The Sheep Detective merupakan filem arahan Kyle Balda dan ditulis oleh Craig Mazin berdasarkan novel Three Bags Full oleh Leonie Swann. Saya boleh katakan filem ini merupakan satu kejutan kerana pada awalnya melihat pada treler saya menjangkakan satu filem ringkas dengan tarikannya mengenai biri-biri yang pintar, tetapi selepas menontonnya, saya boleh katakan selain membawa kisah whodunit yang baik, ia juga mempunyai lapiasan penceritaan yang mendalam dan menarik.
Sebagai satu filem whodunit, sudah semestinya terdapat pembunuhan yang perlu disiasat, dan filem ini adalah mengenai kematian George Hardy (Hugh Jackman) yang merupakan penggembala biri-biri. George Hardy sering membaca buku-buku misteri kepada biri-birinya, tanpa dia sedari biri-biri tersebut bukan sahaja faham tetapi juga pandai untuk menyelesaikan mister buku tersebut, terutama Lily (Julia Louis-Dreyfus) iaitu biri-biri paling pintar di ladang tersebut.


Selepas George Hardy dibunuh, satu-satunya polis di pekan tersebut iaitu Tim Derry (Nicholas Braun) yang dipertanggungjawabkan, namun dia bukan seorang polis yang baik dan ini merupakan kes pembunuhan pertamanya. Keadaan menjadi semakin rumit, kerana hampir kesemua orang di pekan tersebut mempunyai motif untuk membunuh George Hardy termasuk juga anaknya sendiri Rebecca Hampstead (Molly Gordon) yang pertama kali menjejak kaki ke pekan tersebut.
Melihat Tim Derry yang tidak tahu bagaimana nak memulakan siasatan, Lily bersama dengan biri-biri lain bertekad untuk memastikan pembunuh sebenar ditangkap. Ini memberikan interaksi yang melucukan kerana walaupun saya boleh memahami apa yang dicakapkan oleh biri-biri tersebut akan tetapi watak-watak di dalam filem masih lagi melihat mereka sebagai biri-biri sahaja. Lakonan-lakonan suara setiap biri-biri ini bagi saya sangat baik, dan memberi perwatakan yang menarik kepada semua biri-biri yang ada. Walaupun reaksi wajah terhad kerana mereka sekadar biri-biri, tetapi lakonan suara membantu untuk membawa pelbagai kesan emosi dengan berkesan.


Selain lakonan suara biri-biri ini, pelakon-pelakon lain juga membawa watak mereka dengan berkesan. Setiap watak membawa keperibadian yang sendiri yang membuatkan mereka boleh disyaki untuk menjadi pembunuh dan pada masa yang sama setiap mereka juga mempunyai perhubungan yang rumit dengan George Hardy membuatkan kisah menjadi lebih menarik.
Bagi bahagian whodunit pula, ia dilakukan dengan mencukupi, ia tidaklah sukar untuk dijangka, tetapi masih lagi menarik terutama dengan menjadikan setiap watak berhak untuk disyaki atas sebab-sebab tersendiri. Walaupun saya sudah menjangkakan siapa pembunuh sebenar kerana melihat kejanggalan watak tersebut akan tetapi melihat bagaimana Tim Derry dan biri-biri ini merungkainya masih lagi bahagian yang menarik dan juga menyeronokkan.


Perkara yang menarik tambahan bagi saya untuk filem ini adalah lapisan kisah mengenai sekumpulan biri-biri tersebut. Selain mereka menyiasat mengenai pembunuhan, tetapi pada masa yang sama turut diberi ruang untuk kisah mengenai perhubungan mereka dengan George Hardy, perhubungan mereka dengan anak biri-biri yang dilahirkan pada musim sejuk (dilarang untuk menyertai keluarga) dan juga kebolehan biri-biri untuk melupakan sesuatu yang kurang baik, ia serba sedikit membawa pertanyaan haruskah kita melupakan segala yang tidak baik walaupun dengan kesannya kita akan lupakan seseorang?
Akhir kata, The Sheep Detective bukan sahaja membawa satu kisah whodunit yang menarik tetapi juga kisah-kisah lain terutama mengenai perhubungan keluarga, perhubungan dengan tetangga, penerimaan sesuatu yang ganjil dan juga daya berdepan dengan kesedihan, lapisan-lapisan ini memberikan satu kisah yang mendalam dan akan menyentuh emosi penonton. Ia satu filem yang ringkas tetapi padat dengan pengisian dan tiada bahagian yang membosankan.


