Pada pertengahan Januari lepas, Nintendo memperacahkan sesuatu yang baharu. Mereka mengatakan akan mengumumkan cara berlainan untuk bermain dan juga memberikan pengalaman unik bagi kanak-kanak dan juga untuk sesiapa yang mempunyai jiwa kanak-kanak.
Sehari selepas itu Nintendo akhirnya mengumumkan Nintendo Labo iaitu secara ringkasnya set kadbod yang boleh dibentuk menjadi aksesori untuk Switch akan tetapi secara keseluruhan Nintendo Labo adalah sesuatu yang lebih luas berbanding sekadar “set kadbod”.
Labo dikeluarkan secara rasmi pada 20 April dan terdapat dua set ataupun dipanggil sebagai ‘kit’ iaitu Robot Kit dan Variety Kit. Robot Kit hanya mengandungi satu set aksesori iaitu alat kawalan yang berbentuk robot dan boleh dipakai oleh pemain. Variety Kit mengandungi 5 set aksesori berbeza iaitu kereta kawalan jauh, joran memancing, rumah, pengawal motosikal dan piano. Setakat penulisan ini Robot Kit dijual dengan harga RM329 manakala Variety Kit dengan harga RM299.
Bagi ulasan ini kami akan mengulas Variety Kit namun untuk kebanyakan aspek ia juga boleh diguna pakai untuk Robot kit kerana berkongsi konsep yang sama. Labo bukanlah sesuatu yang boleh dipanggil sebagai permainan video, ia juga bukanlah sekadar aksesori untuk Switch sebaliknya Labo adalah satu pengalaman yang seperti kenyataan mereka dikhususkan untuk kanak-kanak. Kami mengalami sedikit kesukaran untuk mengulas Labo kerana Labo adalah kombinasi permainan video, aksesori dan juga alat mainan.
Namun kami pasti persoalan yang sering ditanya ramai adakah ia berbaloi dengan harga yang ditawarkan?
Nintendo mengkategorikan Labo kepada tiga konsep iaitu Make, Play dan Discover. Oleh itu bagi ulasan ini kami akan menyusunya mengikut setiap kategori tersebut. Bagi kategori Make dan Discover secara asasnya ia adalah sama untuk setiap set yang ada di dalam Variety Kit termasuk juga Robot Kit, manakala untuk Play kami akan membahagi kepada setiap set yang ada.
Perkara utama mengenai Labo adalah set kadbod yang boleh dibentuk kepada aksesori yang berbeza. Set kadbod yang tersedia di dalam Variety Kit sudah ditekap dengan rekaan untuk memudahkan anda membentuk aksesori tersebut.
Sepertimana perabot-perabot Ikea sudah semestinya anda memerlukan bantuan panduan untuk membina. Labo menyediakan panduan melalui perisian di dalam kartrij yang tersedia di dalam Kit ini. Panduan ini boleh didapati di bahagian Make. Setiap panduan yang diberikan adalah sangat mudah dan senang untuk diikuti.
Tambahan disebabkan sudah ditekap dengan pelbagai panduan seperti tempat yang perlu dilipat, turut tersedia adalah pelbagai bantuan visual seperti warna, corak dan pelbagai lagi untuk memudahkan membentuk set tersebut.
Walaupun mudah dan senang diikuti tetapi kami tetap merasakan kanak-kanak memerlukan bantuan orang dewasa untuk melakukannya kerana mungkin ia terlalu rumit untuk mereka. Walaupun Nintendo mengatakan Labo adalah untuk kanak-kanak tetapi tanpa bantuan ataupun pemerhatian orang dewasa mereka mungkin merosakkan set tersebut terutama ia adalah sekadar kadbod dan tiada salinan yang diberikan melainkan anda ingin berbelanja untuk membeli satu lagi set.
Bagi kami membina set Labo adalah perkara yang sangat menyeronokkan, secara berseorang dan lebih-lebih lagi jika dilakukan bersama rakan. Walaupun kami tidak mengalaminya akan tetapi kami yakin membina Labo adalah satu pengalaman yang baik untuk ibu bapa dan anak mereka.
