Satu perkara yang saya ingin memulakan ulasan ini terlebih dahulu adalah saya tidak pasti mengapa Universal Pictures tidak menggunakan judul yang sama dengan judul di skrin iaitu Wicked: Part I sebaliknya filem ini dipromosi sekadar Wicked sahaja. Namun, bagi yang sudah mengikuti perkembangan mengenai filem ini, mesti sudah mengetahui yang filem ini adalah bahagian pertama dengan bahagian kedua iaitu Wicked: Part II dijangka tiba pada 21 November 2025.

Filem ini adalah mengenai Elphaba lakonan Cynthia Erivo seorang wanita yang dilahirkan berkulit hijau tetapi mempunyai kuasa magis dan juga Galinda Upland lakonan Ariana Grande seorang wanita yang popular di kalangan temannya tetapi tidak berbakat di dalam menjadi ahli sihir. Bagi yang mengikuti penceritaan Wizard of the Oz, Elphaba merupakan watak yang kemudian menjadi Wicked Witch of the West manakala Galinda menjadi Glinda the Good Witch of the North.

Seperti adaptasi lain bagi penceritaan Oz ini, Wicked juga tidak boleh diambil sebagai filem susulan ataupun sekuel kepada mana-mana filem lain, sebaliknya ia adalah satu filem kendiri yang cuba menyampaikan penceritaan berlainan bagi kedua-dua watak tersebut dan saya boleh katakan ia berjaya. Perhubungan di antara Elphaba dan Galinda menjadi tunjang utama bagi filem ini, dan ia sangat baik di dalam menghasilkan perwatakan yang unik untuk kedua-dua mereka.

Cynthia Erivo membawa wataknya dengan sangat baik, sebagai seorang yang nampak kuat di luaran dan tidak hiraukan dengan pandangan orang lain akan tetapi sebenarnya mempunyai perasaan tersendiri dan sisi yang tidak diketahui oleh orang lain. Manakala Galinda juga di bawa baik oleh Ariana Grande yang sedikit ‘dungu’ mengingatkan saya kepada watak Cat di dalam siri Victorious ataupun berlagak dan ada sahaja rancangan yang mementingkan diri sendiri tetapi bukan kerana berniat jahat sebaliknya lebih kepada dia sentiasa ingin apa yang diinginkannya.

Filem ini dengan baiknya menyampaikan perkembangan perhubungan di antara kedua-dua watak, bermula dengan tidak mengenali satu sama lain, kepada rakan sebilik tetapi bermusuh, kepada menjadi rakan karib dan juga sehingga berbeza haluan sekali lagi. Walaupun dengan perubahan perhubungan ini, ia tidak sangat menukar mana-mana perwatakan mereka yang bagi saya pilihan yang baik kerana perubahan perhubungan mereka tidak bermakna yang personaliti ataupun perwatakan mereka perlu berubah, tetapi bahagian awal filem ini sedikit membosankan kerana tidak terlalu banyak perkara penting yang berlaku dan lebih kepada pengenalan watak-watak yang ada.

Bagi saya adegan yang akan saya ingat daripada filem ini adalah adegan yang menjadi bahagian permulaan kepada perubahan perhubungan di antara Elphaba dan Galinda, bagi saya adegan tersebut dilakukan dengan sangat baik terutama dengan ia adalah satu adegan yang sunyi. Bagi satu filem muzikal, agak ironi adegan terbaik adalah apabila tiada muzik digunakan dan lebih memfokuskan kepada gerakan dua-dua watak tersebut yang sangat menyentuh hati dan memberi gambaran yang sangat utuh mengenai perubahan tersebut.

Bercakap mengenai muzikal, filem ini menggunakan nyanyian dan muzikal dengan agak kerap dan menjadi cara utama di dalam melakukan penukaran adegan ataupun penukaran perhubungan di antara watak dan juga menyampaikan isi hati secara ‘monolog’. Walaupun nyanyian yang baik oleh semua pelakon, termasuk juga Michelle Yeoh tetapi saya tidak berapa suka dengan lagu-lagu yang disampaikan dan selain daripada satu lagu, lagu-lagu lain tidak saya ingat apabila keluar daripada pawagam.

Nilai produksi filem ini adalah memuaskan, latar tempat kebanyakan adalah kawasan di dalam dan juga sekitar Shiz University yang menjadi tempat Elphaba dan Galinda belajar sebelum mereka berdua mengembara ke Emerald City yang juga dihasilkan dengan baik tetapi bukanlah satu kawasan utama. Filem ini kelihatan cantik dan kostum juga dilakukan dengan sangat menawan. Walaupun tidak banyak sihir yang dilakukan akan tetapi apabila ia berlaku, ia dilakukan dengan sangat baik termasuk juga semasa Elphana menaiki penyapu terbang buat pertama kali.

Akhir kata, Wicked satu pembawaan yang baik di dalam menyampaikan kisah Elphaba dan Galinda bagaimana perhubungan mereka melalui pelbagai fasa perubahan sebelum menjadi watak yang kita kenali. Lakonan yang baik oleh Cynthia Erivo dan Ariana Grande menjadikan filem ini sangat segar untuk diikuti, walaupun sedikit mengecewakan kerana lagu serta muzik yang digunakan tidak terlalu diingati. Ini merupakan bahagian pertama dengan bahagian akan tiba pada tahun depan, oleh itu boleh jangkakan pengakhiran yang sedikit tergantung.

Wicked
Satu pembawaan yang baik di dalam menyampaikan kisah Elphaba dan Galinda bagaimana perhubungan mereka melalui pelbagai fasa perubahan sebelum menjadi watak yang kita kenali. Lakonan yang baik oleh Cynthia Erivo dan Ariana Grande menjadikan filem ini sangat segar untuk diikuti walaupun mengecewakan dari segi muzikal.
Positif
Lakonan yang baik oleh Cynthia Erivo dan Ariana Grande
Penyampaian penceritaan yang menarik
Nilai produksi yang memuaskan
Negatif
Bahagian awal sedikit bosan
Muzikal kurang menarik
8

Leave a Reply

Final Score