Bagi separuh pertama tahun 2026, ruangan ulasan Aksiz telah mengulas sekitar 30 buah filem dari pelbagai genre penghasilan studio tempatan dan antarabangsa. Daripada jumlah tersebut, beberapa naskhah nyata menonjol melalui penceritaan yang padu, arahan yang cemerlang, dan persembahan lakonan yang mantap. Tanpa mengira sama ada ia naskhah aksi tempatan yang mendebarkan atau cereka sains Hollywood yang epik, kualiti yang ditawarkan setakat ini amat memberangsangkan. Berikut adalah senarai 10 filem terbaik untuk pertengahan tahun ini, disusun bermula dari tangga kesepuluh.
10. Khadam

Karya arahan Shamyl Othman ini membuktikan keupayaannya sebagai sebuah naskhah seram tempatan yang kukuh. Berlatarbelakangkan era 1950-an, Khadam memfokuskan kepada Melor (Aghiny Haque), seorang wanita bisu yang terpaksa mewarisi saka demi menyelamatkan ibunya dan melindungi dua orang anaknya. Kekuatan utama filem ini terletak pada paparan transformasi Melor yang perlahan-lahan kehilangan jati diri kepada entiti tersebut, berubah daripada seorang ibu yang penyayang kepada sosok pendendam. Walaupun pergerakan plot di awal penceritaan agak meleret, filem ini menebusnya pada babak kemuncak yang dipenuhi dengan ketegangan dan elemen seram yang ganas. Lakonan dua sisi yang cemerlang daripada Aghiny Haque menjadikan naskhah ini satu pengalaman sinematik yang berbaloi.
Baca: Ulasan Khadam
9. Masters of the Universe

Diarahkan oleh Travis Knight, filem ini menyuntik nafas segar kepada francais klasik yang bermula sejak 1982. Naratifnya mengikuti Adam Glenn (Nicholas Galitzine), yang dihantar ke Bumi semasa kecil bersama Sword of Power untuk mengelakkannya jatuh ke tangan Skeletor (Jared Leto). Walaupun premisnya ringkas dan mudah dijangka, filem ini cemerlang dari segi dinamik dan keserasian watak, terutamanya perhubungan antara Adam, Teela (Camila Mendes), dan Man-At-Arms (Idris Elba). Jared Leto turut menyerlah dengan persembahan antagonis yang berkesan tanpa menjejaskan keseimbangan elemen komedi dan emosi. Digabungkan dengan koreografi aksi yang pelbagai dan pantas, ia berjaya memikat penonton baharu dan peminat tegar.
Baca: Ulasan Masters of the Universe
8. Disclosure Day

Steven Spielberg kembali memukau melalui naskhah cereka sains yang mengangkat tema hubungan dengan makhluk asing secara segar dan beremosi. Filem ini menjejaki Margaret Fairchild (Emily Blunt), seorang pemberita, dan Daniel Kellner (Josh O’Connor), seorang pelarian dari organisasi rahsia Wardex. Kedua-dua watak ini tiba-tiba memiliki kebolehan aneh dan dorongan misteri untuk menjejaki satu sama lain. Walaupun filem ini menggunakan pelbagai klise genre seperti corak tanaman dan penculikan makhluk asing, Spielberg mengadunnya dengan rentak yang pantas dan lapisan misteri yang mendalam. Dialog padat antara watak-watak utamanya menjadikannya setanding dengan naskhah moden lain seperti Arrival dan Midnight Special.
Baca: Ulasan Disclosure Day
7. 28 Years Later: The Bone Temple

Sebagai kesinambungan langsung kepada 28 Years Later, filem ini mengubah struktur tradisional antologi francais tersebut untuk mendalami watak-watak sedia ada. Penceritaan memfokuskan kepada usaha Dr. Ian Kelson (Ralph Fiennes) yang terus mengkaji mangsa jangkitan, sementara Jimmy Crystal (Jack O’Connell) bersama kumpulannya mengekalkan pendekatan agresif mereka di lapangan. Walaupun perubahan konsep ini mungkin berisiko memecahkan formula asal siri ini, ia membuka ruang penceritaan yang lebih luas untuk masa hadapan. Gaya visual yang mentah dan ketegangan masih dikekalkan, namun lakonan bertenaga dan penuh aura kegelapan daripada Ralph Fiennes adalah faktor utama yang mengangkat naskhah ini.
Baca: Ulasan 28 Years Later: The Bone Temple
6. Tarung: Unforgiven

Menerusi arahan Razaisyam Rashid, Tarung: Unforgiven layak diangkat sebagai antara filem aksi tempatan terbaik tahun ini. Berpusat pada perebutan takhta kumpulan kongsi gelap MARGA melalui sebuah kejohanan pertempuran, naratif filem ini dipacu oleh perseteruan berdarah antara Hatta (Mierul Aiman) dan Isa (Aedy Ashraf). Walaupun struktur penceritaannya tidak menawarkan sesuatu yang baharu, pelaksanaannya sangat lancar dan kemas. Koreografi aksi pertempuran jarak dekat yang memfokuskan kepada pencak silat dipaparkan dengan sangat bergaya. Disokong oleh lakonan emosi yang meyakinkan daripada kedua-dua teraju utama, ia memberikan satu pengalaman tontonan yang amat memuaskan.
Baca: Ulasan Tarung: Unforgiven
5. Toy Story 5

