Skip to main content

Jika bercakap mengenai MacBook, tidak kira MacBook Pro ataupun MacBook Air ia merupakan laptop yang memfokuskan kepada penggunaan profesional dan juga santai, akan tetapi agak janggal untuk memanggilnya sebagai satu laptop yang ingin digunakan untuk bermain permainan video. Oleh itu, selepas diberi peluang untuk mencuba sendiri MacBook Pro yang dilancarkan pada November tahun lepas, yang dikuasakan dengan cip M4 saya menjadikan misi untuk menentukan sama ada, selain menggunakan laptop ini untuk kegunaan biasa, adakah ia cukup baik untuk dijadikan sebagai platform untuk bermain permainan video.

Spesifikasi

MacBook Pro yang saya gunakan sejak beberapa bulan yang lepas dikuasakan dengan cip M4, ia juga ditawarkan dengan pilihan cip yang lebih berkuasa iaitu M4 Pro dan juga M4 Max. Perbezaan utama mengenai M4 dengan M4 Pro dan M4 Max adalah jumlah teras yang ada. MacBook Pro ini mempunyai 10/10 teras, manakala yang menggunakan M4 Pro menyertakan 12/16 Teras atau 14/20 Teras dan M4 Max 14/32 Teras. Selain itu, ia dilengkapi dengan 16GB RAM dan 1TB storan SSD.

Bagi paparan ia menyertakan skrin bersaiz 14-inci dengan penal Liquid Retina XDR dan juga menggunakan teknologi terbaru oleh Apple iaitu Nano-texture yang mengurangkan kesan silau dan juga pantulan ketika berada di tempat yang terang. Dengan penambahan harga RM640 untuk mendapat skrin jenis ini, ia mungkin satu harga yang mahal akan tetapi saya boleh katakan ia sangat berguna dan seperti yang “diiklankan”. Saya boleh menggunakan laptop ini dengan baik tidak kira semasa berada di bawah lampu, di luar bawah cahaya matahari, saya masih dapat melihat paparan dengan baik termasuk juga semasa bermain permainan video dan menonton kandungan hiburan.

Di dalam kotak, turut disertakan kain pengelap (jika anda mendapatkan skrin nano-texture) dan palang kuasa 70W bersama dengan kabel USB-C ke MagSafe 3. Pengecasan juga boleh dilakukan menggunakan kabel USB-C. Bagi port, ia mempunyai 2 USB-C di bahagian kiri bersama dengan MagSafe 3 dan picu audio, 1 lagi USB-C di bahagian kanan bersama dengan HDMI dan pembaca kad SD, yang bagi saya sudah mencukupi terutama kerana kebanyakan kabel yang saya guna adalah USB-C, dengan terdapatnya MagSafe 3, ia juga memastikan yang saya tidak perlu mengorbankan satu port USB-C untuk pengecasan.

Penggunaan Umum

Bagi kegunaan umum, saya boleh katakan MacBook Pro ini memberikan pengalaman penggunaan yang terbaik berbanding mana-mana laptop yang saya pernah guna sebelum ini. Walaupun tidak menggunakan cip M4 yang terbaik, ia masih memberikan pengalaman penggunaan yang lancar dan tanpa sebarang masalah. Saya boleh menyambungnya ke paparan ultra-lebar, melakukan suntingan video, melayari laman web, dan menonton kandungan penstriman tanpa sebarang masalah.

Penggunaan akan menjadi jauh lebih baik jika anda juga sudah berada di dalam ekosistem Apple. Saya menggunakan iPhone, yang membolehkan saya untuk menggunakan fungsi ‘iPhone Mirroring’ membolehkan saya mengakses telefon secara terus daripada laptop dan tidak perlu membuka telefon jika tidak perlu. Saya juga boleh bermain permainan mudah alih, terutamanya yang mempunyai kawalan ringkas seperti Marvel Snap.

Selain itu, ia juga memudahkan untuk saya bertukar-tukar daripada menggunakan telefon ke laptop, contohnya saya ada gambar daripada iPhone sama ada saya menggunakan AirDrop ataupun saya juga boleh menarik sahaja daripada iPhone terus ke bahagian muat turun di MacBook Pro. Terdapat pelbagai lagi kemudahan yang disertakan untuk menggunakan kedua-dua peranti ini secara bersama, dan jika anda sudah memiliki iPhone atau bercadang untuk membelinya, jika di gunakan bersama akan memberikan pengalaman yang memuaskan.

Ia juga tidak terhad kepada iPhone sahaja, saya juga menggunakan AirPods dan HomePod yang berfungsi dengan baik bersama dengan MacBook Pro ini. Contohnya jika saya berada di bilik dan ingin menonton, saya boleh menggunakan menyambungkannya ke HomePod untuk dijadikan sebagai pembesar suara dan ia boleh berfungsi dengan baik, begitu juga dengan AirPods, jika saya sedang menggunakannya bersama iPhone saya boleh sekadar memainkan sesuatu di MacBook Pro dan AirPods akan bertukar secara automatik dan begitu juga jika sebaliknya.

Bagi persisian pula, papan kekunci yang disertakan cukup selesa untuk digunakan akan tetapi dengan saya kebiasaan menggunakan papan kekunci yang lebih tinggi, ia mengambil masa untuk membiasakan diri. Namun, selepas menggunakannya dengan kerap, ia tidak menjadi masalah bahkan turut selesa untuk digunakan. Bagi trackpad, ia sentiasa antara yang terbaik di pasaran dengan MacOS juga dibina dengan memfokuskan kepada trackpad saya tidak memerlukan tetikus untuk penggunaan harian. Ia juga dilengkapi dengan TouchID yang berfungsi sebaik semasa ia di iPhone suatu masa dahulu, tetapi saya juga merasakan sudah masa untuk Apple menggunakan FaceID di MacBook Pro.

