Informasi Permainan Video Terkini
Star Wars: Battlefront II – Adakah Perubahan Untuk Sistem Mikro-Transaksi Tiba Terlalu Lambat?
PC

Star Wars: Battlefront II – Adakah Perubahan Untuk Sistem Mikro-Transaksi Tiba Terlalu Lambat?

Diterbitkan pada Mac 19, 2018 oleh .

Pada awal pengeluaran Star Wars: Battlefront II (Battlefront II), EA menerima pelbagai kritikan terutama melibatkan mikro-transaksi. Oleh kerana isu ini menjadi terlalu besar, beberapa badan kerajaan seperti suruhanjaya permainan Belgium membuat siasatan untuk menentukan mikro-transaksi di dalam permainan tersebut adalah satu bentuk perjudian ataupun tidak.

Selain itu kesannya juga memberikan impak negatif kepada penerimaan pemain kepada Battlefront II, untuk mengurangkan kontroversi, EA memberhentikan secara sementara untuk kesemua mikro-transaksi yang terdapat di dalam Battlefront II. Walaupun tindakan ini diambil, EA masih menerima kesannya apabila saham EA jatuh nilai sebanyak $3 bilion disebabkan kontroversi ini dan Battlefront II pada awal tahun ini terjual sebanyak 9 juta unit berbanding sasaran mereka sebanyak 10 juta unit.

Kini selepas 4 bulan sistem mikro-transaksi diberhentikan, sistem ini akan kembali pada 21 Mac 2018 tetapi dengan perubahan yang sangat drastik. Antara perubahan yang dibawa adalah peningkatan tahap dan kebolehan untuk watak bukan lagi bergantung harap kepada Star Card yang sebelum ini hanya boleh didapati melalui kotak tikam sebaliknya pemain boleh meningkatkan tahap dan kebolehan melalui experience points yang diterima setiap kali pemain menggunakan sesuatu watak.

Manakala kotak tikam tidak lagi memberikan Star Card sebaliknya hanya memberi kredit dan barangan kosmetik seperti emotes dan victory pose, tambahan lagi kotak tikam ini tidak boleh dibeli menggunakan wang ringgit sebaliknya hanya boleh didapati dengan hadiah harian, mencapai sesuatu tahap dan cabaran masa terhad. Bermula April pemain juga boleh membeli kostum sama ada menggunakan kredit ataupun wang ringgit. Anda boleh membaca senarai penuh perubahan yang dilakukan menggunakan pautan ini.

Perubahan yang dilakukan oleh EA semestinya adalah satu yang sangat baik untuk pemain tetapi persoalan mula timbul adakah sudah terlambat untuk menyelamatkan Battlefront II?

Bagi kami masalah untuk Battlefront II bukanlah kerana kontroversi mikro-transaksi sahaja, walaupun ia merupakan masalah terbesar yang menjadikan Battlefront II bukan permainan yang menguja tetapi Battlefront II juga mempunyai kekurangan dari segi variasi permainan dan kempen pemain solo yang tidak memberangsangkan. Oleh kerana itu walaupun masalah mikro-transaksi diselesaikan, kami tidak merasakan ramai pemain yang masih tidak memiliki Battlefront II akan membelinya.

Pada beberapa bulan pertama pengeluaran sesuatu permainan merupakan bulan paling penting untuk jualan permainan, selepas itu jualan akan perlahan dan hanya bergantung kepada jualan promosi untuk meningkatkan jumlah jualan. EA yang mengeluarkan perubahan ini selepas 4 bulan agak terlalu lambat kerana sudah terlalu lambat untuk mendapatkan pemain baru.

Walaupun begitu oleh kerana berdasarkan Star Wars: Battlefront yang bertahan selama 2 tahun sebelum Battlefront II dikeluarkan, permainan ini masih mempunyai masa yang agak panjang untuk menambah jualan dan jumlah pemain. Melainkan EA bercadang untuk mempercepatkan pengeluaran Battlefront III. EA juga berpeluang untuk mendapat lebih pendapatan melalui jualan kostum jika dilakukan dengan baik.

Dengan kata lain, walaupun perubahan yang dilakukan oleh EA adalah sangat baik akan tetapi sudah terlambat untuk permainan ini tetapi kami semestinya tertarik dengan kesan perkara ini untuk Battlefront yang seterusnya dan juga untuk permainan-permainan EA yang lain.

Bagaimana dengan anda, adakah anda menjadi tertarik dengan permainan ini kerana perubahan yang dilakukan? Ataupun anda juga merasakan perubahan ini tiba terlalu lambat?


TIPS & ULASAN