Pixar terus membuktikan mereka mampu mengekalkan kerelevanan francais ini tanpa terlalu bergantung pada nostalgia. Toy Story 5 membawa tema moden mengenai penggunaan teknologi apabila mainan Bonnie, yang kini diketuai oleh Jessie (Joan Cusack) dan Buzz Lightyear (Tim Allen), terpaksa bersaing dengan sebuah tablet bernama Lilypad. Menariknya, filem ini tidak mengambil jalan mudah dengan melabel teknologi sebagai sesuatu yang jahat. Sebaliknya, ia meneroka isu kesunyian kanak-kanak dan bagaimana gajet turut mempunyai niat untuk membantu penggunanya bersosial. Penceritaan yang memfokuskan kepada keperibadian Bonnie ini menjadikan filem ini lebih mendalam, berjiwa, dan relevan dengan generasi masa kini.
Baca: Ulasan Toy Story 5
4. Hoppers

Sebuah lagi kejayaan besar daripada Pixar, Hoppers mengambil premis konvensional mengenai pemeliharaan alam sekitar dan mengubahnya menjadi sebuah komedi yang sangat absurd dan luar jangka. Mabel Tanaka (Piper Curda) memindahkan kesedarannya ke dalam robot memerang untuk menyiasat kehilangan haiwan, hanya untuk menemui sebuah hierarki rahsia haiwan yang diketuai oleh King George (Bobby Moynihan). Plot bertukar menjadi gelap namun melucukan apabila majlis haiwan tersebut merancang pembunuhan seorang ahli politik. Gaya animasi yang berlebihan (exaggerated) sangat bertepatan dengan humor naskhah ini, menjadikannya satu tontonan yang sangat menghiburkan tetapi masih padat dengan emosi.
Baca: Ulasan Hoppers
3. The Sheep Detectives

Jangan tertipu dengan premisnya yang berbunyi santai; adaptasi arahan Kyle Balda ini adalah sebuah kisah whodunit yang sangat bijak dan mendalam. Apabila seorang penggembala bernama George Hardy (Hugh Jackman) dibunuh, sekumpulan biri-biri pintar di ladangnya, diketuai oleh Lily (Julia Louis-Dreyfus), mengambil alih tugas menyiasat jenayah tersebut. Lakonan suara yang cemerlang berjaya menghidupkan setiap watak biri-biri ini dengan personaliti yang unik, walaupun dengan ekspresi wajah fizikal mereka yang terhad. Selain menyajikan misteri pembunuhan yang kemas, filem ini menawarkan lapisan metafora mengenai proses meratapi kehilangan dan kerumitan hubungan kekeluargaan.
Baca: Ulasan The Sheep Detectives
2. Project Hail Mary

Adaptasi novel cereka sains ini merupakan satu pencapaian visual dan penceritaan yang sangat cemerlang. Ryland Grace (Ryan Gosling) tersedar dari koma di dalam sebuah kapal angkasa yang jauh dari Bumi tanpa sebarang ingatan tentang misinya untuk menyelamatkan manusia daripada kepupusan. Penceritaan filem ini dipermudahkan daripada perincian sains yang terlalu kompleks untuk memberi fokus penuh kepada persahabatan luar biasa antara Ryland Grace dan makhluk asing bernama Rocky. Lakonan mantap Ryan Gosling menjadi tunjang utama yang membawa beban emosi filem ini. Ia adalah naskhah yang menyeimbangkan skala epik angkasa lepas dengan tema setia kawan yang intim.
Baca: Ulasan Project Hail Mary
1. Hamnet

Karya terbaru Chloe Zhao ini lebih daripada sekadar kisah biografi tentang bagaimana tragedi epik Hamlet ditulis. Hamnet membentangkan sebuah penceritaan intim mengenai keluarga, cinta, dan kedukaan antara William Shakespeare (Paul Mescal) dan isterinya, Agnes Hathaway (Jessie Buckley). Naratifnya membawa penonton menelusuri cabaran rumah tangga mereka, daripada pergolakan kerjaya awal sehinggalah kepada kemuncak tragis apabila anak mereka, Hamnet, meninggal dunia. Arahan Chloe Zhao yang sangat teliti memberi ruang yang cukup untuk perkembangan setiap watak, manakala elemen mistik alam semula jadi Agnes menambah lapisan penceritaan yang indah. Ia adalah karya agung yang penuh kehalusan emosi, menjadikannya naskhah terbaik untuk separuh masa pertama 2026.
Baca: Ulasan Hamnet
Separuh kedua tahun 2026 masih menjanjikan lambakan karya-karya besar yang berpotensi memecah masuk ke dalam senarai terbaik hujung tahun kelak. Antara-antara filem yang sudah semestinya akan melihat senarai ini dan ingin menyertainya adalah The Odyssey, filem seterusnya oleh Christopher Nolan yang akan ditayangkan minggu ini. Selain itu, Spider-Man: Brand New Day yang akan ditayangkan pada hujung bulan ini juga ingin memulakan trilogi baharu dengan langkah kanan. Akhir tahun pula, kita akan melihat persaingan dua filem gergasi iaitu Dune: Part Three dan Avengers: Doomsday.


