Karya terbaru arahan Chloe Zhao, Hamnet, diadaptasi daripada novel nukilan Maggie O’Farrell yang turut bekerjasama menulis lakon layar filem ini. Secara luarannya, filem ini seakan sebuah naskhah biografi tentang bagaimana William Shakespeare mendapat inspirasi untuk menulis tragedi epik Hamlet, yang sering disifatkan sebagai antara tragedi paling berkuasa dan berpengaruh dalam bahasa Inggeris. Namun, setelah menontonnya, saya mendapati ia membawa makna yang jauh lebih mendalam. Inspirasi penulisan itu hanyalah secebis kisah yang disimpulkan pada penghujungnya. Selebihnya, saya disajikan dengan sebuah penceritaan intim mengenai cinta, kehidupan, dan pembinaan keluarga antara William dan isterinya, Agnes Hathaway.

Filem ini bermula dengan titik pertemuan yang manis di mana William, yang dilakonkan dengan berkesan oleh Paul Mescal, bekerja sebagai seorang guru bahasa Latin kepada keluarga Agnes (dimainkan oleh Jessie Buckley). Bibit-bibit cinta mekar dengan pantas dan membawa kepada lamaran perkahwinan.

Walau bagaimanapun, realiti kehidupan berkeluarga mula memberi tekanan. Filem ini memperlihatkan pergolakan jiwa William selepas kelahiran anak sulung mereka, Susanna. Beliau berasa resah dan hilang arah kerana gagal melakukan kerja-kerja pertukangan kulit bapanya dengan baik, ini ditambah lagi dengan perhubungan yang kurang baik dengan bapanya itu, selain terhalang daripada mengejar keghairahan sebenarnya dalam bidang penulisan.

Menyedari kebuntuan suaminya, Agnes mencadangkan agar William berhijrah ke London berseorangan memandangkan dia sedang sarat mengandung dan tidak mampu mengikutinya. Selepas penghijrahan itu, Agnes melahirkan anak kembar mereka, Judith dan Hamnet. Daripada titik ini, saya dibawa menelusuri kehidupan keluarga lima beranak tersebut tatkala anak-anak mula membesar dengan ketiadaan bapa yang majoriti masanya dihabiskan di ibu kota.

Oleh kerana Judith mempunyai jantung yang lemah, perpindahan ke kota London bukanlah satu pilihan yang ideal untuk keluarga ini. William akhirnya memutuskan untuk memindahkan mereka ke kawasan pinggir bandar demi mendapatkan udara yang lebih segar. Namun, tragedi yang memilukan melanda apabila Hamnet jatuh sakit dan meninggal dunia.

Saya terkesan melihat bagaimana insiden ini memecahbelahkan emosi mereka. Ketiadaan William di sisi ketika Hamnet menghembuskan nafas terakhir mencetuskan kemarahan di hati Agnes, yang pada masa sama dihantui rasa bersalah kerana tidak mampu menyelamatkan anaknya. Filem ini memaparkan fasa meratapi kehilangan dengan begitu berkesan, Agnes meneruskan kehidupannya tetapi jelas kehilangan sinar kegembiraannya. Sebaliknya, William kembali ke London dan mula menyalurkan kesedihannya ke dalam persiapan pementasan teater terbaharunya, sebuah tragedi yang diberi judul Hamlet.

Walaupun premis naskhah ini agak ringkas, pujian harus diberikan kepada Chloe Zhao kerana berjaya menterjemahkan perkembangan watak yang sangat teliti. Fokus pengarah bukan sahaja tertumpu kepada William dan Agnes, tetapi setiap daripada tiga anak mereka diberi ruang untuk berkembang. Selepas Eternals mungkin ada kerisauan yang Chloe Zhao sudah kehilangan sentuhannya, tetapi jelas kali tidak.

Dari sudut persembahan, lakonan yang ditampilkan adalah sangat-sangat berkualiti tinggi. Jessie Buckley dan pelakon kanak-kanak Jacobi Jupe (Hamnet) masing-masing memberikan persembahan yang sangat cemerlang dan pasti akan segar dalam ingatan saya untuk satu tempoh yang lama, mereka benar-benar membawa kisah ini dengan berkesan. Begitu juga dengan watak-watak lain walaupun sekecil mana perwatakan mereka, setiapnya dilakukan dengan baik.

Saya juga tertarik dengan elemen mistik yang diterapkan, terutamanya pada watak Agnes yang digambarkan mempunyai kebolehan untuk ‘memahami’ alam semula jadi dan hutan. Walaupun pada mulanya elemen ini terasa sedikit janggal untuk sebuah penceritaan yang sangat grounded, saya menyedari bahawa ia menambah lapisan metafora yang indah. Agnes cemerlang dengan alam semula jadinya, manakala William dengan dunia penulisannya; kedua-duanya cemerlang dalam bidang yang sukar difahami oleh orang sekeliling. Ia juga memainkan peranan penting di dalam menyampaikan perwatakan Agnes di dalam menghadapi masalah-masalah di dalam hidupnya.

Jika ada satu keluhan kecil yang boleh saya suarakan, ia adalah kekurangan ruang untuk watak William berkembang di pertengahan filem. Selepas penghijrahannya ke London, naratif hampir sepenuhnya tertumpu kepada Agnes dan anak-anak. Namun begitu, setelah selesai menonton, saya merasakan keputusan ini sengaja dirancang. Menjelang babak akhir, penceritaan filem ini seolah-olah membuatkan saya sebagai penonton untuk menerima William tepat pada detik yang sama Agnes memahami suaminya itu dengan lebih mendalam. Dari segi penceritaan emosi, pendekatan ini disampaikan dengan cukup sempurna.

Akhir kata, selepas kekecewaan Eternals, Chloe Zhao mengingatkan semua beliaulah yang hadir dengan Nomadland, filem ini disampaikan dengan penuh kehalusan emosi, premis yang ringkas mengenai lima sekeluarga tetapi disampaikan dengan sangat berkesan dengan lakonan yang berkualiti tinggi membantu untuk menjadikan kisah mengenai nama besar William Shakespeare disampaikan dengan baik sekali walaupun dia sendiri menjadi sampingan sahaja.

Hamnet di bawa oleh GSC International Screens dan sedang ditayangkan di lokasi-lokasi GSC terpilih.

Hamnet
Filem ini disampaikan dengan penuh kehalusan emosi, premis yang ringkas mengenai lima sekeluarga tetapi disampaikan dengan sangat berkesan dengan lakonan yang berkualiti tinggi membantu untuk menjadikan kisah mengenai nama besar William Shakespeare disampaikan dengan baik sekali walaupun dia sendiri menjadi sampingan sahaja.
Positif
Lakonan berkualiti tinggi
Premis ringkas disampaikan dengan cukup berkesan
Penyampaian yang cantik
Negatif
Watak William kurang diberi ruang untuk berkembang
10

Leave a Reply

Final Score