How to Train Your Dragon yang diterbitkan pada tahun 2010 merupakan antara filem animasi kegemaran saya, oleh itu apabila Universal Pictures mengumumkan yang mereka akan menghasilkan semula filem tersebut dalam bentuk aksi nyata, saya tidak dapat mengelak daripada terasa risau kerana ia mungkin gagal untuk membawa pengalaman yang sama tetapi pada masa yang sama, saya juga ingin tahu bagaimana ia dilakukan. Hari ini, saya boleh katakan yang filem aksi nyata untuk How to Train Your Dragon ini bukan sahaja tidak mengecewakan tetapi juga berhak untuk ditonton sebagai satu filem kendiri.

Bagi penceritaan ia masih mengekalkan kisah yang sama dengan Hiccup lakonan Mason Thames merupakan anak kepada ketua sekumpulan Viking di kepulauan Berk, walaupun anak seorang ketua, dia sedikit janggal dan kurang berkemahiran serta kurang minat melakukan perkara-perkara yang gemar dilakukan oleh orang lain antaranya memburu naga. Semasa kampungnya di serang oleh naga, dia cuba untuk membantu dengan menggunakan senjata rekaannya, walaupun dapat menembak jatuh satu naga, tetapi dia mencetus lebih banyak masalah berbanding menolong.
Perkara itu menyebabkan semua orang kecewa dengannya, cuba untuk membuktikan yang dia juga boleh memburu naga, Hiccup bertekad untuk mencari naga yang ditembak jatuhnya. Naga tersebut adalah ‘Night Fury’ iaitu jenis naga yang sukar untuk dikesan. Disebabkan oleh tembakan oleh Hiccup dia telah terjatuh dan terperangkap dan dia juga tidak lagi boleh terbang kerana berlaku kecederaan di ekor. Berbanding membunuh Night Fury itu, Hiccup sebaliknya menjaganya dan mereka berkawan dengan naga tersebut diberikan nama Toothless.

Dengan melihat gelagak Toothless, Hiccup serba sedikit mula memahami dengan lebih mendalam mengenai naga dan ini membantunya untuk ‘melawan’ dengan naga-naga dan mendapat pujian daripada orang-orangnya. Manakala bapanya masih sedang mencari lokasi sarang naga tersebut agar dapat menyelesaikan masalah kampungnya secara sepenuhnya. Hiccup pula mula mengalami dilema di antara membuatkan bapanya bangga, dan juga persahabatannya dengan Hiccup. Filem ini kemudian memfokuskan kepada perhubungan dan dilema tersebut.
Bagi yang sudah menonton filem animasi, penceritaan tidak membawa sebarang perbezaan cuma saya boleh katakan penyampaian terasa sedikit berlainan kerana ia kini menjadi watak manusia sebenar dan bukan lagi watak animasi yang membuatkan watak utama iaitu Hiccup terasa lebih menjengkelkan dengan sifatnya yang sangat penakut untuk meluahkan perasaan sebenar. Manakala bagi yang tidak pernah tonton filem animasi, ia masih lagi satu penceritaan yang baik dan membawa pelbagai permasalahan yang menjadikan filem ini menarik untuk ditonton.

Satu perkara yang saya boleh katakan filem aksi nyata ini melakukan lebih baik berbanding apa yang boleh disampaikan melalui filem animasi adalah mengenai ‘keganasan’ naga ini. Naga-naga di dalam filem ini benar-benar memberi perasaan seperti satu raksasa yang jahat dan mengingatkan saya kepada siri filem Godzilla, oleh disebabkan itu saya merasakan ia satu peluang yang dilepaskan untuk mengubah sedikit tone bagi filem ini agar ia terasa lebih ‘dewasa’, tetapi pada masa yang sama saya juga faham yang mereka masih menyasarkan filem ini untuk kanak-kanak.
Sebelum tonton filem ini, antara kerisauan saya adalah untuk memastikan Toothless masih mempunyai personaliti yang kita kenali, dan saya boleh katakan ia dilakukan dengan memuaskan. Ia tidak kelihatan ‘ceria’ seperti versi animasi tetapi masih kekal memberi alasan yang mudah untuk saya menyukai wataknya itu. Watak-watak lain juga dilakukan dengan baik, Nico Parker membawa watak Astrid dengan baik kawan-kawan mereka seperti Fishlegs, Snotlout, Ruffnut dan Tuffnut juga dilakukan dengan memuaskan masih membawa karenah mereka daripada watak animasi di dalam filem ini. Mereka membantu untuk memberikan tone yang ringan dan juga santai yang bersesuaian untuk tontonan umum tetapi pada masa yang sama membawa adegan ganas yang memuaskan terutama bagi sesetengah naga yang lebih ganas berbanding naga-naga lain.


