Tahun 2025 boleh melihat dominasi kandungan-kandungan animasi dan juga kandungan yang mengadaptasi animasi ke aksi nyata. Kita melihat dominasi filem animasi dari China yang memecahkan rekod global, serta kebergantungan Hollywood terhadap IP sedia ada untuk menarik penonton kembali ke panggung.

Berikut adalah senarai 10 filem dengan kutipan tertinggi bagi tahun 2025.

Nota: Angka kutipan adalah berdasarkan data Box Offfice Mojo pada 2 Januari 2026. Filem seperti ‘Avatar: Fire & Ash’ masih lagi ditayangkan di pawagam dan angka akhir dijangka akan meningkat naik dalam beberapa minggu akan datang.

1. Ne Zha 2

Jumlah Kutipan: $2.1 bilion (~RM9.35 bilion)

Ini adalah fenomena yang tidak boleh diabaikan. Sekuel kepada filem animasi pecah panggung 2019 dari China ini berjaya mengatasi jangkaan global, sebahagian besarnya didorong oleh pasaran domestik China yang amat besar. Diarahkan oleh Jiaozi (Yang Yu), filem ini meneruskan kisah mitos Ne Zha dengan visual yang jauh lebih matang dan skala pertempuran yang lebih epik. Kejayaannya membuktikan bahawa pasaran filem antarabangsa tidak lagi didominasi sepenuhnya oleh Hollywood, dan penonton kini dahagakan naratif mitologi timur yang digarap dengan teknologi animasi kelas pertama.

2. Zootopia 2

Jumlah Kutipan: $1.4 bilion (~RM6.23 bilion)

Disney kembali ke landasan kemenangan dengan formula yang terbukti berkesan. Jared Bush dan Byron Howard kembali mengemudi sekuel ini, membawa kembali Ginnifer Goodwin dan Jason Bateman sebagai Judy Hopps dan Nick Wilde. Filem ini berjaya kerana ia mengekalkan elemen penyiasatan polis (buddy cop) yang bijak sambil memperluaskan dunia Zootopia ke daerah-daerah baharu. Kutipan setinggi ini menunjukkan bahawa penonton keluarga masih merupakan demografik paling kuat di pawagam apabila disajikan dengan kualiti penceritaan yang konsisten.

Baca: Ulasan Zootopia 2

3. Lilo & Stitch

Jumlah Kutipan: $1.03 bilion (~RM4.58 bilion)

Walaupun terdapat skeptisisme awal mengenai rekaan CGI Stitch, adaptasi live-action ini berjaya meraih $1 bilion berkat faktor nostalgia yang kuat. Diarahkan oleh Dean Fleischer Camp, filem ini memperkenalkan Maia Kealoha sebagai Lilo dan mengekalkan Chris Sanders sebagai suara ikonik Stitch. Kejayaan filem ini bukan pada inovasinya, tetapi pada kemampuannya menterjemah emosi “Ohana” dari animasi asal ke format baharu tanpa kelihatan terlalu asing. Ia membuktikan strategi Disney mengitar semula klasik animasi mereka masih menjadi lubuk wang yang lumayan.

Baca: Ulasan Lilo & Stitch (2025)

4. A Minecraft Movie

Jumlah Kutipan: $958 juta (~RM4.26 bilion)

Adaptasi permainan video terus menjadi trend panas. Filem arahan Jared Hess yang membariskan Jack Black sebagai Steve dan Jason Momoa ini pada awalnya menerima kritikan hebat dari segi visual di trailer pertama. Namun, jenama Minecraft itu sendiri terlalu besar untuk gagal. Penonton muda membanjiri pawagam bukan semata-mata untuk plotnya, tetapi untuk melihat dunia “sandbox” kegemaran mereka di layar perak. Ia mengukuhkan fakta bahawa IP permainan video kini setaraf dengan buku komik sebagai sumber utama filem blockbuster.

