Bagi yang mengikuti manga, siri animasi ataupun menonton filem Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba boleh dikatakan yang sudah terbiasa dengan formula ataupun struktur penyampaian yang dilakukan. Ia akan menyertakan pertempuran yang rancak, pembinaan watak yang baik dan kebanyakannya menggunakan imbas kembali sebagai cara utama. Bagi filem pertama daripada tiga untuk Infinity Castle ini, struktur yang sama digunakan. Jika anda boleh menerimanya sebelum ini, maka filem ini akan menjadi antara produk terbaik pernah tiba, tetapi jika tidak, filem ini mungkin akan menjadi produk paling kurang baik.

Ufotable telah memilih untuk menghasilkan bahagian terakhir bagi Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba, dan saya boleh katakan faham mengapa keputusan tersebut dibuat. Benar, antaranya adalah untuk menjana pendapatan yang lebih berbanding sekadar siri animasi tetapi saya juga merasakan yang ia dijadikan filem untuk memastikan kisah penutup ini dapat disampaikan dengan lebih menarik dan lebih epik, dan bahagian pertama filem ini berjaya melakukannya walaupun penantian untuk filem seterusnya mungkin akan lebih terasa berbanding menunggu episod seterusnya yang akan tiba dalam masa seminggu.

Filem ini bermula secara terus daripada pengakhiran musim keempat untuk siri, dengan kesemua Demon Slayer telah terperangkap di dalam satu istana yang dihasilkan oleh Nakime. Filem ini serba sedikit memperlihatkan beberapa bahagian awal tetapi ia terlalu ringkas dan tidak akan membantu bagi yang tidak mengikuti siri ini sama ada melalui mangga ataupun anime, oleh itu jika anda berhajat untuk menonton filem ini, saya cadangkan anda sekurang-kurangnya melihat rangkuman bagi musim keempat terutama di bahagian akhir untuk musim tersebut. Filem ini memilih untuk meneruskan penceritaan adalah satu pilihan yang baik kerana boleh memfokuskan kepada penceritaan baharu.

Penceritaan Infinity Castle akan memfokuskan pertempuran terakhir di antara Demon Slayer melawan dengan Muzan dan bawahannya termasuk juga puaka-puaka tahap tinggi. Oleh itu, filem ini terisi dengan pertempuran yang secara berterusan, tetapi seperti saya nyatakan di atas, ia juga akan menyelit beberapa flashback atau imbas kembali. Imbas kembali ini bukanlah sekadar pengisi sahaja, sebaliknya ia memainkan peranan penting di dalam menjelaskan mengenai sesuatu permusuhan, sesuatu kuasa ataupun kisah di-sebalik puaka-puaka yang terlibat, kerana siri ini sentiasa mengenai semua orang baik atau jahat, mempunyai kisah mereka sendiri yang turut penting untuk disampaikan.

Seperti yang berlaku di dalam siri, ataupun filem sebelum ini, saya tetap merasakan segala imbas kembali ini mengganggu aliran penceritaan, tetapi pada masa yang sama kerana mereka memilih untuk terus melakukannya, ia sudah menjadi kebiasaan. Secara jujurnya, saya masih berharap yang mereka mengubah struktur ini bagi filem ini, tetapi tidak, mereka meneruskannya dan walaupun ia menjadi aspek negatif untuk filem ini tetapi tidaklah terlalu mengganggu pengalaman saya kerana saya masih boleh menghargai kisah yang disampaikan dan kualiti animasi yang sangat baik.

Kualiti animasi adalah seperti yang dijangkakan daripada Ufotable, ia memberikan adegan pertempuran yang memuaskan dengan penggunaan efek yang sangat berkesan, ditambah lagi dengan kesan bunyi serta muzik yang digunakan membantu di dalam menjadikannya efektif. Namun, saya boleh katakan ia tidak memberi sesuatu yang baharu ataupun sesuatu yang tidak pernah diperlihatkan sebelum ini, ia masih menggunakan teknik dan penyampaian yang sama. Saya boleh katakan yang saya merasakan filem ini lebih epik kerana saya tontonnya di IMAX, sesuatu yang saya tidak pernah alami untuk Demon Slayer. Pertempuran yang lebih rancak mungkin akan berlaku di filem kedua dan ketiga, tetapi bagi filem pertama ini ia sekadar memuaskan dan tidak lebih daripada itu.

Akhir kata, Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle memberikan pengalaman yang lebih epik, dengan pertempuran yang rancak terutama jika ditonton dengan format premium seperti IMAX, pada masa yang sama, ia masih mengekalkan formula ataupun struktur penyampaian dengan menggabungkan aksi yang rancak dengan kisah silam melalui imbas kembali untuk menyampaikan elemen penting bagi watak-watak yang terlibat. Ia mengganggu aliran penceritaan tetapi jika anda tidak mempunyai masalah untuknya sebelum ini, anda tidak akan mempunyai masalah untuk filem ini yang masih lagi satu filem yang berkualiti dan menarik untuk ditonton.

Demon Slayer: Infinity Castle
Filem pertama daripada tiga ini merupakan satu permulaan yang baik dengan pertempuran yang epik, animasi berkualiti tinggi dan mengekalkan formula atau struktur penyampaian yang bergantung kepada imbas kembali yang serba sedikit mengganggu aliran penyampaian penceritaan tetapi jika bukan masalah sebelum ini, bukan satu masalah untuk filem ini.
Positif
Animasi berkualiti tinggi
Aksi pertempuran yang rancak
Penggunaan kesan bunyi dan muzik yang baik
Negatif
Penggunaan imbas kembali menganggu aliran penceritaan
8

Leave a Reply

Final Score