Sepanjang beberapa tahun yang lepas, telefon utama yang saya guna merupakan iPhone 14 Pro Max dan juga iPhone 15 Plus, kedua-dua model ini tidak menyokong penawaran permainan “AAA” di iPhone. Oleh itu, tidak salah untuk saya teruja apabila berpeluang untuk menggunakan iPhone 16 Pro pula dan akhirnya dapat mencuba sendiri dan menjawab persoalan adakah iPhone sudah bersedia untuk menjadi satu ‘konsol’ mudah alih.

Sebelum saya menjawab persoalan tersebut, terlebih dahulu saya ingin kongsikan serba sedikit spesifikasi bagi generasi terbaru untuk telefon oleh Apple ini.
| Paparan | 6.3-inci Super Retina XDR OLED (2622 x 1206), 120Hz |
| Cip | Apple A18 Pro (6-core CPU; 2 performance and 4 efficiency cores) |
| GPU | Apple A18 Pro 6-core GPU |
| RAM | 8GB |
| Storan | 128GB/256GB/512GB/1TB |
| Batteri | 3,582mAh |
| Harga | RM4,999 (128GB), RM5,499 (256GB), RM6,499 (512GB), RM7,499 (1TB) |
Jika anda ingin membaca lebih lanjut mengenai pengalaman secara umum bagi iPhone 16 Pro saya cadangkan anda membaca terlebih dahulu Pandang Pertama saya untuknya, melalui ulasan ini saya akan memfokuskan kepada Skrin, Bateri dan Prestasi bermain permainan mudah alih. Namun, saya ingin terlebih dahulu berkongsi pendapat mengenai sesuatu yang berlainan di iPhone kali ini, iaitu “Camera Control” yang boleh dikatakan sebagai butang khas bagi penggunaan kamera.

Saya tidak mengambil gambar terlalu kerap selain daripada menghadiri kejohanan-kejohanan esukan contohnya dan saya boleh katakan walaupun hampir sebulan saya cuba untuk membiasakan diri menggunakan kawalan baharu ini, ia tidak membantu saya untuk mengambil gambar dengan lebih cepat ataupun lebih baik. Di iPhone 16 Pro saya boleh katakan kedudukannya juga tidak bersesuaian dengan fungsi untuknya kecuali apabila mengambil gambar secara menegak.
Oleh kerana ia satu butang fizikal oleh itu tidak banyak perubahan yang boleh dilakukan, tetapi setakat ini ia bukan sesuatu yang saya gunakan dengan lebih kerap kerana kawalan di skrin sudah mencukupi dan lebih cepat untuk saya gunakan.
Skrin
Apple tahun ini telah menawarkan skrin yang lebih besar bagi model Pro mereka dengan iPhone 16 Pro kini menyertakan skrin 6.3-inci berbanding 6.1-inci di iPhone 15 Pro dan generasi sebelum ini, namun saya hadir daripada mengguankan skrin 6.7-inci di iPhone 14 Pro Max dan juga iPhone 15 Plus oleh itu perbezaan saiz ini, walaupun sudah dibesarkan sikit memberi kesan kepada pengalaman saya menggunakannya, dengan kata lain saya merindui saiz skrin yang besar.
Saiz skrin ini tidak mempunyai masalah untuk menonton kandungan hiburan seperti filem ataupun bermain permainan mudah alih menggunakan kawalan di telefon tetapi saya lebih menyukai untuk mengguanakan alat kawalan, oleh itu saiz yang kecil ini ada masa membuatkan saya terpaksa duduk dengan lebih dekat kerana agak sukar untuk melihat permainan ataupun membaca teks.

Namun, kelebihan menggunakan skrin yang lebih kecil adalah ia lebih mudah untuk digunakan terutama menggunakan satu tangan dan ia juga bersaiz lebih kecil dan tidak terasa menganggu apabila berada di dalam poket. Tambahan itu, ia juga merupakan pilihan persendirian, bagi anda yang menggunakan dan menyukai saiz iPhone 15 Pro sebelum ini, penambahan .2-inci ini tidak akan mengjejaskan pengalaman anda dan mungkin akan berasai lebih baik berbanding sebelum ini.
Selain daripada itu, tiada apa lagi yang saya ingin katakan melainkan ia adalah satu skrin yang berkualiti tinggi sesuatu yang saya sudah nyatakan berkali-kali di telefon sebelum ini, dengan sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz ia juga memberi pengalaman penggunaan yang lebih baik berbanding model yang masih terhad kepada 60Hz. Saya cuma mempunyai rungutan mengenai penggunaan HDR yang bagi saya ada ‘hit or miss‘ dan lebih banyak miss, saya biasannya akan menutup fungsi ini.
Bateri
Dengan 5-6 jam screen-on-time (SOT) ia boleh dikatakan satu jumlah yang baik untuk telefon bersaiz ini, akan tetapi hadir daripada iPhone lebih besar sebelum ini, saya perlu mengubah sedikit cara penggunaan. Jika sebelum ini saya boleh menggunakan iPhone dari pagi sehingga lewat malam, termasuk juga bermain permainan mudah alih tanpa perlu risaukan ia perlu dicaj, akan tetapi bagi telefon ini saya boleh dapatkan perkara yang sama jika saya tidak bermain permainan mudah alih ataupun sekadar bermain untuk 20-30 minit sahaja.

