Skip to main content

Speaker pintar oleh Apple iaitu Apple HomePod (Generasi Kedua) sudah dilancarkan sejak Februari tahun lepas, akan tetapi buat pertama kalinya ia akan dipasarkan secara rasmi di Malaysia pada 10 Mei 2024, turut ditawarkan bersama adalah HomePod Mini yang sudah dilancarkan sejak tahun 2020 di negara-negara lain. Saya sudah berkesempatan untuk meluangkan masa lebih kurang seminggu bersama dengan HomePod 2 dan juga HomePod Mini dan berikut adalah pandangan saya mengenai kedua-dua speaker pintar ini.

HomePod hadir dengan rekaan berbentuk silinder dengan ukuran 6.6-inci x 5.6-inci dan seberat 2.3 kilogram. Ia hadir dengan dua pilihan warna iaitu Midnight dan White dengan fabrik jaring yang dihasilkan untuk memastikan tidak mengganggu penghasilan bunyi. HomePod hanya mempunyai ruang untuk wayar kuasa sahaja dengan ia boleh dibuka dengan mudah, tetapi dengan ia tidak mempunyai bateri, untuk menggunakan HomePod ia sentiasa perlu disambung dengan kuasa menjadikannya bukanlah speaker pintar yang mudah alih.

Begitu juga bagi HomePod Mini tetapi ia hadir dengan rekaan sfera dan mempunyai ukuran lebih kecil iaitu 3.3-inci x 3.9-inci dengan berat 0.34 kg sahaja. Ia juga ditawarkan dengan lebih banyak pilihan warna iaitu Space Gray, Blue, White, Yellow dan Orange. HomePod Mini hadir dengan wayar kuasa yang tidak boleh dibuka (ataupun memerlukan peralatan tertentu) tetapi dengan sambungan USB-C dengan palang kuasa hadir bersama di dalam kotak dan juga boleh digunakan di tempat yang lebih berbeza selagi dapat disambung dengan USB-C.

Manakala di bahagian atas di HomePod dan juga HomePod Mini terdapat permukaan sentuh yang juga mempunyai warna apabila sedang digunakan ataupun semasa siri sedang beroperasi, terdapat juga simbol ‘+’ and ‘-‘ untuk mengawal tahap bunyi, manakala kawalan lain seperti Main/Jeda boleh digunakan dengan tap sekali di mana-mana bahagian lain, tap dua kali untuk memainkan kandungan seterusnya dan tap tiga kali untuk memainkan kandungan yang sebelum ini.

Namun, saya boleh katakan kawalan utama bagi kedua-dua HomePod ini adalah melalui Siri yang boleh melakukan segala fungsi yang ingin dikawal, selain dapat melakukan tugasan-tugasan lain yang sudah menjadi kebiasaan untuk Siri, termasuk juga menetapkan janji temu, memeriksa kalendar, mencatat sesuatu nota dan juga pelbagai lagi kegunaan yang anda biasa guna Siri untuk melakukannya. Kedua-dua speaker dapat mengesan ‘Hey Siri’ dengan baik, saya tidak perlu menjerit atau menguatkan suara walaupun berada di kawasan yang luas seperti ruang tamu, namun ia masih lagi membawa kekurangan Siri seperti tidak boleh melakukan arahan yang berterusan.

Spesifikasi dalaman pula, HomePod menyertakan 5 tweeters yang disusun untuk memastikan tiada kesan pantulan daripada meja, ia juga menyertakan empat mikrofon untuk menambah-baik bass dan juga mendengar arahan suara daripada pengguna. Ia juga mempunyai woofer bersaiz 20mm. HomePod dikuasakan dengan cip Apple S7 untuk memberikan bunyi terbaik mengikut keadaan yang berbeza. HomePod Mini pula 1 driver julat-penuh, 2 radiator pasif dan turut dilengkapi dengan 4 mikrofon, bagi cip ia menggunakan Apple S5.

Satu perkara penting yang anda perlu tahun mengenai HomePod dan juga HomePod Mini, bagi pemasangan anda mesti menggunakan iPhone ataupun iPad oleh itu jika anda tidak memiliki salah satu peranti tersebut, pemasangan speaker ini adalah mustahil. Jika anda memiliki iPhone contohnya, pemasangan adalah seperti kebiasaan untuk perkakasan Apple yang lain seperti AirPods, anda hanya perlu membuka HomePod atau HomePod Mini, dan selagi iPhone berdekatan satu popout akan dikeluarkan untuk proses pemasangan.

Selepas itu pemasangan adalah sekadar mengikut arahan yang disertakan di iPhone, selepas ia ditetapkan, HomePod ini boleh diakses melalui aplikasi Home di iPhone yang anda kemudian boleh tetapkan seperti nama ataupun ‘bilik’ tempat HomePod tersebut berada. Jika anda mempunyai dua biji HomePod ataupun dua biji HomePod Mini, anda boleh memasangnya secara bersama untuk menjadikan speaker Stereo berbanding Mono secara bersendirian.

Jika anda ingin menggunakan HomePod ini bersama dengan TV, projector ataupun monitor, anda perlu menggunakannya bersama dengan Apple TV 4K dengan Apple TV tersebut juga perlu disambungkan ke iPhone ataupun iPad yang sama, kemudian boleh menetapkan Apple TV untuk menggunakan HomePod sebagai speaker. Ia boleh dilakukan dengan satu biji HomePod ataupun dua yang dipasangkan sebagai spekar stereo seperti yang saya nyatakan di atas.

