Transformers One merupakan satu filem animasi yang berjaya untuk menyampaikan kisah permulaan bagi dua watak penting di dalam francais ini iaitu Optimus Prime dan Megatron. Walaupun, fokus utama filem ini adalah bagi tontonan kanak-kanak akan tetapi dewasa juga akan menghargainya terutama di bahagian kedua bagi filem ini. Filem ini diarahkan oleh Josh Cooley yang sebelum ini mengarah filem Toy Story 4 dan terlibat dengan sebilangan filem animasi bersama Pixar seperti Inside Out. Lakon layar pula oleh Eric Pearson yang banyak terlibat dengan filem Marvel bersama dengan Andrew Barrer dan Gabriel Ferrari sebelum ini bersama di dalam filem Ant-Man and the Wasp.
Filem ini adalah mengenai Optimus Prime dan Megatron yang pada waktu ini dikenali sebagai nama yang lain iaitu Orion Pax dan D-16 merupakan sahabat karib dan mereka berdua juga merupakan robot yang tidak boleh bertukar ataupun transform. Ini mengakibatkan mereka menerima pekerjaan sebagai pelombong Energon yang digunakan untuk memberi kuasa kepada planet Cybertron. Namun, Orion Pax sentiasa tidak berpuas hati dengan keadaan mereka dan ingin menjadi lebih lagi daripada sekadar pelombong. D-16 pula lebih mematuhi segala arahan tetapi pada masa sama mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh Orion Pax. Kehidupan mereka berubah apabila mereka mengetahui rahsia mengenai apa yang sedang berlaku di Cybertron yang memaksa mereka keluar daripada kehidupan yang senang.
Bahagian pertama filem ini lebih memfokuskan kepada pembinaan watak untuk Orion Pax dan juga D-16, bagaimana perhubungan mereka, dan seperti saya nyatakan sebelum ini perkara-perkara yang ‘nakal’ dilakukan oleh Orion Pax dan diikuti sahaja oleh D-16. Bagi saya, bahagian ini bukan bahagian yang terbaik untuk filem ini dan saya boleh katakan ia sedikit membosankan. Menarik untuk mengetahui lanjut mengenai perhubungan mereka berdua, dan juga keadaan semasa Cybertron di dalam filem ini akan tetapi ia berlaku terlalu panjang dan tidak banyak perkembangan yang berlaku ataupun perkembangan yang sama tetapi berulang-ulang pada adegan yang berlainan. Perkara yang menarik di bahagian ini adalah dengan memperkenalkan beberapa watak tambahan yang kemudiannya menjadi watak penting di dalam filem ini.
Pada awalnya saya sedikit risau jika penceritaan akan berterusan sebegini, tetapi apabila memasuki bahagian kedua dengan Orion Pax dan D-16 mendapat kebolehan untuk transform dan konspirasi mengenai Cybertron mula terbongkar, filem menjadi lebih menarik dan penuh aksi. Ia penuh dengan adegan-adegan menarik, serta pendedahan yang penting untuk penceritaan. Selain itu, perkembangan watak bagi kesemua watak yang ada juga mula berlaku terutama perhubungan di antara Orion Pax dan D-16 yang boleh dikatakan semakin tegang. Kesemua ini membuatkan kebosanan yang saya rasai di bahagian pertama berbaloi untuk dilalui agar saya dapat menikmati bahagian kedua ini yang terus sarat dengan perkara menarik sehingga penamat filem. Saya juga boleh katakan yang bahagian ini menyelamatkan filem ini.
Pelakon-pelakon suara yang ada di dalam filem ini merupakan nama-nama besar di dalam industri filem antaranya Chris Hemsworth bagi watak Orion Pax, Brian Tyree Henry untuk watak D-16, Scarlett Johansson untuk watak Elita, dan Keegan-Michael Key untuk watak Bumblebee. Kesemua mereka melakukan satu penyampaian yang baik, setiap watak mempunyai personaliti tersendiri. Saya cuma terasa dialog di antara Orion Pax dan D-16 kurang menarik terutama semasa bahagian pertama filem ini, selain itu jenaka-jenaka yang ada kurang menjadi di dalam penyampaian-nya, tetapi seperti saya katakan sebelum ini, ia adalah filem untuk kanak-kanak oleh itu mungkin mereka lebih menggemari dengan jenis jenaka yang dilakukan.
Saya juga berpuas hati dengan animasi serta rekaan-rekaan Cybertron dan setiap robot yang ada. Bagaimana Orion Pax dan D-16 berubah menjadi Optimus Prime dan Megatron juga dilakukan dengan baik dan memberikan perasaan ‘wow’, walaupun saya sudah mengetahui dari awal lagi mereka akan menjadi dua watak yang penting itu. Pertempuran dilakukan dengan menarik serta kemas, jika saya ingin mencari kesalahan kecil saya boleh katakan ada masa aksi berlaku terlalu dekat dan saya tidak dapat lihat yang jelas apa yang sedang berlaku tetapi dengan kepantasan pertempuran berlaku ia masih memberikan saya kepuasan untuk menontonnya.
Akhir kata, Transformers One bermula dengan perlahan sehingga menjadikan sedikit membosankan tetapi kepadatan pengisian di bahagian kedua membuatkan kesemua itu berbaloi untuk dilalui dan memberi kepuasan di dalam menyampaikan kisah awal untuk dua watak penting di dalam francais ini iaitu Optimus Prime dan Megatron serta bagaimana mereka dari kawan menjadi lawan. Pada masa yang sama filem ini juga menyampaikan kisah mengenai Cybertron yang menarik untuk orang seperti saya yang tidak terlalu mengikut kisah Transformers dan juga untuk yang sudah lama meminati francais ini.
Transfomer One mula ditayangkan di pawagam pada 12 September 2024