Jika saya merancang untuk bermain permainan mudah alih, terutama permainan “AAA” saya sentiasa menggunakannya dengan menyambung iPhone 16 Pro ke palang kuasa. Ia membantu saya untuk memberi “peace of mind” jika saya merancang untuk menggunakan telefon di luar ataupun berada di tempat yang tidak mempunyai tempat mengecas.
Bateri di dalam iPhone 16 Pro saya boleh katakan mengecewakan kerana saya hadir daripada menggunakan iPhone 14 Pro Max dan iPhone 15 Plus akan tetapi seperti skrin, saya boleh katakan yang ia adalah sesuatu yang lebih baik jika hadir daripada iPhone 15 Pro ataupun generas-generasi yang sebelum ini.
Prestasi
Selepas menggunakan iPhone untuk beberapa tahun yang lepas, saya boleh katakan yang iPhone merupakan peranti untuk bermain permainan mudah alih yang sentiasa konsisten di dalam prestasinya, saya sentiasa mendapat prestasi yang sangat baik untuk apa sahaja permainan mudah alih yang dilancarkan. Walaupun Honkai Star Rail dan Zenless Zone Zero contohnya tidak lagi membawa kelebihan 120FPS seperti Genshin Impact, tetapi iPhone masih lagi pernati terbaik untuk bermain permainan-permainan oleh HoyoVerse.

Perkara yang sama diteruskan oleh iPhone 16 Pro dan kini lebih berkuasa, oleh itu saya tidak mempunyai sebarang rungutan mengenai prestasi. Oleh itu tidak mengejutkan yang Apple kini melihatkan kepada permainan-permainan konsol ataupun permainan “AAA” pula untuk menjadi sasaran mereka, bagi perkara ini saya boleh katakan berbeza dengan permainan mudah alih, dan ia memerlukan lebih masa untuk benar-benar menjadi tempat yang baik bagi bermain permainan-permainan ini.
Sepanjang menggunakan iPhone 16 Pro ini, saya menguji permainan Assassin’s Creed Mirage dan saya tidak merasakan yang saya dapat bermain sepenuhnya permainan ini, walaupun mempunyai beberapa tetapan grafik akan tetapi grafik paling rendah sahaja yang boleh dipilih keranan pilihan-pilihan lain boleh membuatkan permainan tidak boleh dimain dengan pengalaman yang baik.

Saya tidak merasakan yang ia kekurangan di iPhone 16 Pro ataupun ia tidak mempunyai kuasa yang mencukupi akan tetapi saya boleh katakan kerana Ubisoft tidak benar-benar membangunkan permainan ini untuk peranti ini, ada pelbagai pilihan di dalam mengurangkan penggunaan kuasa, mereka memilih sesuatu yang membuatkan permainan kelihatan lebih teruk. Ini sekadar anggapan sahaja, tetapi permainan seperti Assassin’s Creed Mirage boleh menjadi lebih baik jika mereka meluangkan masa untuk benar-benar membangunkan permainan ini khusus bagi peranti ini.
Saya cuba mencuba demo permainan untuk Resident Evil 4 dan saya boleh katakan ia mempunyai masalah yang sama. Oleh itu, berbanding mengejar untuk hadir dengan permainan “AAA”, saya lebih menyukai jika Apple memfokuskan kerjasama untuk membawa permainan yang popular di konsol dan tidak pernah ditawarkan di telefon pintar yang tidak semestinya satu permainan yang berat dengan grafik. Mempunyai kepelbagaian ini lebih membantu di dalam menjadikan iPhone sebagai penganti konsol mudah alih.
Rumusan
Akhir kata, iPhone 16 Pro merupakan iPhone terbaik di pasaran bagi yang menyukai skrin yang lebih kecil dan iPhone 16 Pro Max jika inginkan skrin yang lebih besar. Satu yang sama, kualiti paparan adalah sangat baik iaitu sesuatu yang sudah dijangkakan daripada peranti ini. Bateri adalah lebih baik berbanding model yang sama bagi generasi lepas, tetapi jika seperti saya menggunakan iPhone bersaiz lebih besar sebelum ini, anda mungkin perlu mengubah gaya penggunaan. Prestasi bermain permainan mudah alih adalah terbaik berbanding telefon-telefon lain, ataupun lebih konsisten akan tetapi penawaran permainan “AAA” masih memerlukan banyak penambah-baikkan dan pembangun perlu meluangkan masa lebih lagi untuk memberikan pengalaman yang lebih boleh diterima.


