Dunia filem DC tidak dinafikan amat serabut dengan pelbagai dunia berbeza dengan filem tersendiri. Tetapi Warner Bros. masih tidak ingin mengalah dan tetap cuba untuk menarik perhatian orang ramai, mereka mampu hadir dengan filem-filem adiwira yang hebat. Filem terkini adalah Black Adam, iaitu filem terakhir DC di bawah pengawasan presiden filem DC Walter Hamada sebelum dunia DC diolah semula dengan perancangan baharu untuk 10 tahun.

Black Adam adalah filem anti-hero, di mana watak ini mempunyai kuasa seakan Shazam! tetapi dengan pendirian yang lebih kejam dan ganas kerana hati dipenuhi dengan dendam. Black Adam dilakonkan oleh Dwayne “The Rock” Johnson dan filem ini juga adalah terbitan studio beliau, Seven Bucks dan dikatakan sudah cuba membangunkan filem ini selama 10 tahun.

Adakah ini filem DC terbaik setakat ini?


Jalan Cerita

Dalam filem ini, Black Adam adalah seorang adiwira legenda di Kahndaq – tetapi beliau sebenarnya adalah seorang anti-hero kerana menewaskan musuh dengan cara yang kejam. Sebagai balasan, beliau telah dipenjarakan selama lima ribu tahun dan hanya dibebaskan secara terpaksa pada zaman moden. Dengan kebebasan anti-hero ganas ini, Justice Society telah menganggap Black Adam akan kembali mengakibatkan keganasan dan huru-hara. Pasukan adiwira ini hadirkan diri ke Kahndaq untuk cuba menghentikan beliau dan cuba mendidik untuk menjadi adiwira dan bukannya penjahat.

Masih bukan filem DC terbaik

Selepas menonton filem ini, aku masih rasakan Black Adam bukan filem DC yang terbaik. Tetapi filem ini tidak teruk dan masih menghiburkan jika sekadar ingin mengenali watak baharu dalam filem aksi nyata moden. Ia juga adalah debut kali pertama dalam filem aksi nyata untuk pasukan Justice Society yang selama ini hanya muncul dalam siri TV sahaja. Ia juga adalah kali pertama Dwayne Johnson berlakon sebagai seorang anti-hero dalam francais filem adiwira yang besar.

Filem ini bermula dengan asal-usul Black Adam, yang nampak menarik tetapi sayang sekali ia tidak begitu memuaskan dan jelas mengenai tujuannya. Pada awal filem, kualiti juga tidak begitu hebat dengan kesan CGI yang nampak bajet rendah dan prestasi lakonan yang tidak begitu hebat. Ia diteruskan dengan zaman moden, yang mula memberi sedikit impak menarik untuk aku teruskan menonton.

Kali ini ia memperlihatkan dunia moden bandar Kahndaq dan menceritakan bagaimana Black Adam kembali bebas. Cuma dari sini perjalanan filem ini sudah boleh diagak siapakah antagonis utama filem ini dan ia pasti tidak akan membuatkan anda terkejut jika anda berjaya teka. Aku cuba ketepikan ramalan aku, kerana ingin nikmati filem ini dalam format IMAX. Filem ini juga nampak sesuai untuk dijadikan sebagai satu filem adiwira ganas seperti The Suicide Squad versi James Gunn, cuma jelas ia banyak dipotong agar ia sesuai untuk ditonton oleh semua orang.

Beberapa adegan dalam filem ini mempunyai CGI dan suntingan yang cukup hebat dan jelas ia adalah sebuah filem bajet besar. Beberapa elemen Zack Snyder turut dikekalkan, untuk menampakkan filem ini sebagai sebuah filem DCEU seperti kesan gerak perlahan dalam adegan aksi. Filem ini penuh dengan aksi menarik hampir tanpa henti dengan penceritaan yang cukup pantas dan lancar.

