah meminta bantuan daripada Logan atau Wolverine yang kembali di bawa oleh Hugh Jackman. Namun, Wolverine yang dijumpainya melalui fasa kemurungan kerana perkara yang berlaku di masa lepas. Wolverine bukan sahaja tidak mahu menolong Deadpool tetapi mereka juga sering bergaduh, tetapi selepas Deadpool mengatakan yang dia dapat menolong Wolverine mengenai masalah masa lepasnya, dia bersetuju dan mengembara ke pelbagai dunia untuk menyelamatkan garisan masa tersebut.

Deadpool dan Deadpool 2 merupakan dua filem yang menarik tetapi saya sentiasa ia kekurangan dua perkara iaitu watak lain yang menarik untuk menemani Deadpool dan juga penceritaan yang tidak terasa sampingan sebaliknya menjadi bahagian penting di dalam filem. Saya boleh katakan yang Deadpool & Wolverine menyelesaikan dua masalah tersebut. Selain daripada Deadpool, filem ini juga membawa Wolverine yang menjadi watak menarik, walaupun versi yang berlainan berbanding yang kita kenali sebelum ini.

Selain daripada Wolverine, filem ini juga membawa watak-watak lain dengan baik dalam bentuk ‘cameo‘ yang saya boleh katakan dilakukan dengan jauh lebih baik jika ingin dibandingkan dengan Doctor Strange in the Multiverse of Madness yang cuba mengulangi sesuatu yang saya boleh katakan dimulakan oleh Spider-Man: No Way Home. Cameo ini hadir dengan menarik, menyeronokkan dan tidak terasa satu pembaziran. Mereka dibawa masuk, digunakan dengan baik dan bukan sekadar untuk mendapat reaksi daripada penonton semata-mata.

Seterusnya penceritaan, masih mengekalkan tema multimesta dengan garisan berlainan, sesuatu yang tidak mengejutkan lagi kerana ia sebahagian daripada “The Multiverse Saga” di dalam MCU. Filem ini tidaklah membawa konsep yang unik ataupun berlainan dengan filem-filem lain, ataupun yang diperlihatkan di dalam siri MCU tetapi yang unik adalah bagaimana Deadpool dan Wolverine disertakan di dalamnya. Deadpool dengan masalahnya, dan kemudian cuba untuk menjadi hero dengan menyelamatkan garisan masa sendiri. Manakala Wolverine yang tidak tahu di mana tempatnya di dalam dunia ini.

Mengambil gaya daripada filem The Adam Project dan Free Guy, Shawn Levy berjaya untuk menyampaikan bahagian emosi dengan berkesan walaupun dengan penghasilan filem ini yang penuh dengan keganasan dan juga jenaka. Ini terutama diperlihatkan melalui dua watak utama iaitu Deadpool dan Wolverine, bahkan saya boleh katakan yang jika filem ini tidak menyertakan Wolverine, bahagian emosi ini mungkin tidak berkesan, terutama jika Deadpool berseorangan seperti dua filem sebelum ini. Kejayaan untuk menggabungkan pelbagai lapisan penceritaan ini membantu untuk menjadikan filem Deadpool kali ini lebih daripada kebiasaan.

Deadpool & Wolverine juga masih menyampaikan dua kekuatan siri filem ini iaitu jenaka dan aksi dengan memuaskan. Bahkan, saya juga boleh menghargai jenaka-jenaka yang disampaikan melebihi daripada filem sebelum ini yang saya boleh katakan terasa sedikit murahan. Jenaka di dalam filem ini tidak gagal untuk membuatkan saya tertawa, tidak kira jenaka berkait dengan dunia luar, terutama Fox yang sering menjadi punchline, ataupun jenaka mengenai sesuatu yang sedang berlaku.

Manakala bahagian aksi juga sangat seronok untuk ditonton dengan Deadpool terutamanya sangat kreatif di dalam membunuh seseorang. Sedikit rungutan saya adalah apabila menggunakan gaya rakaman pertempuran daripada pandangan tepi, sesuatu yang saya boleh katakan dimulakan oleh filem Korea Oldboy, juga dipopularkan oleh Zack Snyder di dalam 300. Adegan sebegini adalah menarik, kerana dapat memperlihatkan sedikit lawan ramai dengan baik tetapi filem ini saya boleh katakan melakukannya dengan kurang kemas dan kurang menarik jika ingin dibandingkan dengan bahagian-bahagian pertempuran lain.

Akhir kata, Deadpool & Wolverine saya boleh katakan sebagai filem terbaik untuk siri Deadpool dan merupakan antara filem terbaik di dalam MCU untuk Saga baharu ini. Filem ini menyampaikan apa yang kita jangkakan daripada filem ini dengan baik iaitu jenaka dan aksi yang ganas, tetapi pada masa yang sama memberikan perwatakan yang baik dan juga penceritaan yang saya boleh ikuti dengan asyiknya sepanjang filem ini sesuatu yang saya tidak boleh lakukan untuk dua filem yang lepas. Namun, penceritaan masih terasa ringkas dan mudah untuk dijangka, manakala adegan aksi pula ada yang kurang menjadi terutama bagi bahagian sudah tepi tetapi akhirnya, filem ini masih memberikan anda masa yang baik.

Gambar: © 2024 20th Century Studios / © dan ™ 2024 MARVEL.

Deadpool & Wolverine
Filem terbaik untuk siri Deadpool dan merupakan antara filem terbaik di dalam MCU untuk Saga baharu ini. Filem ini membawa jenaka dan aksi yang ganas dengan baik,dan pada masa yang sama memberikan perwatakan dan penceritaan yang saya boleh ikuti dengan asyiknya.
Positif
Masih filem Deadpool yang kita kenal dan suka
Penceritaan lebih menarik
Perwatakan yang mendalam
Negatif
Penceritaan masih ringkas
Beberapa adegan aksi rasa kurang menarik
8

Leave a Reply