Project Hail Mary membawa satu penceritaan angkasa lepas yang diadaptasi daripada buku berjudul sama nukilan Andy Weir. Walaupun Weir juga merupakan penulis untuk The Martian yang turut menerima adaptasi filem sebelum ini, naskhah kali ini membawa penonton mengembara lebih jauh iaitu 12 tahun cahaya dari Bumi menghala ke sistem Tau Ceti. Di dalam filem ini, Bumi sedang berhadapan dengan ancaman kepupusan akibat matahari yang semakin malap. Hal ini disebabkan oleh sejenis mikroorganisma yang dipanggil Astrophage, yang secara teknikalnya sedang memakan tenaga matahari tersebut.

Di dalam filem ini, watak utama Ryland Grace lakonan Ryan Gosling, asalnya merupakan seorang guru, namun pada permulaan cerita dia mendapati dirinya tersedar di dalam sebuah kapal angkasa tanpa sebarang memori tentang mengapa dia berada di sana. Selepas beberapa ketika, ingatannya mula kembali yang disampaikan secara imbas kembali dan dia menyedari bahawa dia adalah sebahagian daripada misi tiga kru yang menaiki kapal angkasa bernama “Hail Mary” untuk ke sistem Tau Ceti. Ini kerana salah sebuah planet di sistem tersebut, Adrian, didapati tidak terkesan terhadap ancaman Astrophage. Akan tetapi, akibat perjalanan yang sangat panjang, bukan sahaja dia kehilangan memorinya, malah kesemua rakan krunya telah terkorban akibat radiasi angkasa lepas.
Tugasan asal kru tersebut adalah untuk menyiasat fenomena ini dan menghantar maklumat kembali ke Bumi. Namun, sebaik sahaja dia tiba berhampiran planet Adrian, Grace menyedari yang dia tidak keseorangan apabila terdapat sebuah kapal angkasa yang jauh lebih besar cuba untuk membuat hubungan dengannya. Selepas beberapa siri percubaan, mereka berjaya berkomunikasi, dan Grace bertemu dengan makhluk asing yang dipanggilnya sebagai Rocky kerana susuk fizikalnya yang menyerupai batu. Dia kemudiannya mendapati yang Rocky juga hadir ke Tau Ceti dengan niat untuk menyiasat apa yang membuatkan planet Adrian berbeza agar dapat menyelamatkan planetnya sendiri.

Secara keseluruhannya, adaptasi ini telah melakukan tugas yang cukup baik dalam menyampaikan penceritaannya sehinggakan saya boleh katakan penonton umum mudah untuk memahami apa yang sedang berlaku. Ia memotong banyak bahagian daripada buku, terutamanya aspek sains yang rumit, untuk menjadikan penceritaan lebih lancar dan padat. Sebaliknya, ia memilih untuk menjadikan perhubungan di antara Grace dan Rocky sebagai fokus utama, ia membantu saya mengikut filem ini dengan lebih teratur. Walaupun ia berkisarkan tentang misi epik menyelamatkan dunia, fokus terhadap persahabatan ini membimbing emosi saya dengan lebih baik kerana kadangkala skala yang terlalu besar seperti menyelamatkan dunia agak sukar untuk memberikan impak emosi yang benar-benar berkesan.
Namun, bagi saya perkara utama yang menguatkan filem ini adalah wataknya. Watak Grace dibawakan dengan sangat cemerlang oleh Ryan Gosling dan kepelbagaian emosi yang ditunjukkannya benar-benar meyakinkan saya. Persembahannya juga sangat membantu dalam memberikan ‘petunjuk emosi’ kepada watak Rocky. Ramai yang mengatakan agak sukar untuk menunjukkan emosi apabila seseorang watak memakai topeng, apatah lagi jika watak itu adalah makhluk asing yang tiada muka langsung? Tetapi filem ini masih berjaya melakukannya, dan ia adalah hasil daripada lakonan berkualiti yang dipamerkan oleh Grace atau Ryan Gosling.

Manakala bagi bahagian penceritaan sains pula, jika anda membandingkannya dengan The Martian, saya rasakan The Martian mempunyai penyampaian yang lebih terperinci. Namun, filem ini masih melakukannya dengan baik dan tidak menghabiskan terlalu banyak masa sehingga ke tahap mengelirukan penonton. Walaupun sebagai pembaca novelnya saya secara automatik mengisi kekosongan maklumat sains tersebut, saya yakin ia direka agar mudah diikuti oleh sesiapa sahaja. Saya juga sangat memuji bagaimana mereka menyusun adegan imbas kembali. Segala memori yang dimasukkan berfungsi dengan cemerlang dan langsung tidak mengganggu pergerakan cerita.
Cuma, saya mengharapkan mereka menambah lebih banyak adegan imbas kembali ini, terutamanya di permulaan apabila Grace terlupa namanya sendiri. Selain itu, terdapat satu titik penceritaan di mana dia akhirnya mengetahui mengapa dia dipilih untuk misi ini, yang bagi saya terasa diselesaikan secara tergesa-gesa lantas mengurangkan keberkesanannya dari sudut penyampaian cerita dan impak emosinya. Terdapat juga beberapa dialog sebaris penting seperti penerangan tentang bagaimana Rocky berkomunikasi yang berlalu dengan sangat pantas sehinggakan saya rasa penonton mungkin akan terlepas pandang.

Dari sudut visual, ia kelihatan memukau dan mengambil kebebasan untuk memaparkan skala yang lebih epik di beberapa adegan. Walau bagaimanapun, sebahagian besar masa dihabiskan di dalam kapal Hail Mary, yang bagi saya direka dengan sangat praktikal dan meyakinkan, ditambah pula dengan pergerakan watak dalam ruang graviti sifar yang nampak sangat believable. Cuma, durasi 2 jam 36 minit bagi saya terasa terlalu singkat. Mengetahui ada bahagian yang dipotong, dan dengan lambakan filem kini yang selesa mencecah 3 jam, saya rasakan ada banyak ruang untuk mereka kembangkan lagi agar sesetengah babak tidak terasa terlalu pantas dan dapat memberikan konteks yang lebih menyeluruh.
Akhir kata, Project Hail Mary adalah satu filem angkasa lepas yang sangat cemerlang mengenai hubungan seorang manusia dan makhluk asing yang berkongsi matlamat yang sama untuk menyelamatkan dunia masing-masing. Penceritaan yang memfokuskan kepada semangat setia kawan di antara mereka terasa lebih segar dan memberikan lapisan emosi tambahan kepada filem ini, manakala elemen sains dan angkasa lepas pula diseimbangkan dengan cukup baik. Lakonan Ryan Gosling merupakan tunjang utama filem ini yang banyak membantu membawa bebanan emosi penceritaan, membuktikan filem ini wajib ditonton terutamanya oleh peminat cereka sains, sekurang-kurangnya sekali.


