Superman oleh James Gunn ini boleh dikatakan sebagai permulaan baharu untuk mesta filem DC, atau dikenali sebagai DC Universe (DCU), walaupun ia filem pertama tetapi James Gunn memilih untuk tidak hadir dengan satu filem permulaan. Sebaliknya filem ini digunakan untuk memperlihatkan ini lah dunia DCU, tiada permulaan, sekadar meneruskan apa yang berlaku di luar pengetahuan saya sebagai penonton. Pilihan ini adalah perkara yang baik, menjadikan filem ini tidak membazir masa dengan pembinaan sebaliknya ia bermula secara terus dengan bahagian klimaks tetapi saya boleh katakan ia memberi kesan kepada Superman sendiri yang ada masa terasa terpinggir menjadi alat plot semata-mata.

Di dalam filem ini, metahuman ataupun manusia yang mempunyai kuasa sudah menjadi kebiasaan tetapi Superman merupakan metahuman yang terkuat tetapi filem ini bermula dengan Superman tewas buat pertama kali seperti yang diperlihatkan di dalam treler. Ini lah yang saya boleh katakan filem ini bermula terus dengan klimaks, ia bukan digunakan untuk memperlihatkan bagaimana Superman menjadi Superman, tetapi lebih kepada bagaimana dunia juga sudah mengadaptasi dengan kewujudan metahuman dan juga Superman termasuk juga yang tidak menyukai Superman seperti Lex Luthor yang dari awal lagi sudah mempunyai ‘senjata’ yang mampu menandingi Superman.

Pilihan untuk memulakan penceritaan sebegini membantu di dalam pembinaan dunia baharu untuk DCU, ia tidak perlu mengambil masa untuk memperkenalkan beberapa watak lagi seperti Mister Terrific, Green Lantern, dan Hawkgirl yang sekadar hadir dan secara terus sudah terlibat dengan dunia Superman. Dengan Lex Luthor dan penjahat-penjahat lain sudah berkeupayaan untuk melawan Superman, ia juga membuka ruang untuk pelbagai pertempuran yang hebat dan tidak perlu menantikan sehingga bahagian akhir untuk melihat Superman betul-betul tercabar, sebaliknya dari awal lagi sesiapa sahaja boleh tewaskan Superman. Seperti saya berulang kali katakan, inilah dunia DCU dan James Gunn tidak berlengah untuk memperlihatkannya.

Oleh itu, saya boleh katakan ia satu permulaan yang baik untuk DCU, tetapi lain pula kesannya untuk watak Superman. Melihat beberapa kali Superman ditewaskan bukan sesuatu yang saya boleh hargai terutama untuk filem pertama. Melihat Superman boleh dikalahkan membantu di dalam menghasilkan adegan yang tegang akan tetapi saya merasakan ia berlaku terlalu berulang kali, kesannya sudah berkurang setiap kali ia berlaku. Watak-watak lain seperti Mister Terrific dan Lex Luthor sebaliknya diberikan ruang untuk lebih menyinar walaupun bagi tempoh yang pendek sahaja. Mungkin kisah Superman sering menang bukan sesuatu yang menarik, tetapi pada masa yang sama saya tidak rasa perlu diperlihatkan berkali-kali Superman boleh melakukan kesilapan ataupun boleh dikalahkan dalam satu filem yang sama.

Watak Superman sebaliknya lebih dikembangkan untuk bahagian kemanusiaannya, dengan mesej utama yang cuba diketengahkan mengapa dia berada di bumi ini, adakah untuk menyelamatkan penduduknya walaupun sebagai seorang ‘makhluk asing’? Permasalahan ini menjadi perkara utama yang terus menggerakkan plot termasuk juga digunakan oleh Lex Luthor di dalam agendanya. Perkara ini membantu di dalam menjadikan watak Superman terasa lebih menarik dan lebih manusia, tetapi saya merasakan ia dilakukan dengan agak ‘sibuk’ yang membuatkan impak emosi ataupun kefahaman saya mengenai sesuatu bahagian itu terjejas kerana penceritaan telah beralih ke sesuatu yang berlainan.

Contoh yang saya boleh katakan, di bahagian awal filem, Superman telah memilih untuk melibatkan diri dalam peperangan di antara dua negara, ini mencetus persoalan perlu ataupun tidak Superman bertindak di dalam urusan negara lain tanpa melalui Amerika Syarikat, selain daripada temubual di antara Superman dengan Lois Lane, persoalan itu tidak dikembangkan lagi, sebaliknya ia berubah menjadi satu plot ‘ringan’ untuk penceritaan, sesuatu yang saya rasa boleh menjadi dilema yang menarik untuk diketengahkan berakhir menjadi satu plot ringkas yang sedikit mengecewakan, walaupun memberi impak emosi yang baik. Ini satu sahaja contoh, dan saya boleh katakan terdapat beberapa lagi bahagian yang saya rasa menarik tetapi berubah menjadi plot yang biasa. Masalah utama yang saya boleh katakan kerana James Gunn cuba untuk meletakkan terlalu banyak bahagian plot ini yang membuatkan tiada yang dikembangkan dengan baik.

Walaupun dengan pelbagai masalah ini, David Corenswet masih membawa watak Superman dan juga Clark Kent dengan baik sekali, perubahan di antara watak Superman dan Clark Kent juga sangat efektif, tetapi Clark Kent tidak banyak terlibat di dalam plot, namun setiap kali wataknya muncul, ia dilakukan dengan sangat berkesan dan memberi lebih kesan kepada saya berbanding watak Superman sendiri. Begitu juga dengan watak-watak seperti Lex Luthor yang di bawa oleh Nicholas Hoult dengan berkesan, Lois Lane lakonan Rachel Brosnahan juga dilakukan dengan baik dan mempunyai chemistry yang baik dengan David Corenswet. Tiga lagi watak adiwira lain yang saya nyatakan di atas juga menarik walaupun mempunyai penglibatan yang terhad di dalam filem yang sudah sibuk ini.

Superman (2025)
Di dalam cubaan untuk memperlihatkan dunia baharu DCU, yang dilakukan dengan baik, ia menjejaskan pembawaan watak Superman yang ada masa terasa diketepikan. Masih satu kisah yang menarik, menyentuh aspek kemanusiaan Superman dengan berkesan tetapi satu filem yang terlalu sibuk dan tidak sempat untuk mengembangkan mana-mana bahagian plot dengan sepenuhnya.
Positif
Filem bermula dengan klimaks
Pembinaan dunia yang menarik
Setiap watak dibawa dengan baik
Negatif
Permasalahan tidak dikembangkan dengan sepenuhnya
Filem terasa terlalu sibuk
8

Leave a Reply

Final Score