Kembali ke Pandora bukanlah satu perjalanan yang boleh dipandang ringan. Selepas kejayaan fenomena The Way of Water, jangkaan terhadap francais gergasi James Cameron ini sememangnya menjulang tinggi. Avatar: Fire and Ash hadir sebagai kesinambungan langsung, membawa penonton kembali menyelami kehidupan Jake Sully dan keluarganya hanya setahun selepas peristiwa filem kedua. Walaupun filem ini berjaya mengekalkan kualiti visual yang tiada tandingan, ia tidak terlepas daripada kritikan mengenai struktur penceritaannya yang mula terasa ‘kitar semula’.

Penceritaan kali ini masih berpusat kepada keluarga Sully yang cuba meneruskan kehidupan bersama klan Metkayina, sambil terus diburu oleh musuh peribadi mereka, Colonel Miles Quaritch. Namun, pertaruhan menjadi lebih tinggi dengan kehadiran ancaman baharu: Ash People, sebuah suku Na’vi yang mempunyai ideologi kebencian terhadap suku-suku Na’vi yang lain.
Masalah utama Avatar: Fire and Ash terletak pada rasa perulangan yang agak ketara. Oleh kerana latar masanya hanya berselang setahun dari filem terdahulu, filem ini terasa terlalu mirip dengan pendahulunya. Ia tidak menawarkan lonjakan kisah atau kesegaran seperti mana perbezaan drastik yang dirasai antara filem pertama dan kedua. Plotnya masih berlegar pada konflik yang sama, Sully lari, Quaritch memburu, cuma kali ini skalanya digandakan.

Pengenalan Ash People sepatutnya menjadi elemen pembaharuan yang paling menarik. Konsep Na’vi yang berasaskan api dan abu ini mempunyai potensi besar untuk mengubah dinamik “baik lawan jahat” dalam dunia Pandora. Malangnya, pengembangan watak dan budaya puak ini tidak digarap seperti pengenalan klan Metkayina dalam filem lalu. Walaupun dengan pembawaan yang sangat baik oleh Oona Chaplin untuk watak Varang ketua bagi Ash People. Akibatnya, kehadiran mereka walaupun menggerunkan, terasa kurang impak emosinya dan menjadikan struktur filem ini terasa terlalu mengikut formula, tetapi ia ada meninggalkan ruang yang baik untuk dikembangkan lagi.
Dari sudut drama keluarga, konflik dalaman keluarga Sully masih menjadi nadi penceritaan. Aspek emosi berjaya disampaikan dengan baik, namun bagi saya yang telah mengikuti perjalanan ini dari awal, wujud rasa sedikit kelesuan. Masalah yang dihadapi mereka terasa berulang, seolah-olah kita sedang menonton variasi babak yang sama tetapi dengan latar yang sedikit berbeza. Saya merasakan kita memerlukan satu arah tuju baharu yang lebih segar untuk benar-benar mengambil berat tentang nasib mereka.

Namun, pujian harus diberikan kepada perkembangan watak Spider (Miles Socorro). Penglibatan Spider kali ini terasa jauh lebih penting dan organik berbanding filem lepas. Wataknya diberikan ruang untuk bernafas dan menjadi jambatan penting dalam konflik yang berlaku, memberikan sedikit kelainan dalam dinamik perhubungan antara manusia dan Na’vi.
Tidak dapat dinafikan, dari aspek teknikal, Avatar: Fire and Ash masih memegang takhta sebagai karya visual teragung. Kualiti CGI, tekstur air, dan perincian watak berada pada tahap yang sukar ditandingi oleh mana-mana filem blockbuster lain. Pengalaman menonton filem ini dalam format IMAX 3D adalah satu kemestian. Menonton dalam format yang lebih rendah mungkin akan mencacatkan pengalaman mendalam yang cuba disampaikan oleh pengarah.

Walaupun tidak banyak lokasi baharu diperkenalkan, lokasi sedia ada masih kelihatan menakjubkan. Filem ini membawa kita ke kediaman Ash People yang bertemakan api dan abu. Secara artistik, kawasan ini kelihatan agak suram dan bosan berbanding keindahan hutan bio-luminesen atau lautan biru Metkayina, tetapi ia selari dengan tema dan identiti puak tersebut. Ia adalah pilihan artistik yang berani walaupun mungkin kurang memukau mata sesetengah penonton yang mengharapkan warna-warni Pandora.
Babak aksi dalam filem ini adalah manifestasi “lebih besar, lebih bising, lebih hancur”. Pertempuran melibatkan lebih ramai pahlawan, lebih banyak haiwan gergasi, dan tahap kemusnahan yang lebih dahsyat. Namun, jika diteliti pada dasarnya, sebab dan cara pertempuran itu berlaku adalah ulangan daripada apa yang telah kita saksikan dalam The Way of Water.

Ia ibarat melihat perlawanan semula di antara dua pasukan yang sama, dengan strategi yang sama, cuma di stadium yang lebih besar. Bagi peminat aksi, ini mungkin memuaskan, tetapi bagi saya yang mencari kelainan dalam koreografi naratif, ia mungkin terasa sedikit mengecewakan.
Secara keseluruhannya, Avatar: Fire and Ash masih berjaya memberikan pengalaman sinematik yang hebat, terutamanya dari sudut visual dan teknikal. Ia adalah sebuah tontonan wajib bagi peminat setia francais ini dan penggemar teknologi perfileman.

Namun, di sebalik keindahan visualnya, filem ini bergelut untuk menjadi segar walaupun jika ingin dibandingkan dengan filem yang tiba tiga tahun yang lalu. Dengan plot yang terlalu bergantung pada konflik lama, elemen baharu yang kurang dikembangkan, dan rasa kesamaan yang terlalu tebal, ia agak mengecewakan bagi saya yang mengharapkan kepelbagaian cerita atau pengalaman baharu. Ia adalah satu filem susulan yang “selamat”, yang membesarkan skala tetapi tidak menjadikannya lebih epik.


