Zootopia 2 mungkin tidak membawakan naratif yang menyentuh isu berat seperti filem pertama, namun ia tampil lebih menyeronokkan. Kekuatannya terletak pada gandingan Judy Hopps dan Nick Wilde yang dikembangkan lagi, terutamanya selepas Nick kini bergelar anggota polis seperti yang dipaparkan pada penghujung filem lalu.
Walaupun impian mereka untuk berada dalam satu skuad akhirnya tercapai, personaliti mereka masih berbeza dan kadangkala bertentangan. Judy masih bersemangat untuk membuktikan kemampuannya, manakala Nick lebih santai dan mengutamakan keselamatan berbanding mengambil risiko yang tidak perlu.

Jika filem pertama memfokuskan ancaman pemangsa dan prejudis, filem kedua ini tidak menyelami isu sedalam itu. Sebaliknya, ia menjurus kepada konspirasi yang melibatkan golongan reptilia. Mengikut sejarah Zootopia, reptilia tidak hidup bersama haiwan lain kerana insiden pembunuhan oleh seekor ular semasa awal pembukaan bandar tersebut, menyebabkan kehadiran mereka diharamkan.
Gary De’Snake, seekor ular yang menyusup masuk ke Zootopia untuk membersihkan nama spesiesnya, menjadi buruan Judy dan Nick yang terawal mengesyaki penyeludupan ular. Namun, hasil siasatan menyedarkan mereka bahawa sejarah yang dipelajari mungkin tidak tepat, dan mereka mula meragui siapa sebenarnya yang boleh dipercayai.

Bagi saya, elemen kepolisan dalam sekuel ini lebih ketara berbanding filem pertama, dan saya menyukainya. Malah, boleh dikatakan ia adalah antara filem buddy cop terbaik dalam niche genre sebegini. Konflik antara Judy dan Nick digarap dengan cemerlang, membolehkan penonton menjiwai perasaan mereka berdua.
Begitu juga dengan kepelbagaian jenaka yang disertakan di dalam filem ini, setiap daripadanya dilakukan dengan baik walaupun dalam keadaan yang genting, masih lagi berjaya untuk mencuri senyuman ataupun gelak tawa daripada saya. Terdapat juga pelbagai easter egg dan pop culture reference yang mencuit hari.

Ayat Nick, “Are you afraid of me?” dalam filem pertama adalah adegan yang sangat berkuasa dan memberi impak besar. Dalam filem kedua, ketiadaan adegan ‘berat’ sebegitu digantikan dengan tema konspirasi, penipuan, dan pengkhianatan. Walaupun plotnya menarik, ia terasa lebih bersifat luaran dan tidak membawa emosi seperti pendahulunya.
Dari segi animasi, peningkatannya sangat ketara. Zootopia 2 kelihatan jauh lebih baik dengan ekspresi wajah yang lebih jelas dan rekaan haiwan yang teliti. Persekitaran juga lebih kaya, merangkumi padang pasir hingga gunung bersalji, kualiti visual ini membuatkan saya berharap filem pertama dapat dinaik taraf sebegini.

Ginnifer Goodwin dan Jason Bateman kembali dengan dinamik watak yang utuh. Judy kekal dengan sifat comel tetapi tegas dalam tugas, manakala gaya bersahaja Nick berkesan menyampaikan emosi, sekaligus mengekalkan elemen terbaik filem asal sambil meneroka konflik baharu.
Kehadiran watak baharu juga memperkuatkan jalan cerita. Ke Huy Quan sebagai Gary De’Snake dan Andy Samberg sebagai Pawbert Lynxley memainkan peranan tersendiri. Lakonan mereka berjaya menimbulkan tanda tanya dan misteri, bukan sahaja kepada Judy dan Nick, malah kepada saya sebagai penonton.

Kesimpulannya, walaupun Zootopia 2 tidak mempunyai adegan yang terlalu mendalam atau menyentuh isu sensitif, ia tetap berjaya menggunakan konflik yang ada untuk menghasilkan penceritaan menarik. Adegan-adegannya masih berkesan dalam memberikan impak emosi kepada penonton.