Selain itu, pembinaan Labo juga menjadi menarik kerana sepanjang pembinaan anda akan sentiasa tertanya apa fungsi bahagian ini, bagaimana ia akan dibentuk dan pelbagai persoalan akan timbul. Apabila persoalan tersebut terjawab, kami yakin anda hanya mampu mengatakan “Genius“.
Seperti kami nyatakan di atas, di dalam Kit ini anda hanya mendapat kadbod cukup untuk membina satu set sahaja tanpa sebarang salinan, jadi anda mesti berhati-hati terutama untuk tidak terkoyak kadbod yang ada. Melainkan anda sengaja ataupun kucing, kami merasakan agak sukar untuk ia terkoyak ataupun rosak.
Walaupun Nintendo ada menyediakan pencontoh untuk setiap set secara percuma namun ia agak sukar untuk mendapat set seperti mana yang disediakan di dalam Kit ini. Jika anda sukakan cabaran, anda semestinya boleh mencuba.
Setiap set mempunyai kesukaran yang lebih kurang sama iaitu agak mudah akan tetapi mempunyai bilangan bahagian yang berbeza menjadikan ada set yang lebih lama berbanding yang lain. Di dalam panduan ada dinyatakan anggaran masa untuk menyiapkan sesuatu set dan berdasarkan pembinaan kami, masa anggaran secara puratanya adalah tepat. Kami mengambil masa lebih kurang 6 jam untuk menyiapkan kesemua set.
Jika mengikut susunan oleh Nintendo dan juga perisian yang disediakan, Discover diletakkan di tempat ketiga. Namun kami berpendapat ia seharusnya dilakukan selepas membina sesuatu set Labo.
Di bahagian Discover, akan tersedia beberapa pengenalan ataupun panduan bukan sahaja untuk set-set Labo tetapi juga cara menghias set Labo dan juga mengenai Joy-Con sendiri.
Cara penyampaian di dalam Discover adalah direka dengan memfokuskan kanak-kanak dan disebabkan itu kami merasakan ia akan membuatkan mereka akan teruja untuk lebih mendalami bahagian ini. Selain dapat mengetahui bagaimana untuk bermain sesuatu set, Discovery juga akan menerangkan bagaimana set labo tersebut berfungsi.
Setiap pengenalan ataupun panduan akan diberikan oleh beberapa watak yang akan berborak seperti sedang menggunakan sistem pesanan ringkas. Anda boleh membalas tetapi berdasarkan pilihan yang sudah diberikan. Selain itu tersedia juga gambar dan video untuk lebih memudahkan anda belajar.
Untuk anda yang lebih kreatif dan inginkan lebih cabaran, di dalam Discover juga terdapat mod Toy-Con Garage, melalui mod ini anda boleh mengatur cara untuk menghasilkan satu program anda sendiri. Ada pelbagai input yang akan menghasilkan output yang berbeza. Contohnya, melalui mod ini anda boleh menghasilkan gitar anda sendiri ataupun mengubah set yang anda bina untuk mempunyai fungsi berlainan.
Menariknya anda tidak perlu menulis sebarang kod, tetapi ia dilakukan dengan sekadar menyambungkan kotak input mengikut pilihan anda, dengan kotak pertengahan yang mempunyai pelbagai aturan (jika perlu) dan kepada kotak output. Antara muka yang mudah ini sudah semestinya menimbul minat kanak-kanak dan termasuk juga orang dewasa sendiri.
Kami merasakan bahagian Make dan Discover adalah bahagian paling menarik untuk Labo. Manakala bahagian Play, walaupun ia adalah sesuatu yang penting untuk memperlihatkan bagaimana set rekaan yang kita bina berfungsi tetapi ia terlalu ringkas dan tidak sangat menyeronokkan.
