Pengalaman pertama saya memainkan permainan Goldeneye 007 di N64 pada tahun 1998. Cikgu kimia saya Dr Symon mengajak semua pelajar A-Level ke rumah beliau untuk memainkan mod multiplayer Goldeneye. Saya harus mengaku kepada anda itu ialah kali terakhir tangan memegang alat kawalan untuk mengawal James Bond. Genre permainan James Bond tidak begitu menarik perhatian saya.
Kemudian lima tahun lalu, IOI Interactive mengumumkan mereka akan menghasilkan permainan James Bond. Kali ini reaksi saya berbeza kerana saya peminat tegar siri Hitman sejak 2000 lagi. Kombinasi Agent 47 dan 007 adalah sangat no brainer. Minggu lalu penantian lima tahun saya tamat dan saya katakan ia penantian yang sangat berbaloi sehingga kini saya tidak sabar menanti sekuel kepada 007 First Light.

Ok saya mungkin terlalu ke hadapan tetapi hakikatnya 007 First Light ialah permainan yang bukan sahaja akan memuaskan peminat permainan Hitman tetapi juga siri filem James Bond serta action stealth seperti Splinter Cell. Selepas 13 tahun menanti sekuel kepada Splinter Cell yang tidak kunjung tiba (kerana Ubisoft suka membiarkan IP bagus mereput), 007 First Light juga boleh dinobatkan sebagai spiritual successor kepada Splinter Cell.
Kita mulakan dengan cerita kerana ia juga antara kekuatan First Light. Ia bermula dengan James Bond sebelum menyertai MI5 dan aksi yang dilakukan oleh beliau semasa melakukan misi yang sepatutnya gagal membuatkan beliau dimasukkan sebagai rekrut ke tujuh Program 00. Dalam First Light, Program 00 telah dibatalkan oleh MI5 kerana sebuah insiden yang kemudiannya menjadi plot utama permainan ini.

Misteri melibatkan antagonis utama, misi gagal yang menyebabkan Program 00 dibatalkan dan kemudian pendedahan jalan cerita seperti M Night Shamalayan di penghujung First Light menjadikan jalan cerita permainan ini lengkap seperti filem blockbuster Hollywood. Pemain tidak terasa seperti diperbodohkan dan plot penceritaan First Light sebenarnya lebih baik daripada kebanyakan filem spy thriller yang ke layak perak sejak akhir-akhir ini.
Permainan yang mengambil masa sekitar 15-20 jam (bergantung kepada sejauh mana anda gemar membaca dokumen dan clue) langsung tidak membosankan dengan di penghujung beberapa false ending meningkatkan keseronokan bermain dan membuatkan sukar untuk berhenti bermain. Setiap penghujung misi terasa seperti episod mini dengan cliffhanger yang tersendiri. Amazon Prime tidak ada siri James Bond dan First Light terasa seperti sebuah siri mini dengan 8 episod yang penuh aksi.

Kekuatan kedua First Light pula ialah gameplay hibrid Hitman World of Assasinations (WoA), Splinter Cell dan Uncharted. Dalam mod Hitman pemain perlu menggunakan kepakaran seorang ejen risikan untuk mencapai sasaran misi. Anda boleh menerjah dengan agresif. (seperti Nathan Drake), menggunakan kepakaran social engineering untuk membohongi NPC (seperti Agent 47) atau bergerak secara rahsia tanpa dikesan (seperti Sam Fisher).
Tidak ada satu cara betul memainkan First Light. Semua bergantung kepada gaya anda sendiri. Oleh itu tahap replayability First Light sangat tinggi. Saya menulis ulasan ini selepas bermain dua kali. Kedua-duanya memberikan pengalaman dan cabaran yang berbeza. Jangan percaya dengan cakap-cakap di media sosial mengatakan First Light terlalu pendek.

