Sebenarnya, jawapan untuk persoalan yang saya nyatakan di bahagian judul telah terjawab lama dahulu, semasa Apple melancarkan App Store pada tahun 2011 lagi. Sejak dilancarkan, App Store telah menjadi antara sumber kewangan utama untuk Apple selain daripada jualan iPhone.
Pada tahun 2022, Apple mengatakan yang mereka telah membayar penyedia aplikasi dan permainan mudah alih $320 bilion melalui perkongsian pendapatan App Store. Jika mengambil kira, peratusan bahagian untuk Apple adalah 30%, boleh dikatakan yang App Store telah menjana $405 bilion pada tahun lepas.
Apple tidak mengumumkan pecahan mengikut aplikasi, akan tetapi berdasarkan laporan untuk tahun 2021, 60% daripada pendapatan di App Store adalah daripada permainan mudah alih. Bagi tahun 2022, kita boleh jangkakan perkara yang sama, jika peratusan tidak lebih besar. The Wall Street Journal pada tahun 2021 juga telah melaporkan yang Apple menjana keuntungan daripada permainan video melebihi campuran keuntungan Microsoft, Nintendo dan juga Sony.
Oleh itu, adakah Apple pemain baharu di dalam industri permainan video. Jawapannya adalah tidak, kerana Apple sudah lama terlibat dengan permainan video dan melalui pengumuman terbaru ketika di WWDC 2023, Apple mula ingin menjadikan Mac mereka sebagai platform seterusnya untuk permainan video.
Ketika WWDC 2023, Apple telah mengumumkan yang mereka memperkenalkan “Game Mode” melalui macOS Sonoma, mereka juga telah mengumumkan pengenalan set peralatan untuk memudahkan permainan-permainan daripada platform lain di bawa ke Mac. Mengejutkan ramai orang, Hideo Kojima, nama besar di dalam industri permainan video, mengumumkan permainan Death Stranding Director’s Cut akan dikeluarkan untuk Mac.
Selain Death Stranding, terdapat pelbagai lagi permainan yang akan dikeluarkan Mac, antaranya Stray, Fort Solis, World of Warcraft: Dragonflight, Humankind, Resident Evil Village: Winters’ Expansion, The Medium, ELEX II, Firmament, SnowRunner, Disney Dreamlight Valley, Dragonheir: Silent Gods dan Layers of Fear.
Walaupun, dengan segala pengumuman serta pelbagai permainan yang akan dikeluarkan untuk Mac ini, saya merasakan perjalanan Apple untuk menjadikan Mac sebagai platform baharu untuk permainan video masih jauh. Ini adalah kerana mereka sangat bergantung kepada pembangun sama ada mereka ingin meluangkan masa, tenaga dan wang untuk membangunkan permainan mereka untuk Mac yang buat masa ini bukanlah platform pilihan untuk pemain yang sudah semestinya lebih memilih PC dan juga konsol.
Benar, Apple boleh membayar studio-studio permainan video untuk mengeluarkan permainan mereka di Mac, akan tetapi ia akan memakan perbelanjaan yang besar dan satu perkara yang tidak mampan. Google Stadia yang ditutup pada Januari lepas, telah mencuba langkah ini dengan mereka membayar kos yang tinggi untuk membawa permainan ke perkhidmatan mereka tetapi tidak membantu di dalam menjadi platform baharu permainan video.
Namun, saya boleh katakan yang Apple mempunyai peluang yang lebih baik berbanding Google Stadia ataupun mana-mana syarikat lain yang ingin mencuba menjadi pemain baharu di dalam industri permainan video, ini adalah kerana Apple sudah mempunyai satu ekosistem yang sangat baik dan juga cip Apple Silikon.
Dengan Apple melalui App Store telah lama mencipta ekosistem permainan video, ditambah lagi dengan produk mereka iaitu Apple Arcade, Apple sudah mempunyai gedung ataupun platform yang baik di dalam menjadi medium untuk membawa permainan video ke pemain. Ekosistem ini juga mempunyai potensi untuk digunakan dengan lebih menyeluruh, contohnya membeli permainan di iPad akan turut membolehkan mendapat versi Mac.
Walaupun tidak boleh dimainkan di peranti Apple yang lain, tetapi iPhone juga boleh dijadikan sebagai peranti sampingan untuk sesi permainan di Mac, sesuatu yang kita sering anggap sebagai ‘Aplikasi Peneman’. Ekosistem yang baik di antara peranti-peranti Apple ini boleh menjadi perkara yang menarik jika turut digunakan untuk permainan video. Kita sudah melihat bagaimana kebanyakan permainan Apple Arcade bukan sahaja boleh dimainkan di iPhone, tetapi juga di Mac dan Apple TV.
