Berdasarkan judul, filem ini boleh dianggap sebagai filem keempat untuk Jurassic World, tetapi filem ini juga boleh dikatakan sebagai satu permulaan semula kerana ia tidak lagi melibatkan Owen Grady lakonan Chris Pratt sebagai peneraju utama untuk tiga filem sebelum ini bersama dengan Claire Dearing lakonan Bryce Dallas Howard. Sebaliknya filem ini menyertakan barisan pelakon baharu seperti Scarlett Johansson, Mahershala Ali, dan Jonathan Bailey.

Filem ini berlaku lima tahun selepas kejadian di dalam Jurassic World Dominion dengan keadaan persekitaran dunia tidak bersesuaian dengan habitat Dinosaur dan orang ramai juga tidak lagi berminat dengan mereka. Dinosaur-dinosaur yang masih hidup sekarang tinggal di satu kawasan yang terpencil dan seluruh kerajaan dunia melarang untuk manusia daripada memasuki kawasan tersebut.

Zora Bennett lakonan Scarlett Johansson yang boleh dianggap sebagai askar upahan telah di upah oleh Martin Krebs lakonan Rupert Friend yang mewakili satu syarikat farmaseutikal. Dia diupah untuk memastikan Dr Henry Loomis lakonan Jonathan Bailey selamat dan berjaya mendapatkan darah daripada tiga jenis Dinosaur yang boleh membantu di dalam penghasilan ubat untuk sakit jantung. Zora Bennett telah meminta Duncan Kincaid lakonan Mahershala Ali untuk membantunya di dalam operasi tersebut.

Selain mereka, filem ini juga melibatkan sekeluarga iaitu Reuben Delgado lakonan Manuel Garcia-Rulfo, anaknya Teresa Delgado lakonan Luna Blaise, Isabella Delgado lakonan Audrina Miranda dan juga kekasih kepada Teresa iaitu Xavier Dobbs lakonan David Iacono. Mereka sedang menaiki kapal sebagai aktiviti keluarga tetapi terdampar di lautan selepas diserang oleh seekor dinosaur. Mereka diselamatkan oleh kumpula Zora Bennett tanpa menyedari tujuan mereka semua berada di kawasan tersebut.

Keadaan menjadi lebih cemas apabila kapal mereka juga telah diserang oleh sekumpulan dinosaur dan memaksa mereka untuk menyelamatkan diri di sebuah pulau yang sebelum ini menjadi tempat kajian hibrid dinosaur dilakukan, yang menjadi premis tambahan untuk filem ini iaitu pulau ini dipenuhi dengan dinosaur-dinosaur hibrid yang sepatutnya lebih berbahaya, jika tidak kerana ia juga terasa kurang digunakan dan terbazir.

Premis penceritaan saya boleh katakan baik-baik sahaja, ia tidak unik ataupun menarik tetapi perkara yang sama boleh dikatakan untuk filem-filem lain di dalam francais ini. Namun, masalah utama bagi saya adalah kurangnya watak yang menyerlah ataupun watak yang penting. Filem-filem Jurassic World sebelum ini tidaklah mempunyai penceritaan yang terbaik tetapi sekurang-kurangnya watak yang di bawa oleh Chris Pratt dan Bryce Dallas Howard adalah menarik, manakala filem ini walaupun dengan gandingan nama-nama besar ia mengecewakan.

Zora Bennett walaupun dianggap sebagai pakar di dalam bidangnya iaitu askar upahan begitu juga dengan Duncan Kincaid akan tetapi mereka tidak diperlihatkan begitu mahir di dalam tindakan yang diambil. Manakala watak Dr. Henry Loomis yang sepatutnya mempunyai kepakaran di dalam kelakuan dinosaur tidak langsung menyatakan kepakarannya dan apa sahaja yang dikatakan tidak lah membantu sekadar mengikuti sahaja apa yang berlaku, membuatkan saya tidak pasti mengapa perlu ada wataknya.

Begitu juga dengan watak Reuben Delgado dan sekeluarga, saya merasakan mereka disertakan sekadar untuk menjadi adegan tambahan agar filem ini lebih panjang tetapi secara keseluruhannya tidak memberi sebarang nilai tambah kepada penceritaan filem ini. Selepas filem berakhir, secara jujur saya katakan yang saya tidak pasti siapa watak utama, kerana filem ini tidak mempunyai sebarang watak yang boleh menjadi sauh untuk mengukuhkan penceritaan. Di atas kertas sudah semestinya Scarlett Johansson kerana dia bukanlah pelakon calang-calang tetapi malangnya penulisan dan perwatakan gagal untuk mengambil kelebihan mendapatkan pelakon setaraf ini.

Melihat dinosaur-dinosaur baharu, terutama yang hibrid adalah menarik dan ada masa menyeramkan tetapi tidak banyak adegan yang saya boleh katakan benar-benar menakutkan. Ia tidak lebih daripada sekadar membuat serangan ringkas, kemudian beralih ke satu adegan yang berlainan. Kelakuan setiap watak yang sering membuat kesilapan juga membuatkan adegan-adegan yang sepatutnya menjadi adegan seram ataupun menakutkan kurang berkesan.

Bagi yang ingin melihat dinosaur di layar perak sekali lagi, filem ini mungkin boleh memenuhinya tetapi dengan penceritaan biasa, tanpa watak yang yang menyerlah dan terlalu ramai, walaupun senarai pelakon yang ‘mahal’, secara keseluruhannya ia merupakan satu filem yang mendatar tanpa sebarang adegan akan diingati, jika ini satu permulaan semula untuk francais ini, ia mungkin memerlukan sekali lagi permulaan baharu kerana formula ini tidak lagi berkesan.

Jurassic World Rebirth
Bagi yang ingin melihat dinosaur di layar perak sekali lagi, filem ini mungkin boleh memenuhinya tetapi dengan penceritaan biasa, tanpa watak yang yang menyerlah dan terlalu ramai, walaupun senarai pelakon yang 'mahal', secara keseluruhannya ia merupakan satu filem yang mendatar tanpa sebarang adegan akan diingati.
Positif
Dinosaur
Negatif
Tiada watak yang menyerlah
Terlalu ramai watak
Penceritaan mendatar
6

Leave a Reply

Final Score