Selepas menghabiskan masa yang lebih panjang bersama Saros melalui versi penuhnya, pandangan saya daripada sesi pandang pertama tempoh hari tidak banyak berubah, malah, ia mengukuhkan lagi hakikat bahawa Housemarque telah berjaya menghasilkan satu permainan terbaik pernah dihasilkan oleh mereka. Permainan yang dijadualkan untuk pelancaran pada 30 April 2026 ini menawarkan evolusi aksi memukau untuk PlayStation 5 dan dipertingkatkan secara khusus untuk PS5 Pro.

Satu perkara utama yang membezakan Saros daripada Returnal adalah penambahan sistem kemajuan kekal. Jika anda pernah bermain Returnal sebelum ini, pengalaman umum dalam Saros akan terasa lebih mudah dan kurang menjengkelkan walaupun pada awal sesi permainan. Bagi saya, ini bukanlah satu perkara yang negatif. Disebabkan saya sudah terbiasa dengan rentak tarian kelajuan tinggi yang memaksa saya untuk sentiasa mengelak ditambah dengan penggunaan perisai, dan gaya serangan yang pelbagai, saya mendapati diri saya melepasi pelbagai halangan dengan lebih cekap dan memuaskan hati. Mengurangkan lagi perasaan geram atau kejengkelan, selepas setiap kematian, sumber yang saya kumpul di sepanjang pertempuran sentiasa memastikan saya kembali dengan lebih kuat dan senjata yang dibawa sentiasa dinaik taraf melalui Armour Matrix. Terdapat keupayaan seperti Second Chance di mana saya akan dihidupkan semula serta-merta sebaik sahaja nyawa pertama melayang, memastikan saya tidak kehilangan momentum aksi dan boleh terus berjuang. Armour Matrix juga tidak bermakna yang saya boleh menjadi terlalu kuat di “overpowered” dengan sekadar mati dan mati, ia juga mempunyai had, saya perlu mengalahkan bos di kawasan tertentu sebelum dapat membuka lebih banyak pilihan di Armour Matrix.

Walaupun lebih “mudah” tahap keterujaan yang saya rasai adalah sama hebat dengan Returnal, jika tidak lebih memuaskankerana Saros juga menyertakan tambahan seperti saya nyatakan sebelum ini dengan penggunaan perisai yang boleh meresap serangan untuk caj satu serangan yang lebih kuat iaitu Prominence, satu serangan yang penting, terutama dalam menghakis Corruption, satu lagi perkara tambahan yang disertakan. Jika terkena serangan tertentu, saya akan menjadi Corrupted yang akan mengurangkan had maksimum nyawa, salah satu cara untuk membuangnya adalah melakukan serangan Prominence. Corruption hanya boleh berlaku ketika The Eclipse, satu lagi penambahan yang bukan sahaja mengubah Carcosa, tetapi juga memberikan lebih cabaran dan pengalaman juga terasa lebih rancak. The Eclipse boleh dikatakan sangat menghukum akan tetapi, permainan ini mereka dunia dengan memastikan selepas mati, pemain tidak semestinya perlu bermula secara penuh.

Jika cabaran yang ada masih tidak sesuai dengan gaya permainan, sama ada terasa terlalu mudah atau terlalu sukar saya boleh menggunakan Carcosan Modifiers yang membolehkan saya mengubah suai tahap kesukaran untuk mencari titik keseimbangan yang sempurna. Mungkin perkara ini tidak digemari oleh “purist” permainan sukar, tetapi bagi saya ia membantu untuk menjadikan permainan ini boleh dimainkan oleh setiap pemain yang mencari cabaran-cabaran yang berlainan, pada masa yang sama, saya boleh katakan yang Housemarquee menyertakan perkara ini tanpa mengorbankan perkara yang membuatkan permainan ini seronok untuk dimainkan.

Dari segi naratif, Saros menyajikan penceritaan yang lebih menarik dan dan kekal dengan kepelbagaian misteri. Saya bermain sebagai Arjun Devraj, seorang penguatkuasa Soltari yang dilakonkan oleh Rahul Kohli. Arjun sanggup meredah apa sahaja demi mencari jawapan di dunia yang dipenuhi rahsia gelap serta ancaman berbahaya ini untuk mencari orang yang tersayang dan juga menyelamatkan kumpulannya. Di antara fasa pertempuran, dia kembali ke kawasan hab perlindungan yang dikenali sebagai The Passage untuk menjejaki kemajuan dan berinteraksi dengan krew Echelon IV. Penceritaannya cemerlang kerana ia sentiasa membuatkan saya berteka-teki mengenai apa yang sebenarnya sedang berlaku di sekeliling saya, penceritaan juga akan membawa perasaan curiga dan mempersoalkan siapa yang benar-benar boleh dipercayai. Seperti Returnal, selepas menghabiskan permainan ini buat pertama kali, ia bukan bermaksud sudah tamat, anda boleh mengulanginya lagi untuk mendapat tambahan penceritaan. Namun, saya masih boleh katakan yang cara penyampaian penceritaan memerlukan sedikit kesabaran kerana untuk masa yang lama ia lebih kepada berulang kepada perkara yang sama sebelum penceritaan berkembang, kebiasaan selepas berjaya melalui satu peringkat.

