Hoppers membuktikan bahawa sesebuah filem tidak memerlukan premis yang kompleks jika pelaksanaannya cukup ‘gila’ dan menghiburkan. Walaupun naratif asasnya hanyalah kisah klise tentang “menyelamatkan alam sekitar”, kekuatan utama filem terbaru Pixar ini terletak pada elemen komedinya yang sangat absurd dan tidak terjangka.

Filem ini mengisahkan Mabel Tanaka (Piper Curda), seorang pelajar universiti yang tinggal di Beaverton. Apabila kawasan alam semula jadi kegemarannya sejak kecil terancam oleh projek pembinaan lebuh raya baharu, Mabel cuba sedaya upaya untuk menghentikannya. Namun, kawasan tersebut telah kehilangan status perlindungannya kerana haiwan-haiwan di situ telah hilang secara misteri.

Dalam satu plot putar belit berunsur fiksyen sains, Mabel secara tidak sengaja mengetahui bahawa profesornya mempunyai teknologi rahsia yang membolehkan kesedaran manusia dipindahkan ke dalam robot berbentuk haiwan. Menggunakan teknologi ini, Mabel bertukar menjadi seekor memerang dan menyusup masuk untuk menyiasat ketiadaan haiwan tersebut. Penyamaran ini membawanya ke sebuah dunia rahsia haiwan yang kompleks, lengkap dengan hierarki monarki bagi setiap kelas, termasuklah pertemuannya dengan King George (Bobby Moynihan), raja memerang yang mewakili kelas mamalia.

Di sinilah Hoppers bersinar. Mabel pada asalnya hanya mahu meyakinkan haiwan-haiwan tersebut untuk kembali ke habitat asal mereka supaya projek pembangunan itu dapat dihentikan secara perundangan. Sebaliknya, majlis tertinggi haiwan membuat keputusan yang jauh lebih radikal, Datuk Bandar Jerry Generazzo (Jon Hamm), dalang di sebalik pembangunan tersebut, adalah satu ancaman dan perlu dibunuh.

Situasi bertukar menjadi sangat tidak masuk akal apabila sekumpulan haiwan merancang plot pembunuhan terhadap seorang ahli politik, manakala Mabel dan King George bertungkus-lumus cuba menghalang mereka. Peningkatan plot yang melampau dan kelakar inilah yang mengangkat sebuah cerita yang pada asalnya asas, menjadi sebuah karya yang sangat menyeronokkan. Saya sentiasa terhibur dari minit pertama sehinggalah filem ini tamat.

Pada masa yang sama, selain daripada gelak tawa ini, Hoppers juga memberikan penyampaian adegan emosi yang sangat berkesan terutama mengenai Mabel dengan neneknya dan juga Mabel dengan King George yang tidak menyedari Mabel seorang manusia.

Seperti yang sudah dijangkakan daripada Pixar, kualiti animasinya sangat cemerlang. Namun, apa yang paling menonjol bagi saya adalah ekspresi wajah haiwan-haiwannya. Daripada memfokuskan kepada gaya hiper-realistik, filem ini memilih rekaan visual yang sedikit berlebihan (exaggerated). Pilihan gaya ini sangat bertepatan dengan tema filem yang menongkah arus, membolehkan haiwan-haiwan ini mempamerkan reaksi yang jauh lebih berkesan dan menghidupkan komedi yang cuba disampaikan.

Hoppers adalah sebuah kejayaan besar bagi Pixar. Filem ini berjaya mengambil sebuah cerita konvensional dan menyuntiknya dengan suntikan komedi absurd yang berani. Ia sebuah tontonan wajib bagi mereka yang inginkan sesuatu yang segar, lucu, tetapi masih memberikan kepuasan emosi.

Hoppers sedang ditayangkan di pawagam.

Hoppers
Sebuah kejayaan besar bagi Pixar. Filem ini berjaya mengambil sebuah cerita konvensional dan menyuntiknya dengan suntikan komedi absurd yang berani. Ia sebuah tontonan wajib bagi mereka yang inginkan sesuatu yang segar, lucu, tetapi masih memberikan kepuasan emosi.
Positif
Jalan cerita yang mengarut tetapi berkesan
Animasi dan expression yang menjadi
Pelbagai emosi disampaikan dengan baik
Negatif
Jalan cerita biasa dan mudah dijangka
9

Leave a Reply

Final Score