Francais filem “28” (bermula dengan 28 Days Later) sentiasa memegang satu identiti unik, setiap filem baharu membawa watak baharu, latar cerita berbeza, dan fokus yang segar. Ia seolah-olah sebuah siri antologi dalam dunia yang sama. Namun, menerusi 28 Years Later: The Bone Temple, tradisi ini sedikit berubah. Filem ini merupakan sambungan langsung daripada 28 Years Later yang diterbitkan tahun lepas dan menggunakan kembali watak-watak yang telah diperkenalkan sebelum ini, namun penceritaan masih terasa segar kerana fokusnya lebih mendalami kisah daripada filem sebelum ini.
Jika dilihat dari segi struktur, saya berpendapat bahawa filem ini dan bahagian sebelumnya sebenarnya adalah satu filem yang sama berbanding dua filem berlainan. Malah, saya merasakan pengalaman menonton akan menjadi jauh lebih memuaskan sekiranya kedua-dua filem ini ditonton secara berturutan.

Tiga watak utama yang memacu filem ini ialah Dr. Ian Kelson (lakonan Ralph Fiennes), Sir Lord Jimmy Crystal (Jack O’Connell), dan ‘ketua’ infected yang dipanggil oleh Ian Kelson sebagai Samson (Chi Lewis-Parry). Fokus Dr. Ian Kelson dalam filem ini adalah cuba mengenali lebih lanjut mengenai infected melalui Alpha. Manakala Jimmy Crystal bersama kumpulannya, ‘The Jimmys’, kekal dengan pendekatan agresif mereka, menghapuskan apa sahaja yang bergerak tanpa belas kasihan di dalam melakukan tugasan yang ‘diarahkan’ oleh Uncle Nick.
Satu aspek yang agak mengecewakan saya adalah pengurangan peranan watak Spike (lakonan Alfie Williams). Pada pengakhiran filem lalu, Spike terpaksa menyertai kumpulan Jimmy, namun dalam filem ini, walaupun dia masih terlibat, peranannya tidaklah sebesar atau penting seperti dalam filem terdahulu, namun dia tidaklah secara terus menjadi watak sampingan tetapi membawa satu kelainan di dalam The Jimmys yang keliahtan ganas, manakala Spike masih mempunyai nilai kemanusiaannya.
Walaupun The Bone Temple mungkin kurang dari segi keunikan struktur berbanding pendahulunya, ia berjaya mencipta sesuatu yang jarang dilakukan oleh filem lain di dalam siri ini. Ia membuka peluang yang lebih luas untuk pengembangan cerita pada masa hadapan. Namun, ini mungkin memerlukan perubahan pada konsep asas siri ini, satu risiko yang mungkin mengecewakan peminat tegar tetapi secara peribadi, saya lebih gemar melihat naratif ini dikembangkan dengan lebih mendalam berbanding francais ini melompat terus ke garis masa “28 Decades Later” contohnya.

Dari segi teknikal, filem ini masih mengekalkan gaya persembahan yang “mentah” (raw) dan berani, termasuk pemilihan muzik latar yang meningkatkan ketegangan. Namun, bintang sebenar yang mengangkat filem ini ialah Ralph Fiennes. Lakonan beliau sangat menyerlah, malah membawa tenaga dan aura kegelapan seakan-akan watak ikoniknya, Lord Voldemort. Ia adalah satu persembahan yang benar-benar memberikan impak dan akan diingati.
Secara keseluruhannya, 28 Years Later: The Bone Temple mungkin tidak mencipta revolusi baharu atau membawa perubahan drastik kepada formula siri ini. Namun, ia berjaya membuka lebih banyak pilihan untuk mengembangkan jalan cerita, waima dengan risiko memecahkan konsep asal ’28-Later’. Bagi saya, kekuatan utama filem ini terletak pada potensi masa depannya dan lakonan bertenaga Ralph Fiennes yang berjaya menjadikan pengalaman menonton filem ini jauh lebih bermakna.