Bagi set kereta kawalan jauh, anda hanya boleh menggerakkan kereta tersebut dengan menekan butang yang terdapat di dalam aplikasi yang disediakan, terdapat juga kamera yang terletak di joy-con tetapi ia bukanlah kamera yang untuk merakam jadi kualiti tidak sebaik yang diinginkan. Selain pada itu tidak banyak yang boleh dilakukan.
Manakala set joran berfungsi dengan baik, dan permainan menangkap ikan juga agak menarik namun ia tetap agak ringkas dan tidak mempunyai sebarang penambahan lain selain keupayaan untuk anda mereka ikan sendiri. Mungkin Nintendo ataupun parti ketiga yang akan mengeluarkan permainan memancing yang lebih menarik untuk digunakan bersama joran Labo ini. Mungkin Ridiculous Fishing?
Walaupun mengambil masa yang paling lama untuk dibina namun bagi kami set rumah adalah yang paling menarik berbanding set-set Labo yang lain. Set rumah mempunyai tiga kunci yang apabila dimasukkan ke bahagian yang tersedia akan mengeluarkan permainan-permainan mini yang lain. Kami tidak akan menyatakannya di sini kerana ia akan lebih menarik jika anda mencubanya sendiri.
Set motosikal juga agak menarik ia mempunyai dua mod permainan iaitu perlumbaan ataupun arked (mengejar belon). Ia agak menyeronokkan untuk masa yang pendek akan tetapi anda akan mula bosan tidak lama selepas itu. Namun dengan set ini kini menyokong Mario Kart 8 Deluxe sudah semestinya ia akan menjadi lebih berguna.
Terakhir adalah set piano, dan ia berfungsi seperti mana piano-piano yang lain tetapi lebih ringkas. Selain memainkan muzik seperti biasa, anda juga boleh menggunakan tombol yang berbeza untuk mengeluarkan bunyi yang berbeza seperti suara manusia dan juga kucing. Jika anda seorang ahli muzik terdapat juga Studio untuk anda membuat lagu anda sendiri dengan menggunakan sistem rekod yang disediakan.
Play, walaupun ia menarik untuk masa yang pendek akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang anda akan main untuk masa yang lama. Kebanyakan permainan juga lebih banyak bergantung kepada kreativiti anda untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza dan kami merasakan ia adalah apa yang disasarkan oleh Nintendo. Tambahan, Labo diperbuat menggunakan kadbod, jika digunakan atau dimainkan dengan terlalu kerap ia akan mudah untuk rosak.
Nintendo Labo adalah satu konsep yang bijak oleh Nintendo. Membina setiap set yang ada di dalam Variety Kit membuatkan kami kagum dengan pereka-pereka yang menghasilkan setiap set tersebut. Kami merasa sangat seronok membina set-set tersebut dan yakin anda juga akan menyukainya tambahan lagi jika anda mempunyai kanak-kanak untuk bermain bersama.
Konsep Nintendo untuk menjadikan Labo sebagai satu langkah awal untuk penghasilan yang lebih kreatif juga agak menarik. Kami yakin pelbagai set aksesori berasaskan Labo akan dikeluarkan oleh Nintendo sendiri dan juga dari parti ketiga. Permainan asas yang tersedia di dalam perisian agak ringkas dan hanya menyeronokkan untuk masa yang singkat tetapi cukup untuk menunjukkan ‘keajaiban’ setiap set yang anda sendiri bina.
Untuk harga sekarang semasa penulisan ulasan ini iaitu RM299 kami merasakan ia agak mahal dan jika anda ingin membelinya untuk bermain bersama anak anda contohnya, ataupun anda ingin meminta ayah anda membeli untuk anda kami yakin ada set mainan lain yang lebih murah dan lebih berbaloi.
Namun jika anda ingin juga membeli, kami yakin untuk 6 hingga 8 jam anda akan mempunyai masa yang menyeronokkan membina set-set tersebut dan juga bermain walaupun selepas itu kesemua hanya menjadi penghias almari. Kami syorkan anda menunggu lebih lama sedikit apabila harganya diturunkan ataupun Nintendo menjual perisian dan set kadbod secara berasingan.