Ia tidak bosan, sukar untuk aku lupakan ramalan aku mengenai apa yang akan berlaku. Prestasi lakonan juga agak memuaskan pada pendapat aku. Pertama sekali aku ingin tekankan mengenai watak-watak Justice Society (JSA);

  • Aldis Hodge sebagai Carter Hall / Hawkman
    • Seorang adiwira yang cukup kuat dan ketua kepada JSA. Perwatakan nampak menarik, tetapi skrip beliau terlampau kerap berulang kali dan agak janggal apabila beliau cuba menjadi acah-acah vigilante dan sudahlah ketua JSA tetapi tidak seperti seorang ketua.
  • Noah Centineo sebagai Albert “Al” Rothstein / Atom Smasher
    • Adiwira baharu dalam JSA yang mempunyai kuasa boleh membesarkan diri seakan Ant-Man, tetapi perwatakan lucu dengan topeng seakan Deadpool. Watak yang membuatkan aku ketawa kerana beliau adalah adiwira yang masih dungu.
  • Quintessa Swindell sebagai Maxine Hunkel / Cyclone
    • Wirawati yang menerima kuasa kerana eksperimen oleh saintis gila ketika beliau remaja. Mempunyai kuasa yang boleh mengawal angin dan seorang wanita genius. Namun perwatakan beliau tidak cukup menyerlah dan tidak cukup memuaskan. Pada aku beliau adalah watak yang ada potensi tinggi.
  • Pierce Brosnan as Kent Nelson / Doctor Fate
    • Antara adiwira hebat dalam JSA kerana beliau telah dipilih oleh Helmet of Fate untuk memiliki kuasa hebat. Kuasa beliau adalah magis seakan Doctor Strange dengan kebolehan manipulasi realiti, klonkan diri untuk tipu musuh serta meramal masa hadapan. Satu watak yang cukup menarik yang aku yakin jika ada filem solo mengenai beliau ia boleh menarik perhatian orang ramai.

Lakonan watak lain seperti Sarah Shahi yang memainkan watak Adrianna Tomaz dan Bodhi Sabongui sebagai anak beliau Amon agak lemah dan penglibatan mereka agak aneh. Skrip juga cringe dan terlampau biasa kerana tiada sebarang keunikan. Marwan Kenzari sebagai Ishmael adalah antara penjahat, aku tidak dedahkan dengan jelas siapakah beliau – tetapi lakonan beliau lebih gerun berbanding Jafar dalam Aladdin.

Apakah masa hadapan DC selepas ini?

Filem ini dilihat ingin menjadi pemula untuk olahan semula dunia DCEU. Tetapi pada aku seakan kurang menjadi dan Dwayne Johnson pula tidak begitu menarik lakonan beliau. Mungkin kerana beliau tidak banyak bercakap, jadi perwatakan klise beliau itu tidak kelihatan. Cuma jika watak ini diteruskan dalam dunia DC, aku risau ia akan menjadi The Rock dalam semua filem beliau yang kita semua sudah kenal. Idea dan konsep diberikan cukup baik, cuma aku masih tidak yakin ia boleh berjaya seperti yang Marvel telah lakukan dengan MCU.

Filem ini turut mempunyai adegan tambahan yang dilihat cuba memberi harapan cerah untuk masa hadapan DCEU. Agak menarik adegan ini dan aku juga sorak, cuma semangat aku tidak begitu lama kerana selepas keluar panggung aku terus rasa hampa.

Kesimpulan

Black Adam adalah sebuah filem anti-hero DC yang menarik. Ia adalah satu cubaan yang baik selepas The Suicide Squad arahan James Gunn yang menjadikan filem tersebut ganas dan ngeri, cuma Black Adam lebih ringan dan mesra untuk tontonan umum. Aku agak terhibur sepanjang dua jam dalam panggung, dengan beberapa elemen komedi serta aksi yang cukup baik. Aku cuma agak kecewa yang skrip filem agak lemah dengan jalan cerita mudah diramal dan beberapa bahagian ditulis dengan keadaan yang tidak memuaskan hati.

Jika anda ingin tonton filem ini, Black Adam akan ditayangkan pada hari ini 19 Oktober di pawagam seluruh Malaysia.

Black Adam
Tayangan Bermula 19 Oktober
Sebuah filem anti-hero yang menceritakan kisah Black Adam, iaitu individu dengan kuasa seakan Shazam! tetapi hati dipenuhi dengan dendam. Kuasa beliau dianggap sebagai satu ancaman oleh Justice Society, iaitu pasukan adiwira yang cuba menghentikan Black Adam. Ia adalah sebuah filem dengan konsep yang baik, tetapi mempunyai skrip yang agak lemah.
Positif
Jalan cerita yang lancar
Pengenalan Justice Society yang menarik
Filem anti-hero yang cuba mempunyai cerita unik
Negatif
Kualiti visual yang tidak konsisten
Penulisan skrip yang lemah
Musuh yang tidak hebat
7

Sohor Kini