Pada akhir tahun lepas, Ubisoft secara mengejutnya memperkenalkan Ubisoft Quartz yang akan menjadi platform untuk penawaran NFT di dalam permainan-permainan mereka. Ia dimulakan dengan permainan Tom Clancy’s Ghost Recon Breakpoint di mana pemain berpeluang untuk mendapatkan barangan kosmetik yang mempunyai NFT sendiri yang digelar sebagai Digits.

Pemain yang mendapatnya bukan sahaja dapat menggunakan barangan tersebut tetapi juga boleh menjualnya kepada pemain lain, namun penawaran tersebut tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan tambahan pada itu, pemain juga mengkritik Ubisoft kerana memfokuskan kepada NFT berbanding mempertingkatkan kualiti permainan mereka.

Melalui ucapan tahun baharu oleh Presiden Square Enix Yosuke Matsuda, beliau telah mengatakan yang penawaran permainan terpencar akan menjadi antara fokus mereka bagi tahun ini. Manakala beberapa lagi penerbit mengatakan yang NFT adalah sesuatu yang menarik untuk disertakan di dalam permainan video.

Walaupun ada beberapa syarikat seperti Valve yang telah mengharamkan sebarang permainan yang melibatkan rantaian blok disenaraikan di Steam, serta Ketua Epic Games yang mengatakan NFT buat masa ini mempunyai lebih banyak kemudaratan akan tetapi ia boleh dikatakan sebagai anak emas untuk penerbit permainan video dan mereka ternanti-nanti untuk menyertakannya di dalam permainan.

Mengapa ia disukai oleh penerbit?

Untuk mengetahui jawapannya, kita perlu melihat kembali definisi NFT ataupun nama penuhnya Non-fungible Token. Saya bukanlah pakar di dalam perkara ini, tetapi secara ringkasnya ia adalah ‘token’ yang digunakan sebagai bukti seseorang individu tersebut memiliki sesuatu salinan untuk karya seni, video ataupun audio. Bukti pemilikan ini disimpan di dalam rantaian blok, menjadikannya “tidak boleh diubah”.

Jika anda membeli satu kereta ataupun rumah, anda akan diberikan geran sebagai bukti kereta dan rumah tersebut adalah milik anda, NFT adalah geran untuk barangan yang bersifat maya.

Apabila sesuatu itu mempunyai bukti hak milik, secara langsung barangan tersebut menjadi ‘unik’ walaupun kerana ia bersifat digital, anda boleh membuat salinan dengan menggunakan CTRL+C/CTRL+V, akan tetapi NFT akan memastikan setiap salinan tersebut bukan salinan asal yang anda miliki.

Dengan ia adalah satu perkara yang unik, ia kini mempunyai nilai, seperti lukisan Mona Lisa oleh Leonardo da Vinci yang hanya mempunyai satu salinan sahaja di dunia ini, walaupun ia boleh disalin atau ditiru, akan tetapi ia tidak mempunyai nilai yang sama dengan salinan sebenar.

Menjadikan barangan digital unik, membuka peluang untuk kepada penerbit permainan untuk menawarkan barangan yang sedia ada di dalam permainan sebagai sesuatu yang mempunyai nilai walaupun di luar permainan itu sendiri. Dengan setiap jual beli NFT ini, penerbit permainan akan menerima peratusan tertentu, ia adalah penjana wang secara pasif, oleh itu ia adalah perkara mengejutkan jika penerbit tidak menyukainya.

Sistem Jual Beli Sedia Ada?

Membenarkan pemain menjual dan membeli barangan di dalam permainan sesama pemain adalah perkara yang sudah lama ada. Valve yang mengharamkan permainan bersifat rantaian blok, mempunyai permainan CS:GO di mana pemain boleh menjual hiasan senjata kepada pemain lain,yang harganya boleh mencecah ribuan ringgit. EA di dalam permainan FIFA untuk mod FIFA Ultimate Team mempunyai pasaran tersendiri menjual beli pemain.

Namun, sistem-sistem ini, berhubung kepada permainan itu sendiri, jika CS:GO ditutup, hiasan-hiasan senjata yang sebelum ini bernilai ribuan ringgit, akan menjadi tidak langsung bernilai. Manakala FUT sendiri, setiap pemain yang anda miliki, menjadi tidak bernilai apabila permainan FIFA versi terbaru dikeluarkan, kerana anda tidak boleh membawa pemain-pemain tersebut ke versi yang baharu ini.

Secara teorinya, dengan menggunakan NFT, sesuatu barangan masih lagi bernilai walaupun permainan yang berkait dengan NFT tersebut telah ditamatkan ataupun telah menerima keluaran yang baharu. Menjadikan ia satu barangan yang bertahan sepanjang zaman, sekali lagi secara teorinya. Selain itu, ia juga tidak lagi memerlukan penerbit permainan untuk menyediakan sendiri gedung untuk menjual barangan-barangan ini, seperti Valve menggunakan Steam dan FIFA melalui FUT Market. Pemain boleh gunakan pasaran yang dibangunkan oleh mana-mana pihak contohnya Fractal iaitu laman jual-beli NFT oleh pengasas Twitch.