Dengan langkan ini, ia akan menjadikan HomePod berfungsi seperti soundbar ataupun teater rumah dengan ia juga menyokong Dolby Atmos, Dolby Digital 7.1 ataupun Dolby Digital 5.1, manakala jika ingin digunakan bersama dengan perkakasan yang lain contohnya konsol permainan video seperti Xbox Series ataupun PlayStation 5, anda memerlukan TV yang mempunyai sokongan ARC dan eARC, dengan Apple TV 4K perlu dipasang ke port eARC tersebut.

Bagi tujuan ulasan ini, saya menggunakan dua HomePod yang dipasang dengan Apple TV 4K yang saya jadikan sebagai teater rumah dan digunakan bersama dengan Xbox Series X dan juga Astro. Manakala sebiji HomePod Mini saya gunakan di dalam bilik tidur dan menjadi speaker utama saya gunakan untuk mendengar lagu, podcast dan juga audiobook semasa berada di dalam bilik tidur. Walaupun ditetapkan di bilik yang secara berasingan, saya juga boleh memainkan lagu yang sama di kesemua HomePod yang ada di dalam rumah melalui fungsi Multiroom Audio. Anda juga boleh menggunakan fungsi intercom untuk bercakap dengan keluarga ataupun rakan jika mereka mempunyai HomePod ataupun HomePod Mini di dalam bilik.

Saya sangat berpuas hati dengan prestasi HomePod dan HomePod Mini yang memberikan bunyi yang sangat baik tidak kira kandungan yang saya sedang mainkan. HomePod juga dilengkapi dengan fungsi untuk mengesan keadaan bilik untuk memastikan bunyi yang dihasilkan adalah terbaik bagi ruangan tersebut. Bagi muzik, HomePod menghasilkan bunyi yang jelas, dan prestasi bunyi bass adalah sangat baik memberi kepuasan mendengar apa sahaja genre muzik.

Manakala menonton filem, dialog disampaikan dengan sangat jelas manakala aksi-aksi yang disampaikan dengan Dolby Atmos, Dolby Digital 7.1 ataupun Dolby Digital 5.1 disampaikan dengan baik sebagai satu imitasi tetapi tidaklah sebaik speaker yang hadir dengan channel 5.1 ataupun 7.1 secara lalai. Bagi bermain permainan video menggunakan Xbox Series X, ia berfungsi dengan baik untuk kebanyakan permainan, tetapi ada permainan seperti Hellblade: Senua’s Sacrifice yang terdapat kependaman. Saya dapati masalah ini boleh diselesaikan dengan menggunakan tetapan audio Stereo Uncompressed berbanding menggunakan Dolby Digital.

Bagi HomePod Mini pula memberikan prestasi yang memuaskan untuk muzik akan tetapi bass terasa kurang terutama jika ingin dibandingkan dengan HomePod tetapi ia satu perkara yang sudah dijangkakan kerana saiz HomePod Mini yang lebih kecil, ia juga bukan speaker terbaik untuk menonton filem. Secara amnya saya berpuas hati dengan prestasinya terutama dengan harganya yang lebih berpatutan jika melihat kepada prestasi bunyi yang diberikan. Seperkara yang mengecewakan untuk HomePod dan juga HomePod Mini adalah saya tidak boleh menetapkan sendiri EQ dan jika menggunakan satu HomePod sahaja, ia terhad kepada bunyi Mono.

Sebagai speaker pintar, HomePod dan HomePod Mini bukan sahaja berfungsi sebagai speaker semata-mata sahaja, sebaliknya melalui aplikasi Home, ia juga boleh digunakan untuk mengawal perkakasan pintar lain seperti langsir dan lampu. Dengan HomePod hadir dengan fungsi untuk mengesan suhu dan kelembapan, saya boleh menghasilkan sistem automatik untuk menutup langsir jika keadaan bilik menjadi terlalu panas. HomePod juga menyokong AirPlay seperti peranti Apple yang lain, dan saya juga boleh menggunakan fungsi Handoff, jika saya sedang mendengar sesuatu di iPhone saya boleh sekadar mendekatkan iPhone kepada mana-mana HomePod dan ia akan dimainkan di HomePod tersebut.

Akhir kata, saya berpuas hati dengan prestasi HomePod dan juga HomePod Mini terutama bagi kegunaan yang saya pilih untuknya, iaitu HomePod sebagai teater rumah dan HomePod Mini sebagai speaker pintar di dalam bilik tidur. Selepas menggunakannya untuk seminggu saya boleh katakan yang jika anda mencari speaker pintar untuk sekadar mendengar lagu dan menggunakan fungsi-fungsi pintar seperti mengurus peralatan pintar yang lain, HomePod Mini sudah memadai, akan tetapi jika anda ingin menjadikannya sebagai speaker utama untuk menonton TV ataupun bermain permainan video, anda perlu dapatkan HomePod dan dua biji agar dapat pengalaman yang terbaik. Anda juga perlu memastikan sudah berada di dalam ekosistem Apple untuk mendapat pengalaman terbaik menggunakannya.

HomePod ditawarkan dengan harga RM1,549 dan HomePod Mini dengan harga RM529 dan akan mula dipasarkan pada 10 Mei 2024.

Leave a Reply