Seterusnya adalah cip Apple Silikon, sesuatu yang saya rasa sangat menarik untuk melihat jika ia benar-benar menjadi jawapan kepada penglibatan Apple di dalam permainan video. Apple Silikon yang juga dikenali sebagai M1 ataupun M2 untuk generasi terbaru mempunyai peluang untuk menjadikan Mac seperti iPhone.
Pembangunan permainan mudah alih untuk iPhone adalah lebih ‘mudah’ berbanding untuk Android, perkara yang sama mungkin boleh terjadi dengan pembangunan permainan video untuk Mac mungkin akan menjadi lebih mudah berbanding dibangunkan untuk PC yang mempunyai spesifikasi-spesifikasi berbeza.
Cip pemprosesan M2 sekarang sudah berada di kebanyakan peranti Apple, seperti Macbook Air yang baru sahaja menerima model 15-inci, Macbook Pro, Mac Mini, Mac Studio serta Mac Pro yang juga baru diperkenalkan sebelum ini dan juga iPad Pro. Jika permainan yang dibangunkan untuk cip M2 ini boleh dijalankan di kesemua peranti yang menggunakan cip yang sama, ia akan memberi lebih motivasi kepada pembangun kerana mereka kini mempunyai pangkalan pengguna yang lebih besar.
Ini mungkin satu angan-angan akan tetapi cip Apple Silikon ini juga memberi ruang kepada Apple untuk hadir dengan konsol mudah alih tersendiri, bagi bersaing dengan penawaran Steam Deck oleh Valve dan ROG Ally oleh Asus. Ini adalah kerana nadi utama konsol mudah alih ini adalah cip pemprosesan yang berkuasa dalam bentuk kompak, sesuatu yang sudah dilakukan oleh Apple Silikon.
Konsol mudah alih oleh Apple mungkin masih jauh di dalam perancangan Apple, akan tetapi jika permainan-permainan mula dikeluarkan untuk Mac, ataupun khusus untuk cip M2 mereka, saya merasakan tiada sebab untuk Apple tidak hadir dengan konsol mudah alih mereka sendiri. Terutama jika penerimaan Steam Deck dan ROG Ally adalah baik.
Pada bulan 13 September lepas, Apple telah mengumumkan penawaran baharu untuk iPhone mereka, antaranya adalah iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max. Perkara yang paling menarik minat saya mengenai pengumuman ini adalah Apple mengumumkan permainan seperti Resident Evil Village, Resident Evil 4, Death Stranding dan juga Assassin’s Creed Mirage akan dikeluarkan untuk model iPhone tersebut. Tambahan pada itu, dengan penggunaan USB-C, iPhone 15 Pro juga boleh memaparkan permainan terus ke monitor ataupun TV.
Perkara ini menarik minat saya, kerana ia telah menjawab sama ada Apple berminat untuk hadir dengan ‘konsol mudah alih’ dan tampaknya, ia akan dilakukan melalui iPhone 15 Pro dengan jangkaan lebih meluas apabila iPhone 16 dilancarkan kelak. Walaupun, sekadar boleh bermain 720p dengan kadar kelancaran 30FPS untuk Resident Evil Village, tetapi ia sudah cukup baik bagi satu peranti pintar.
Satu lagi perkara yang menarik bagi saya adalah permainan seperti Resident Evil Village dan juga Death Stranding bukan sahaja diumumkan untuk iPhone 15 Pro, akan tetapi juga sudah diumumkan sebelum ini untuk macOS. Oleh itu, jika pembangunan sesuatu permainan untuk macOS akan turut membolehkan ia dikeluarkan untuk iPhone, ia adalah satu kelebihan untuk pembangun dan juga Apple. Membangunkan permainan untuk macOS mungkin tidak menguntungkan kerana jumlah pengguna yang kecil, tetapi berbeza apabila bercakap mengenai pengguna iPhone.
Sebagai rumusan, saya boleh katakan yang walaupun Apple sudah lama terlibat di dalam industri permainan video melalui App Store dan juga iPhone mereka, akan tetapi bagi untuk Mac, perjalanan masih panjang. Namun, Apple boleh menggunakan kekuatan ekosistem mereka dan juga penggunaan cip Apple Silikon untuk menjadi batu loncatan usaha mereka. Dengan pengumuman terbaru mengenai sokongan permainan video di iPhone 15 Pro, Apple mungkin boleh mewujudkan ekosistem permainan video yang baik di antara macOS dan juga iOS untuk memperkuatkan lagi penglibatan mereka di dalam industri yang kian berkembang pesat ini.