5. Jurassic World: Rebirth

Jumlah Kutipan: $869 juta (~RM3.87 bilion)

Selepas penerimaan bercampur-campur trilogi sebelum ini, Universal melakukan “soft reboot” dengan membawa masuk pengarah Gareth Edwards (Godzilla, Rogue One) dan pelakon berkaliber seperti Scarlett Johansson dan Mahershala Ali. Pendekatan Edwards yang lebih memfokuskan kepada skala dan ketegangan, berbanding sekadar aksi CGI kosong, memberikan nafas baharu kepada francais ini. Walaupun tidak mencapai angka $1 bilion seperti pendahulunya, kutipan ini cukup untuk membuktikan yang francais ini masih diminati ramai.

Baca: Ulasan Jurassic World Rebirth

6. Avatar: Fire & Ash

Jumlah Kutipan: $859 juta (~RM3.82 bilion)

James Cameron kembali membawa penonton ke Pandora, kali ini meneroka “Ash People” yang lebih agresif. Walaupun angka semasanya berada di tangga ke-6, perlu diingat filem ini baru sahaja ditayangkan pada hujung Disember 2025. Filem Avatar dikenali dengan filem yang mempunyai kutipan yang konsisten untuk tempoh lama. Dengan visual air dan api yang berkualiti tinggi serta naratif yang lebih gelap, ia dijangka akan memanjat naik ke tangga teratas dalam masa sebulan lagi, seperti filem-filem terdahulu.

Baca: Ulasan Avatar: Fire and Ash

7. Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle

Jumlah Kutipan: $718 juta (~RM3.20 bilion)

Anime kini bukan lagi produk niche. Ufotable dan pengarah Haruo Sotozaki bijak memanfaatkan klimaks siri ini dengan membawanya ke layar perak. Arc Infinity Castle adalah antara yang paling dinantikan peminat, dan kualiti animasinya meletakkan piawaian baharu untuk industri. Kutipan melebihi $700 juta untuk sebuah filem anime (yang sebahagiannya adalah penutup siri) adalah pencapaian luar biasa yang menunjukkan kuasa peminat global jenama ini.

Baca: Ulasan Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle

8. How to Train Your Dragon

Jumlah Kutipan: $636 juta (~RM2.83 bilion)

Satu lagi adaptasi live-action, kali ini dari DreamWorks. Dean DeBlois, yang mengarahkan trilogi animasinya, kembali untuk memastikan visi asalnya terpelihara. Dengan Mason Thames sebagai Hiccup dan Gerard Butler kembali sebagai Stoick, filem ini berjaya menarik penonton kerana kesetiaannya kepada bahan asal. Reka bentuk naga “Toothless” yang realistik menjadi tarikan utama. Walaupun tidak memecahkan rekod, ia mencatatkan keuntungan yang sihat dan membuktikan cerita yang kuat boleh merentasi medium berbeza.

Baca: Ulasan How To Train Your Dragon (2025)

9. F1

Jumlah Kutipan: $631 juta (~RM2.81 bilion)

Filem arahan Joseph Kosinski (Top Gun: Maverick) yang dibintangi Brad Pitt ini berjaya menarik minat penonton umum, bukan hanya peminat sukan permotoran. Penggunaan kamera sebenar dalam kokpit kereta F1 memberikan pengalaman sinematik yang lain daripada yang lain dan sukar ditiru oleh CGI semata-mata. Kerjasama rasmi dengan Formula 1 memberikan pengalaman tulen yang jarang dilihat dalam filem sukan, menjadikannya salah satu filem aksi teknikal terbaik tahun ini.

Baca: Ulasan F1 the Movie

10. Superman

Jumlah Kutipan: $616 juta (~RM2.74 bilion)

Sebagai pembuka tirai kepada DC Universe (DCU) baharu di bawah James Gunn, tekanannya amat tinggi. David Corenswet membawa watak Superman dengan tona yang lebih cerah dan penuh harapan, berbeza dengan iterasi sebelumnya. Walaupun kutipannya tidak mencecah berbilion ringgit, angka ini adalah permulaan yang positif untuk membina semula kepercayaan penonton terhadap jenama DC. Ia adalah asas yang stabil, walaupun belum cukup untuk menyaingi zaman kegemilangan filem adiwira sedekad lalu.

Baca: Ulasan Superman (2025)

Leave a Reply