Sesuatu yang saya tidak perkatakan ketika Pandang Pertama adalah grafik, saya akhirnya dapat mencuba permainan ini di PS5 Pro dan menerima beberapa tampalan prestasi dan saya boleh katakan aspek grafik permainan ini sangat memuaskan. Walaupun permainan ini tidak menawarkan pilihan mod grafik yang khusus, ia berjalan dengan sangat pantas dan lancar. Kadar bingkai yang tinggi ini amat penting kerana ia menjadikan pengalaman yang bullet ballet ini jauh lebih menyeronokkan dan responsif. Efek partikel, letupan, dan estetika neon yang terang jelas menyerlah terutama apabila dunia Carcosa berubah menjadi gelap. Masa memuat turun juga pantas sekelip mata berkat keupayaan konsol, membolehkan saya terus kembali beraksi selepas mati tanpa perlu menunggu lama. Sedikit rungutan, ekspresi wajah bukanlah yang terbaik di dalam penyampaian emosi. Penggunaan pengawal DualSense juga diintegrasikan dengan cemerlang ke dalam mekanik permainan; melalui maklum balas haptik, saya boleh merasai setiap tekstur terus ke tapak tangan saya, manakala picu penyesuai memberi kawalan serangan yang berkesan dengan setiap senjata mempunyai gaya serangan yang berbeza-berbeza. Saros turut membawa sistem mendapatkan senjata atau peningkatan taraf dengan mencarinya di peta, tetapi bagi saya pilihannya kebiasaannya terlalu jelas mengikut keperluan semasa berbanding untuk membina kemahiran dengan cara yang berbeza.

Begitu juga dengan rekaan bunyi yang begitu mendalam dan menghantui. Menggunakan Tempest 3D Audio, saya mampu menjejak setiap ancaman dengan ketepatan yang sangat tepat, saya boleh katakan tidak boleh bermain permainan ini tanpa menggunakan set fon telinga ataupun set fon kepala kerana ia memberikan pengalaman yang sangat berbeza. Alunan muzik latar bersuasana muram yang menggabungkan elemen elektronik dan drone-metal hasil sentuhan Sam Slater, melengkapkan pengelaman bermain permainan ini dengan penuh kepuasan. Secara keseluruhannya, Saros membuktikan bahawa Housemarque kekal sebagai pakar dalam mencipta permainan aksi yang inovatif. Ia adalah satu tarian maut yang sangat memuaskan, disokong oleh gaya permainan yang cemerlang dan misteri yang akan sentiasa membuatkan saya kembali berhadapan dengan gerhana berkali-kali. Penambahan yang di bawa pada permainan ini benar-benar mempertingkatkan pengalaman permainan, jika anda mempunyai masa yang baik bermain Returnal, anda akan mempunyai masa yang lebih baik bermain Saros. Jika anda tidak pernah mencuba permainan Housemarque, Saros mempunyai tetapan yang mencukupi untuk memastikan anda mendapat pengalaman yang bersesuaian.

Saros
Melalui Saros, Housemarquee membawa pengalaman Returnal ke satu tahap yang lebih tinggi dengan penambahan tatamain seperti shield dan corruption, tetapi pada masa yang sama mereka juga ingin menjadikan permainan ini lebih terbuka kepada lebih ramai pemain, ia tidak terlalu menghukum walaupun secara asasnya ia masih satu permainan yang memerlukan fokus yang tinggi, tetapi dengan sistem kemajuan yang tetap, setiap kematian tidak terasa satu pembaziran.
Positif
"Bullet Dance" yang sangat menyeronokkan
Sistem penceritaan lebih pelbagai
Cabaran kekal tinggi tetapi tidak terasa terlalu menghukum
Negatif
Bergantung kepada kemajuan, penceritaan akan terasa berulang
Sistem pilihan 'power up' kurang menarik
9

Leave a Reply

Final Score