Bateri juga sangat memuaskan, saya boleh menggunakan laptop ini sepanjang hari tanpa perlu pengecasan. Saya boleh katakan yang jika saya menggunakan Macbook Pro ini bermula pada 10 pagi hari Isnin dan menggunakannya selama lebih kurang 8 jam pada hari tersebut waktu kerja, saya hanya perlu mengecasnya pada lewat hari Selasa ataupun pada awal hari Rabu, dan kegunaan saya bukan sekadar melayari web sahaja, tetapi juga menyunting video dan menonton pelbagai jenis kandungan. Menggunakan palang kuasa yang tersedia di dalam kotak, saya boleh mengecas daripada sifar ke penuh dalam masa lebih kurang 1 jam 15 minit sahaja, anda boleh percepatkan lagi dengan mendapatkan palang kuasa yang lebih tinggi seperti 96W yang dijual berasingan oleh Apple ataupun dengan mendapatkan model yang lebih mahal.

Permainan Video

Sejak beberapa tahun yang lepas, Apple telah mula memberi perhatian di dalam menjadikan peranti mereka digunakan untuk bermain permainan video. Ia tidak terhad kepada iPhone ataupun Apple TV sahaja, akan tetapi juga bagi MacBook Pro terutama melalui penggunaan cip silikon mereka. Beberapa permainan mercu telah mengumumkan yang ia akan dilancarkan di peranti Apple bersama dengan platform-platform yang lain. Ini bagi saya satu langkah yang baik, walaupun ia masih memerlukan beberapa tahun lagi sebelum saya boleh katakan yang ia pilihan yang baik untuk bermain permainan video.

Saya menguji beberapa permainan berbeza tetapi memfokuskan kepada dua permainan iaitu Baldur’s Gate 3 dan NBA 2K25 Arcade Edition. Saya memilih Baldur’s Gate 3 kerana ia antara permainan yang menyokong versi MacOS melalui pembelian yang sama di Steam, oleh itu saya boleh membelinya di PC tetapi juga bermain di MacBook, menggunakan akaun Larian saya juga boleh menggunakan akaun dan kemajuan yang sama. Saya menggunakan tetapan medium, untuk Baldur’s Gate 3 dan dapat dimainkan dengan baik tetapi tidak dapat mencapai 60FPS dengan tetap, ada masa ia juga akan lebih rendah daripada 30FPS mengikut keadaan di dalam permainan pada waktu itu. Manakala bagi permainan Arcade pula seperti NBA 2K25 Arcade Edition, tidak akan bermasalah untuk bermain ia lancar dan menggunakan alat kawalan juga memberikan pengalaman yang baik.

Cip M4 cukup berkuasa untuk menjalankan permainan-permainan ini, ia tidak boleh menggunakan tetapan terbaik tetapi sudah mencukupi untuk dapat bermain sebarang permainan dari awal sehingga akhir. Bagi mencapai 60FPS, mungkin ada beberapa pengorbanan grafik yang perlu dilakukan. Saya tidak pasti jika disebabkan cip M4 yang tidak berkuasa ataupun port yang kurang memuaskan oleh pembangun. Namun, dengan cip akan menjadi lebih berkuasa dan pembangun akan meluangkan masa yang lebih lama untuk membangunkan permainan khusus untuk MacBook Pro ia akan menjadi lebih baik.

Satu lagi perkara yang saya boleh katakan masalah yang boleh diselesaikan untuk menambah-baik lagi pengalaman bermain permainan video di MacBook Pro ini adalah mengenai pustaka permainan. Saya sudah memiliki ratusan permainan di Steam contohnya, dan walaupun ada permainan-permainan yang menyokong MacOS boleh dimainkan secara terus, seperti Baldur’s Gate 3 tetapi ada permainan yang tidak menyokong fungsi ini. Contohnya Death Stranding, saya memilikinya di Steam tetapi saya perlu membelinya sekali lagi melalui App Store, begitu juga dengan permainan lain seperti Resident Evil 4. Jika ia merupakan pilihan penerbit, mungkin Apple tidak boleh menukarnya, tetapi jika Apple yang memilih untuk menawarkan secara eksklusif melalui App Store, saya berharap ia dapat ditukar terutama bagi permainan-permainan yang sudah dilancarkan kerana pustaka sedia ada adalah satu langkah yang awal di dalam memberikan pengalaman yang lebih baik di dalam menjadikan MacBook Pro sebagai laptop untuk bermain permainan video.

Rumusan

MacBook Pro menyertakan pengalaman penggunaan profesional dan umum yang sangat baik, saya boleh katakan antara terbaik di dalam pasaran laptop. Perkara ini akan berganda lebih baik jika anda sudah berada di dalam ekosistem peranti Apple. Penggunaan bersama dengan iPhone, AirPods, HomePods dan sebagainya membantu untuk memberi pengalaman yang memuaskan. Manakala bagi permainan video, saya boleh memainkan permainan seperti Baldur’s Gate 3 dengan baik, walaupun tidak dapat mencapai tetapan yang tertinggi tetapi ia mencukupi untuk dimainkan tanpa sebarang masalah. Masalah utama pada awal ini bagi saya adalah mengenai ketersediaan permainan, App Store mula menerima pelbagai permainan mercu akan tetapi saya merasakan ia akan menjadi lebih baik jika dapat menggunakan platform sedia ada seperti Steam.

Leave a Reply