Yang menjadikan First Light menarik ialah mencari cara untuk menyelinap. Ada yang sangat ketara seperti pukul NPC di pintu depan. Ada yang licik dengan mencuri kad jemputan dan menyamar. Lebih licik ialah mendengar perbualan NPC yang mengatakan di belakang bar ada paip yang boleh dipanjat. Jika anda peminat tegar Hitman (WoA) anda pasti tahu pilihan bebas dalam dunia terbuka memberikan ratusan kombinasi bagaimana misi boleh diselesaikan. Selepas dua kali main saya masih menjumpai cara-cara lain yang tidak disedari sebelum ini.
Saya sekadar menyentuh permainan utama. Dalam First Light terdapat mod TacSim yang mirip mod Freelancer dalam Hitman WoA. Dalam TacSim cabaran baharu diberikan seperti lakukan kesemua misi dalam jalan cerita tetapi kali ini tanpa menggunakan senjata, tidak dikesan NPC atau menggunakan senjata tertentu sahaja. Berdasarkan markah yang dicatatkan lebih banyak senjata, alat, baju dan pelbagai skin boleh dibeli menggunakan kredit yang diberikan. Bagi yang ingin mengasah keupayaan atau kepakaran James Bond, TacSim ialah gelanggang menunjukkannya kerana terdapat carta pemain terbaik dunia yang boleh dilihat.

Oh akhir sekali saya ingin sentuh grafik. Hampir. terlupa bercakap mengenai grafik kerana jalan cerita, gameplay dan ciri tambahan post game yang ditawarkan adalah menarik. Grafik First Light ialah First Class. Tidak disangka Glacier Engine yang digunakan IO Interactive mampu menawarkan dunia terbuka yang besar kerana selama ia digunakan dalam Hitman WoA saiz peta adalah agak kecil.
Satu peta di peringkat awal memerlukan Bond bergerak menggunakan Land Rover selama beberapa minit sebelum berpindah ke beberapa sebuah kapal tangki minyak gergasi sebelum tiba ke sebuah kapal kecil. Semua ini dilakukan dengan lancar 60FPS pada konsol PS5 V1 asas.

Dalam satu peta lain pula Bond terbang ke Vietnam dengan pemandangan laut berubah daripada senja ke malam. Sangat cantik dan hampir photorealisic. Transisi daripada permainan ke sinematik kembali ke permainan juga lancar tanpa skrin loading. Seperti saya katakan di atas, First Light terasa seperti mini series 8 episod yang berterusan sehingga sukar untuk meletakkan DualShock.
Tetapi First Light tidak sempurna. Ada kekurangan yang ketara seperti server permainan yang kerap terputus secara tiba-tiba menyebabkan permainan terhenti. Wujud mod offline tetapi skor tidak dikira. Gameplay bertinju pula pada awalnya terasa seperti terlalu rumit tetapi selepas beberapa jam di dalam TacSim terasa seperti QTE yang kurang mencabar. Seperti dalam permainan Dark Knight selepas menguasai combat cabaran permainan berkurangan kerana anda sendiri sudah menjadi seorang James Bond.

Akhir sekali bahagian yang memerlukan memandu juga terlalu on rails. Kurang cabaran dan adalah sekadar babak berbual antara watak untuk meneruskan jalan cerita. Tetapi saya tidak ingin terlalu mengkritik kerana di akhir hari variasi dalam gameplay dan peta dengan pelbagai cara boleh diteroka melebihi kekurangan yang ada.
007 First Light ialah percubaan pertama IO Interactive menghasilkan permainan bond selepas sekian lama dikenali sebagai studio Hitman. Percubaan pertama yang sangat berjaya, mantap, menakjubkan, padu dan blockbuster. Ada sebab mengapa minggu ini apabila kedengaran ura-ura Amazon ingin memindahkan penerbitan sekuel ia menerima reaksi negatif daripada peminat yang tahu hanya IO Interactive boleh menghasilkannya dengan baik. Oleh itu saya berikan 007 First light 009 daripada 010.