Mengapa Ia Membimbangkan?

Sebelum saya terangkan mengapa bagi saya cinta di antara penerbit permainan dan NFT ini adalah perkara membimbangkan, ada beberapa perkara yang secara sendiri adalah perkara yang tidak baik. Antaranya sifat NFT yang menggunakan rantaian blok, yang dikatakan memberi kesan kepada alam sekitar adalah sesuatu yang saya tidak akan sentuh kerana saya bukanlah pakar di dalam perkara ini. Sebaliknya, saya akan memfokuskan kepada mengapa ia bukan nilai tambah kepada permainan video.

Saya secara peribadi tidak menyukai jika barangan di dalam permainan boleh dijual beli menggunakan wang ringgit, bagi saya ia menghasilkan satu keadaan yang kurang baik kepada keseluruhan pengalaman bermain. Ia menggalakkan pemain yang bermain bukan untuk memberi hiburan tetapi dengan harapan ia dapat menjadi lubuk emas untuk mereka. Bagi saya pemain-pemain sebegini tidak akan mempertingkatkan kualiti komuniti untuk sesuatu permainan.

Benar CS:GO mempunyai sistem ini dan ia menggalakkan aktiviti penipuan, permainan yang tidak mempunyai sebarang insentif untuk menipu pun masih lagi ada penipu, inikan pula permainan yang berkemungkinan memberikan anda barangan bernilai ribuan ringgit. Namun, sistem tersebut masih lagi dikawal selia oleh Valve, dan jika ada penipuan pemain tersebut diharamkan dan barangan yang mereka miliki akan dipadam.

Manakala NFT yang bersifat tidak mempunyai ‘tuan’, penerbit tidak lagi dapat mengawalnya. Ia akan menggalakkan pemain untuk menipu tanpa terlalu risau dengan hukuman. Dengan kata lain penerbit ingin lepas tangan segala tanggungjawab tetapi pada masa sama terus menerima peratusan penjualan. Permainan-permainan seperti Warzone yang tidak mempunyai NFT ataupun penjualan barangan, masih dipenuhi dengan penipu yang sekadar inginkan ‘clout’. Adakah penerbit dapat mengawal lambakkan pemain yang langsung tidak berminat dengan permainan tetapi ingin dapatkan NFT tersebut?

Seterusnya, jika kita melihat sejarah, penerbit permainan tidak boleh dipercayai. Sistem kotak tikam sendiri sudah beberapa kali dilakukan dengan cara yang sangat tidak baik, sehinggakan mengakibatkan syarikat besar seperti meminta maaf dan mengubah keseluruhan sistem di dalam permainan Star Wars Battlefront II. Ia tindakan baik, menyedari kesalahan akan tetapi akibatnya terlalu besar dan sehingga sekarang tiada khabar berita mengenai Battlefront akan diteruskan.

Jika kita inginkan NFT disertakan di dalam permainan, adakah kita boleh percaya yang penerbit akan menyertakannya dengan cara yang baik? Adakah tiada studio permainan video yang ditutup kerana tidak berjaya mengintegrasikan NFT di dalam permainan video? Adakah kualiti permainan tidak terjejas kerana ingin menyertakan NFT?

Seperti saya katakan, melihat rekod penerbit-penerbit permainan, agak sukar untuk mengatakan tiada apa-apa yang tidak baik akan berlaku.

Akhir sekali saya boleh katakan, dan sebab paling utama adalah NFT tidak memberi nilai tambah kepada permainan video, melainkan untuk penjanaan wang ringgit. Permainan video walaupun secara amnya adalah alat untuk menjana pendapatan, akan tetapi ia harus dilakukan dengan berkualiti dan seronok untuk dimainkan. Manakala melalui NFT yang bersifat terbuka dan lebih kepada ‘Fear of Missing Out’, kualiti bukan sesuatu yang perlu diutamakan.

Ramai yang mengatakan ia adalah teknologi yang harus diterima dengan tangan terbuka akan tetapi bagi saya setiap teknologi yang ingin diperkenalkan harus menyelesaikan masalah untuk menjadi berguna. Saya antara yang terawal menggunakan perkhidmatan penstriman muzik apabila ia diperkenalkan kerana bagi saya ia memudahkan saya untuk mendengar muzik, bukan kerana saya boleh buat duit dengannya. Saya juga dengan senangnya menerima perkhidmatan seperti Netflix, kerana ia memudahkan saya menonton filem dan siri TV, bukan saya boleh buat duit dengannya. Mengapa saya perlu menerima NFT, melainkan sekadar saya mungkin membuat duit dengannya?

Sistem NFT mungkin akan mempunyai kegunaan yang lebih baik di masa hadapan, akan tetapi menyertainya di dalam permainan video sekarang, adalah satu tindakan yang sepenuhnya bersifat kewangan tidak langsung mempunyai nilai memberi keseronokan kepada pemain.

Sohor Kini