Henry Cavill mula berlakon sebagai Superman dalam filem Man of Steel pada tahun 2013. Beliau kemudian terus memainkan watak ini pada tahun 2016 dalam filem Batman v Superman: Dawn of Justice, Justice League dan Zack Snyder’s Justice League.
Namun pada dua tahun lalu, terdapat laporan menyatakan beliau tidak lagi akan berlakon sebagai Superman dan jika ada filem memerlukan watak ini – pelakon lain akan menggantikan beliau. Tetapi terdapat laporan lain menyatakan beliau akan kekal berlakon sebagai watak ini kerana beliau sendiri yang amat minat memegang tanggungjawab besar sebagai bintang Superman.
Amaran: Beberan (spoiler) Black Adam di perenggan bawah.
Terkini, Henry Cavill melalui Instagram beliau mengesahkan beliau akan kekal sebagai Superman dalam filem-filem DC akan datang. Bukan itu sahaja, beliau turut berkongsi imej baharu Superman yang akam digunakan dalam projek-projek akan datang. Filem DC baharu yang menyertakan Superman adalah dalam Black Adam yang baru sahaja ditayangkan pada minggu lepas.
Baca: Ulasan Black Adam – Filem DC Yang Nampak Gah, Tapi Hanya Ala Kadar
Antara projek yang telah dilaporkan akan dibangunkan adalah Man of Steel 2 dan Black Adam vs Superman. Terdapat banyak lagi filem DC baharu sedang dibangunkan dalam perancangan untuk 10 tahun akan datang, Wonder Woman 3, The Flash 2, filem-filem penjahat Gotham, filem oleh James Gunn dan banyak lagi – mungkin kita akan saksikan Henry Cavill dalam salah satu filem ini. Sama-sama kita nantikan.