Selepas kejayaan projek adaptasi animasi ke aksi nyata (live-action) yang lain seperti The Lion King dan Lilo & Stitch pada tahun lepas yang kedua-duanya cemerlang mencatat kutipan melepasi garisan $1 bilion di pawagam, tidak mengejutkan apabila Disney membawa satu lagi harta intelek (IP) popular mereka untuk menerima sentuhan yang sama. Tahun ini, giliran Moana pula, sebuah naskhah yang diadaptasi daripada filem animasi asal yang diterbitkan hampir sedekad lalu. Secara keseluruhannya, saya berani katakan filem ini berjaya mengekalkan jiwa penceritaan asal walaupun penyampaian visualnya mungkin tidak semeriah versi animasinya.

Jalan ceritanya sangat setia kepada sumber asal. Jadi, bagi anda yang sudah menontonnya, jangan harapkan sebarang perubahan besar. Buat mereka yang belum pernah menontonnya, filem ini memfokuskan kepada seorang remaja bernama Moana yang sedang bersiap sedia untuk mengambil alih tampuk kepimpinan pulaunya. Namun, berbanding sekadar menghabiskan sisa hidup di pulau tersebut, hatinya sentiasa tertambat pada lautan luas, sesuatu yang ditegah keras oleh bapanya. Desakan ini memuncak apabila hawar mula melanda kampungnya yang memusnahkan tanaman dan hidupan. Dia kini perlu berlayar untuk memulangkan jantung Te Fiti, dewi pencipta segala kehidupan, bagi menghentikan bencana tersebut. Untuk merealisasikan misi ini, dia terpaksa menjejak Maui, dewa angkuh yang boleh berubah rupa dan juga individu yang bertanggungjawab mencuri jantung Te Fiti seribu tahun lalu.

Mengenai jiwa penceritaannya, penonton pasti dapat merasai beban emosi yang dipikul oleh watak Moana. Dia bukan sahaja mahu menyelamatkan pulaunya, malah terdesak untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang pelayar. Sementara itu, watak Maui pula berjaya menterjemahkan konflik dalamannya dengan baik, memaparkan keinginannya untuk diterima oleh manusia namun pada masa yang sama masih dihantui oleh kesilapan silamnya. Walaupun dipaparkan secara ringkas, filem ini berkesan dalam merungkai sejarah asal-usul puak Moana, sebuah komuniti pelayar hebat yang akhirnya terpaksa mengasingkan diri selepas lautan tidak lagi dianggap selamat.

Catherine Laga’aia membawakan watak Moana dengan cemerlang. Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan memandangkan beliau mengalas peranan ini selepas pelakon suara asalnya, Auliʻi Cravalho, memilih untuk menyerahkan watak tersebut kepada pelakon muda berketurunan Kepulauan Pasifik. Beliau bukan sahaja berjaya menghidupkan sifat ingin tahu dan kesungguhan Moana, malah lontaran vokalnya turut meniupkan nafas baharu kepada lagu-lagu ikonik filem ini. Bagi Dwayne Johnson yang kembali menghidupkan watak Maui, tiada banyak kejutan yang disajikan. Watak Maui seolah-olah dibentuk mengikut persona peribadi beliau sendiri. Ia cukup menghiburkan, namun tidak terasa seunik atau lebih menonjol berbanding versi animasinya.

Dari aspek persembahan visual, filem ini terpalit dengan kelemahan sama seperti The Lion King dan Lilo & Stitch. Usaha ke arah realisme atau visual ‘picture-perfect‘ telah meragut sedikit kemeriahan palet warna serta magis persekitaran asal animasinya. Walaupun sebahagian besar plot berlatarkan lautan, jangan harapkan kekayaan warna visual setaraf filem Avatar: The Way of Water. Walaupun sedikit mengecewakan, pendekatan ini sekurang-kurangnya menawarkan pengalaman tontonan yang sedikit berbeza berbanding medium animasi. Sebagai nota tambahan, pengekalan rekaan dan gelagat watak seperti ayam Heihei yang kekal komik seperti versi animasi merupakan satu keputusan kreatif yang sangat tepat.

Kesimpulannya, seperti kebanyakan projek adaptasi aksi nyata Disney yang lain, penonton tidak wajar mengharapkan kelainan drastik. Ia masih menyajikan naratif dan pembangunan watak yang serupa. Dari sudut positif, pendekatan ‘selamat’ ini memastikan filem berkenaan tidak tersasar daripada teras emosi dan jiwa penceritaan asal, dan mungkin menyamai jika tidak mengatasinya. Walaupun persembahan visualnya sedikit mengecewakan, Moana masih berjaya menambat hati menerusi adegan-adegannya yang menawan dan beremosi.


